Categories
SELANGOR

Kempen Kitar Semula MBSA didik golongan muda

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM 12 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd mengadakan kempen pertandingan kesedaran kitar semula peringkat sekolah di sekitar perbandarannya.

Pelaksanaannya tertumpu kepada usaha untuk mendidik masyarakat terutamanya pelajar dan golongan muda terhadap kepentingan amalan kitar semula dalam kehidupan harian.

“Sebagai salah satu langkah untuk menggalakkan penyertaan di dalam pertandingan ini, setiap sekolah terlibat diberikan insentif RM200.00 oleh MBSA.

“Pertandingan ini berjaya mengumpul berat kutipan barangan kitar semula 121,321.2 kilogram berbanding 2015 yang mengumpul 118,544.9 kilogram barangan kitar semula,” kata MBSA dalam kenyataannya.

mbsaPenganjuran tahunan kali ini melibatkan penyertaan lima sekolah tadika dan prasekolah, 15 sekolah menengah serta penyertaan 16 sekolah rendah.

Dalam perkembangan itu, selaku penaja utama F&N Baverages Marketing Sdn. Bhd juga menyumbang RM26,000 untuk menjayakan program ini.

Selain itu, pihak MBSA turut menerima sumbangan dari Tetra Pak (Malaysia) Sdn. Bhd yang menyumbangkan wang tunai RM1,500.00 untuk Hadiah Anugerah Khas Tetra Pak Tertinggi.

Majlis penutup disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad, turut hadir bersama Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd, Puan Cariessa Goh, dan Ahli-Ahli Majlis dan Pengarah-Pengarah Jabatan MBSA.

EZY