Categories
NASIONAL

Subsidi minyak masak dijangka dipotong, harga makanan bakal naik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 OKT: Subsidi minyak masak dijangkakan akan dimansuhkan bermula 1 November depan adalah yang pertama dalam tempoh 10 tahun.

Manakala, bermula tahun depan hanya harga bagi bungkusan 1kg akan diberikan subsidi.

Kesemua saiz lain seperti botol 500 gram, 1kg, 2kg dan 3kg, tidak lagi disubsidikan kerajaan.

Persatuan Pengeluar Minyak Makan Malaya (MEOMA) berkata, pengurangan subsidi itu akan menyebabkan kos memasak di negara ini bertambah.

minyak-masakKatanya, turut dijangka meningkat adalah harga makanan di luar, dengan restoran dan premis makanan cuba ‘mengalihkan’ kos berkenaan kepada pelanggan.

“Semua harga runcit bagi minyak masak campuran dalam pelbagai jenis bungkusan juga tidak lagi diberikan subsidi,” katanya dalam kenyataan.

Persatuan itu, katanya, ia selari dengan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) yang dilaksanakan kerajaan pada Jun 2007 berikutan kenaikan harga minyak sawit ketika itu.

COSS distruktur semula merupakan sebahagian daripada pelan rasionalisasi subsidi kerajaan.

Persatuan itu turut memaklumkan bahawa COSS yang di bawah bidang kuasa Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, akan diselia Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Katanya, subsidi kerajaan bagi keperluan asas seperti petrol, diesel, minyak masak, tepung dan bantuan seperti BR1M menurun sebanyak 9.6 peratus kepada RM24.64 bilion tahun ini, dari RM27.3 bilion tahun lepas.

Ia menjangkakan jumlah itu akan lebih rendah pada tahun depan, berikutan pelan rasionalisasi subsidi.

Harga runcit siling bagi pek plastik 1kg dan botol 5kg akan disemak semula menyaksikan peningkatan harga dari RM2.50 kepada RM2.90 untuk pek plastik 1kg, dan dari RM13.35 kepada RM15.25 bagi botol 5kg.

YUSOF FOMCASementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna-Penguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, Kerajaan Persekutuan perlu memastikan kenaikan itu tidak terlalu mendadak dan perlu memastikan peniaga tidak menaikan harga sesuka hati.

Yusof menjangkakan harga makanan akan meningkat tidak lama lagi.

Selain itu, Presiden Persatuan Penjaja Persekutuan Malaysia, Yaw Boon Choon berkata, pemansuhan subsidi bagi minyak masak akan menjejaskan peniaga makanan.

“Ini terutama peniaga yang menggunakan banyak minyak seperti peniaga cakoi,” katanya.

-nR-