Categories
SELANGOR

Raja Muda cemar duli ceriakan anak-anak yatim kaum India

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SUBANG JAYA, 25 OKT: DYMM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli meraikan 30 kanak-kanak dari Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Sai Pandiam Setia Alam di Sunway Lagoon, semalam.

Keprihatinan Tengku Amir dizahirkan sebagai inisiatif memberikan keceriaan kepada anak-anak kurang bernasib baik itu untuk menjalani kehidupan lebih baik.

“Beta mengambil maklum tentang keperluan dan nasib anak-anak ini yang memerlukan sokongan berterusan daripada masyarakat untuk menjalani kehidupan lebih positif.

“Atas sebab itu mendorong Beta dan Selangor Youth Community untuk turun padang bukan hanya dengan niat untuk menggembirakan kanak-kanak ini sahaja.

“Tetapi kami sejak dari awal lagi turut membantu pusat penjagaan ini membuat kerja penambahbaikan dan menceriakan kawasan kediaman kanak-kanak ini,” titah Raja Muda.

raja-mudaTengku Amir Shah bertitah demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media di Restoran Lighthouse, selepas beriadah bersama kanak-kanak ini di ‘Wildlife Park’ dan ‘Amusement Park’ Sunway Lagoon.

Projek komuniti dengan kerjasama SAY Community dan Sunway Group (Sunway) dibuat sebagai inisiatif memastikan kanak-kanak ini meraikan sambutan Deepavali lebih bermakna.

Dalam perkembangan itu, Sunway selaku penaja utama program ini turut menaja pembinaan foyer bagi tujuan riadah kanak-kanak di pusat jagaan mereka.

Antara sumbangan lain turut dibekalkan termasuklah alatan kelengkapan serta kemudahan fasiliti seperti rak buku, kipas dan lampu untuk digunakan kanak-kanak ini.

Dalam pada itu, Raja Muda yang juga penaung kepada Selangor Youth bertitah, pihaknya komited menjalankan program sedemikian melibatkan beberapa pusat jagaan lain di seluruh negeri.

“Tumpuannya bukan sekadar untuk pusat jagaan tertentu sahaja kerana selepas ini ada perancangan lain untuk beta dan Selangor Youth meneruskan program sosial ini.

“Mungkin selepas ini kita lanjutkan di pusat komuniti atau penjagaan kanak-kanak berbangsa Melayu, Cina dan lain-lain-lagi.

“Fokusnya prinsip kesamarataan dan tiada sebarang perbezaan kaum atau jantina kerana apa yang lebih utama adalah keceriaan dan kebajikan kanak-kanak ini,” titah baginda Raja Muda.

Sementara itu, Pengarah Selangor Youth, Dr Johan Kamal Hamidon berkata komuniti itu terbuka untuk menarik lebih ramai sukarelawan muda terdiri daripada anak Selangor terlibat secara langsung dalam kegiatan khidmat sosial mereka.

“Kami membuka peluang kepada golongan muda untuk terlibat dengan aktiviti kami dengan membuat pendaftaran di www.selangoryouth.com dan pihak kami akan menghubungi anda untuk program seterusnya,” katanya.

EZY