Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sasar tanam sejuta pokok wujud karbon rendah

OLEH NORHAYATI UMOR

BANGI, 12 NOV: Sebanyak 1 juta pokok disasar ditanam di seluruh negeri tahun depan selaras hasrat Kerajaan Negeri bagi mewujudkan suasana persekitaran rendah karbon, menghijaukan dan memelihara alam sekitar.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, sebanyak 900,000 pokok berjaya ditanam sejak 2010.

Katanya, Kerajaan Negeri secara konsisten menggalakkan sektor korporat dan perniagaan mengamalkan ‘Good Corporate Citenship’ khususnya membantu meningkatkan kualiti hidup.

“Sejak 2010, program seperti ini diaktifkan Kerajaan Negeri diseluruh Selangor.

“Setakat ini kita berjaya menanam lebih 900,000 pokok. Jadi kita berharap tahun depan kita berjaya mencecah 1 juta pokok,” katanya ketika ditemui di Program ‘Pledge and Plant A Tree’,” di TamanTasik Cempaka, di sini.

Hadir sama, Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia, Md Nazri Noordin dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kajang, Sayuthi Bakar.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri Bangi, Shafei Ngah.

Pada masa sama, Elizabeth berkata melalui Pelan Tindakan Teknologi Hijau Negeri Selangor 2016-2018, Kerajaan Negeri menyediakan subsidi kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi lain untuk melaksanakan sekurang-kurangnya satu program seperti itu.

“Pelan ini merupakan usaha Kerajaan Negeri ke arah pembangunan ekonomi lestari dalam mencapai status negeri mahu.

“Disamping menyumbang kepada pengurangan 45 peratus intensiti pelepasan gas karbon kepada KDNK pada 2030,” katanya.

EZY