Categories
SELANGOR

Siap sedia hadapi gelombang kedua air laut pasang besar 15 Okt

SHAH ALAM 5 OKT: Penduduk yang tinggal berhampiran pesisiran pantai melibatkan Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam diarahkan bersiap sedia menghadapi fenomena air pasang besar pusingan kedua dijangka bermula 15 Oktober ini.

Pejabat Tanah Daerah Klang (PTDK) selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah juga mengarahkan beberapa agensi terlibat seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri membuat persediaan mulai sekarang.

Jurucakap PTDK berkata, arahan persediaan menghadapi bencana peringkat tinggi berkaitan fenomena air pasang besar itu dikeluarkan kelmarin, berikutan kejadian itu dijangka lebih besar daripada 19 September lalu.

“Berdasarkan jadual pasang surut air laut, beberapa kawasan di daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam diletakkan dalam persediaan peringkat tinggi bermula 15 Oktober ini.

“Mengikut jadual itu juga, kita meramalkan pasang surut air laut di Pelabuhan Klang dan paras air laut diramal berada pada paras tertinggi dari 16 hingga 19 Oktober,” katanya dalam kenyataan media.

air-pasang1Antara kawasan berisiko tinggi mengalami banjir akibat limpahan air laut dari 15 hingga 21 Oktober ini ialah Sungai Serdang, Bandar Klang, Taman Melawis, Kampung Tok Muda, Pandamaran, Taman Selat Damai, Kampung Sungai Pinang, Kampung Sungai Lima dan Pulau Ketam di daerah Klang.

Diikuti, Kampung Sungai Air Tawar dan Sungai Tengar di Sabak Bernam; Pasir Penambang, Bagan Pasir dan Pantai Remis di Kuala Selangor; pesisiran Pantai Bagan Lalang di Sepang; dan Pantai Kelanang serta pesisir Pantai Tanjung Sepat di Kuala Langat.

Serentak itu katanya, pihaknya melaksanakan simulasi kecemasan bermula 15 Oktober ini termasuk pemantauan pesisir pantai oleh polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Setiap aset bagi kegunaan, operasi pemindahan, mencari dan menyelamat juga ditempatkan di lokasi strategik, manakala pusat pemindahan dibuka bermula jam 2 petang pada 15 Oktober bagi menggalakkan pemindahan secara sukarela oleh penduduk di kawasan berisiko tinggi.

“Bilik Gerakan Bencana Daerah dibuka 24 jam bermula jam 2 petang pada 15 Oktober dan Pusat Kawalan Operasi Bencana melibatkan polis, bomba dan APM juga dibuka di kawasan selamat berhampiran penempatan berisiko tinggi.

“Sistem perparitan JPS, JKR dan PBT serta benteng pesisir pantai juga akan dipastikan berada dalam keadaan baik,” ujarnya.

Semua arahan itu, kata jurucakap berkenaan, berkuatkuasa 15 hingga 21 Oktober.

Orang ramai boleh menghubungi talian 03-55447324 bagi Bilik Gerakan Bencana Negeri dan 03-80642400 untuk Pusat Kawalan Bencana Negeri.

EZY