Categories
SUKANKINI

Selangor rantai import T-Team, jejaskan gerakan lawan

OLEH HAFIZAN TAIB

SUBANG, 14 OKT: Selangor akan mengekang pergerakan dua pemain import T-Team, Makan Konate dan Patrick Cruz, dalam usaha melumpuhkan lawannya ketika aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia, malam esok.

Pengendalinya, K Gunalan, berkata kedua pemain import itu amat bahaya dan Selangor perlu merantai pergerakan mereka supaya kelancaran gerakan The Titans terjejas.

“T-Team mempunyai dua atau tiga pemain import yang baik seperti Makan Konate dan Patrick Cruz selain Dilshod Sharofetdinov dan dengan Abdoulaye Maiga tidak dapat bermain maka kita kena berjaga-jaga.

“Saya rasa perancangan dibuat pasukan akan berjaya mengekang kedua pemain import ini (Konate dan Cruz) serta pemain tempatan mereka, diharap kita berjaya malam esok,” katanya kepada SelangorKini.

gunalanGunalan ditemui sebelum berlepas bersama pasukannya ke Kuala Terengganu di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, perkembangan dalam pasukan juga bagus dengan semua pemain Selangor bersedia bagi menghadapai perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Terenganu itu.

“Semua pemain bagus termasuk barisan pertahanan dan walaupun Shahrom (Kalam) sudah kembali tetapi gandingan Rizal (Fahmi Rosid) dan Ugo (Ukah) selama ini bagus.

“Saya akan tengok perkembangan esok untuk putuskan barisan pemain terbaik,” katanya.

Gunalan berkata, pihaknya yakin dengan kemampuan pasukan untuk perlawanan esok biarpun akan berhadapan cabaran getir T-Team dengan sokongan padu penyokongnya.

“Saya harap penyokong (Selangor) akan datang esok walaupun hanya segelintir sahaja tetapi sudah cukup sebagai sokongan padu kepada pasukan,” katanya.

Penyandang juara Piala Malaysia itu turun dengan kelebihan agregat 2 – 1 selepas mengatasi lawan dengan keputusan itu dalam separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, 1 Oktober lalu.

-nR-

Categories
SUKANKINI

MSL: K Gunalan gembira pemain bangkit positif

OLEH AFIX REDZUAN

KUCHING, 25 OGOS: Suntikan motivasi yang diberikan Pengendali Selangor, K Gunalan ketika rehat babak pertama membuahkan hasil apabila mereka berjaya membawa pulang satu mata ketika bertemu Sarawak, semalam.

Walaupun mensasarkan tiga mata penuh, namun keputusan seri 1-1 yang dilakar dianggap sesuatu positif selepas mencatatkan keputusan sama menentang T-Team sebelum ini.

“Saya rasa kita bermain dengan bagus di separuh masa kedua untuk mencipta peluang.

“Saya selalu katakan kepada mereka jangan cepat berputus asa. Ketinggalan 1-0 saya akan memberikan motivasi terbaik sehingga bermain 95 minit.

THE RED GIANTS - GUNALAN“Pemain saya memberikan maklum balas yang terbaik. Saya gembira cara mereka bekerja dengan saya,” katanya.

Katanya, kesilapan pemain yang gagal menyempurnakan beberapa peluang terhidang bakal dibaiki secepat mungkin sebelum aksi suku akhir Piala Malaysia, pada Ahad ini.

Selain itu, beliau turut mengharapkan beberapa tonggak yang cedera dapat segera pulih bagi menghadapi baki saingan musim ini.

Menyentuh insiden pergaduhan di minit akhir antara Ugochukwu Ukah dan Mohd Bunyamin Omar, beliau mengambil pendirian untuk tidak mengulas.

“Saya enggan mengulas perkara itu tetapi saya akan maklumkan kepada pengurusan. Saya tidak mahu menyalahkan kedua-dua pemain kerana mereka patut tahu selaku pemain profesional.

“Saya mahu pihak pengurusan mengambil keputusan yang baik buat kedua-dua pemain,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Gagal cipta gol, Selangor terima padah

OLEH : HAFIZAN TAIB

BANDAR JENGKA, 9 APR: Biarpun mempamerkan persembahan baik, namun sedikit kesilapan membawa padah kepada Selangor sehingga tewas kepada Felda United FC malam tadi.

Penolong Jurulatih, K Gunalan, berkata The Red Giants gagal menterjemahkan banyak peluang diperoleh dengan jaringan gol seperti mana diharapkan.

Katanya, sekiranya ia berjaya dilakukan mungkin keputusan perlawanan berbeza.

Sel Fel (1)“Walaupun kita dapat banyak peluang di depan gol lawan dan pemain sudah berusaha bersungguh-sungguh tetapi tidak menyelesaikannya,” katanya kepada media selepas perlawanan Selangor menentang Felda United FC di Stadium Tun Abdul Razak, malam tadi.

Perlawanan dalam aksi Liga Super itu menyaksikan Felda United FC mengalahkan Selangor 3 – 1.

Kemenangan tuan rumah dicipta melalui gol jaringan Muhammad Hadin Azman pada minit kesembilan, Zah Rahan Krangar (m74) dan Francis Forkey Doe (m77) manakala gol saguhati Merah Kuning dijaringkan Patrick Ronaldinho Wleh (m67).

Beliau berkata, Selangor berjaya menyaingi cabaran pasukan lawan dengan gol penyamaan tetapi sedikit kesilapan membuka ruang hingga kemenangan memihak kepada mereka.

Sel Fel“Ketinggalan satu gol kosong, Selangor kembali dengan gol penyamaan tetapi Felda United selepas itu menjaringkan dua gol di mana berlaku kesilapan dalam barisan pertahanan kita,” katanya.

Gunalan juga menepis tanggapan pasukan menghadapi tekanan selepas Selangor seri 2 – 2 ketika menentang Kedah tempoh hari.

Katanya, pemain sentiasa berusaha mempamerkan aksi terbaik dan faham betapa pentingnya setiap perlawanan untuk mendapatkan mata penuh.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Felda United FC, Irfan Bakti menghamburkan pujian kerana persembahan baik pemain hingga berjaya meraih kemenangan itu.

Katanya, berhadapan pasukan seperti Selangor memberikan cabaran hebat dan pemain berjaya mengatasinya dengan menerusi persembahan cemerlang.

LrMobile0904-2016-1221218101006063024“Saya puji kepada pemain telah menunjukkan satu permainan yang baik dan tahniah kerana berjaya mengutip tiga mata,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan menundukkan Terenganu 4 – 1 dalam perlawanan sebelum ini turut memberi motivasi berguna kepada pemain dalam menghadapi perlawanan berkenaan.

“Kita akan fokus untuk perlawanan seterusnya dan diharapkan bila bermain di tempat sendiri kita akan mengutip mata,” katanya dalam usaha Felda United FC mengukuhkan kedudukan dalam carta liga.

-nR-