Categories
SELANGOR

Gagasan Smart Selangor teras kemajuan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 OKT: Hampir 10,000 peserta menyumbang pendapat dan maklum balas bagi pembangunan Blueprint Smart Selangor dan membangunkan Smart Solutions bagi empat domain.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, empat domain berkenaan adalah Smart Governance, Smart Waste Management, Smart Transport and Mobility dan Smart Digital Infrastructure.

Katanya, peserta berkenaan terdiri dalam kalangan wakil agensi Kerajaan Negeri, sektor swasta dan pihak berkepentingan termasuk rakyat.

“Gagasan Smart Selangor adalah teras utama untuk memacu pembangunan negeri mencapai status Smart State.

“Ia bukan hanya tertumpu kepada inisiatif pembangunan infrastruktur Smart semata-mata tetapi turut menggarap nilai kerohanian, kemanusiaan,
amalan tatakelola yang baik dan menjamin keadilan sosial untuk segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2017 di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, antara aspek terpenting urus tadbir adalah konsep ‘Open Government’.

“Dalam hal ini, inisiatif Smart Selangor bertujuan merealisasikan objektif ini selain daripada pembangunan ekonomi lebih mampan, sistem penyampaian lebih berkesan bagi menjamin kualiti kehidupan lebih baik untuk rakyat,” katanya.

-nR-