Categories
SELANGOR

Tapak baru SJKC Kota Kemuning, manfaat 1,000 pelajar Cina

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 26 MAC: Pentadbiran negeri berjaya menyediakan sebuah tapak baru bagi pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Kota Kemuning.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata, sekolah berkenaan dipindahkan dari kawasan Batu 8, Kota Kemuning yang bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat.

“Dengan bantuan Majlis Persatuan Penduduk (MPP) Zon 12, Tan Ah Kow, kita berjaya mendapatkan tapak sekolah baru. Ia bukan mudah kerana halangan yang kita hadapi sebelum ini.

“Tapi atas bantuan Persatuan Penduduk Kota Kemuning, kita berjaya mendapatkan tapak baru itu.

“Walaupun cuma sebuah sekolah, ia melibatkan 1,000 pelajar sekolah Cina yang dapat menikmati fasiliti dan kemudahan sekolah yang lebih luas dan selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Mesra Rakyat dan Dialog ADN dan Ahli Majlis bersama Penduduk Kota Kemuning, di Dewan Liparis Kota Kemuning, 24 Mac lalu.

Terdahulu, RM6 juta diperuntukan Kerajaan Negeri bagi pembaikan fasiliti dan pembangunan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.

Pengumuman itu dibuat Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada pembentangan Belanjawn 2018 di Dewan Negeri Selangor, November lalu.

Categories
SELANGOR

Projek jalan alternatif diteruskan, majoriti peniaga terlibat puas hati

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 OKT: Kerja menaiktaraf jalan alternatif Shah Alam-Banting membabitkan Kampung Jalan Kebun dan Johan Setia diteruskan mengikut jadual.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda, Shuhaimi Shafei berkata, hal itu kerana penyelesaian bantahan peniaga dapat dicapai dalam beberapa siri dialog bersama agensi berkaitan.

Katanya, persoalan dan bantahan dibangkitkan peniaga sebelum ini sudah dijawab agensi dengan penerangan lengkap berkenaan jajaran dan pampasan.

Shuhaimi“Majoriti peniaga berpuas hati dengan penerangan diberikan.

“Saya berharap peniaga yang membantah kerja menaiktaraf ini memahami bahawa mengikut Kanun Tanah Negara (KTN) pampasan tidak dipertimbangkan bagi pencerobohan ke atas tanah kerajaan ataupun atas rezab kerajaan,” katanya kepada SelangorKini.

Sehubungan itu, Shuhaimi memaklumkan kerja pengosongan perlu dilakukan segera pemilik premis yang terbabit.

“Kita memahami permasalahan mereka, namun kerja menaiktaraf jalan ini perlu dilakukan kerana ia bagi mengurangkan kesesakan yang sering berlaku di kawasan ini sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Pada masa sama, Shuhaimi mengingatkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang supaya memeriksa dan mengemaskini data keluasan tanah pemilik dari masa ke semasa supaya tidak menimbulkan keraguan kepada pemilik.

“Sebagai contoh, pada tahun 90an, pampasan pernah diberikan kepada penduduk, namun PDT berkenaan tidak mengemas kini data sehingga menyebabkan berlakunya bantahan apabila sesuatu projek dijalankan.

“Sedangkan selama ini, penduduk menganggap tanah ini milik mereka,” katanya.

jalan-kebunKerja menaiktaraf jalan itu bermula pada Mac lalu dan dijangka siap Mac 2018.

Ia membabitkan penukaran lorong dua hala ke empat lorong dan pembinaan jambatan, sistem lampu isyarat, saliran parit dan longkang serta laluan jejantas di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun.

Projek membabitkan laluan sepanjang 1.2 kilometer itu menelan belanja RM35 juta.

-nR-

Categories
SELANGOR

Kerjasama antara agensi mampu atasi banjir Kampung Jalan Kebun

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 OGOS: Kerjasama antara agensi Kerajaan Negeri mampu menangani masalah dihadapi penduduk seperti banjir di Kampung Jalan Kebun, di sini, sejak sekian lama.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei, berkata masalah sebegitu memerlukan kesepaduan semua agensi berkaitan supaya kerja penyelenggaraan dijalankan dapat dilakukan lebih berkesan.

“Kita kena selenggarakan laluan jalan di sini dua kali setahun, namun jika berasaskan keadaan rumput maka pasti ia (tidak diselenggarakan) lebih dari tempoh enam bulan.

“Semua isu ini bukan hanya berlaku di Kampung Jalan Kebun tetapi juga di kawasan lain dan memerlukan kerjasama erat antara agensi Kerajaan Negeri,” katanya kepada SelangorKini, di sini, semalam.

ShuhaimiShuhaimi menghadiri sesi perbincangan bersama beberapa jabatan dan agensi berkaitan antaranya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang termasuk Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Jalan Kebun mengenai isu banjir di situ.

Beliau berkata, hasil perbincangan dan lawatan di kawasan itu mendapati kerja penyelenggaraan dijalankan sebelumnya tidak menepati garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, perbincangan antara semua pihak berkaitan membolehkan maklumat lebih jelas diperoleh bagi mengatasi masalah dihadapi itu.

“Kita adalah kerajaan yang bersedia menghadapi kritikan daripada rakan-rakan sendiri.

“Ia (kerja penyelenggaraan) adalah satu usahasama membabitkan semua pihak supaya isu dibangkitkan rakyat boleh diatasi secara bersepadu dan lebih cepat,” katanya.

-nR-