OLEH ZAIM BADRUL HISHAM
KUALA SELANGOR, 27 APR: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli merasmikan Hari Terbuka Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) 2019 di Kolej Antarabangsa INPENS, di sini, hari ini.
Program yang julung kali diadakan itu bertujuan menghubungkan jaringan pelajar Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan komuniti setempat melalui bidang kemahiran yang berimpak.
Keberangkatan tiba baginda di program terbabit di sambut dengan paluan kompang dan persembahan silat oleh anak-anak tadika KEMAS Kuala Selangor.
Baginda juga beramah mesra bersama pelajar tadika terbabit dengan menyertai pertandingan sukaneka.
Kemudian baginda melawat ke reruai pameran TVET dan fasiliti kursus INPENS serta tapak struktur menara komunikasi seliaan Smart SEL Sdn Bhd sambil diiringi Ketua Eksekutif INPENS, Ahmad Zabri Mohd Yaman.
Penganjur program dengan Kerjasama Hong Leong Yamaha Motor turut menyediakan servis tukar minyak hitam percuma bagi 100 unit terawal yang di jalankan pelajar INPENS sendiri.
Sementara itu, Ahmad Zabri berkata, pihaknya mengucapkan jutaan terima kasih kepada DYTM dan YRMS kerana memilih INPENS sebagai lokasi bagi menjayakan hari terbuka itu.
Pada masa sama, DYTM turut menyampaikan sumbangan bantuan Ramadan kepada 100 asnaf daripada Lembaga Zakat Selangor dan warga emas di Pertubuhan Kebajikan Pusat Jagaan Elshadaai.
Diakhir program, baginda turut menziarahi Pusat Jagaan Elshadaai di Kampung Kuantan bagi melihat hasil kerja pendawaian elektrik oleh pelajar INPENS yang menjalankan program khidmat komuniti di sana.