Categories
NASIONAL

Keperluan hospital baru dipotong walau keperluan mendesak

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Walaupun keperluan mendesak bagi membina hospital baru, namun pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil langkah memotong peruntukan pembinaannya dalam Belanjawan 2017 sebanyak 35 peratus kepada RM177.2 juta berbanding RM273 juta pada 2016.

Ahli Parlimen Kampar, Dr Ko Chun Seng berkata, pemotongan sebanyak RM95 juta itu tidak sepatutnya berlaku berikutan nisbah katil hospital berbanding populasi negara ketika ini adalah 1.9 katil bagi setiap 1,000 penduduk.

Katanya, perkembangan itu sekaligus meletakkan negara berada di tangga ke 119 daripada 190 negara dalam kedudukan kemudahan kesihatan seluruh dunia.

“Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar telah bertitah Hospital Sultanah Aminah bukanlah kilang sardin dan kerajaan mesti membina sebuah hospital baru yang lebih baik untuk memberi perkhidmatan sempurna kepada rakyat tetapi malangnya dan mengejutkan, kerajaan kehabisan dana untuk membina hospital baru.

“Kerajaan tidak boleh berdalih lagi dengan mengatakan tidak mempunyai dana mencukupi. Dana membina hospital baru adalah kecil berbanding RM55 bilion yang akan dibelanjakan untuk projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) sepanjang 600 kilometer atau bersamaan 91.7 juta bagi setiap satu kilometer.

hospital“Peruntukan Perdana Menteri untuk membina hospital tahun 2017 tidak cukup untuk membina walau dua kilometer landasan ECRL ini,” kata Chun Seng pada sidang medianya di Lobi Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Jelasnya, dalam carta sama, Singapura berada di kedudukan ke 94 dengan nisbah 2.9 bagi 1,000 penduduk, United Kingdom pada tangga ke 61 dengan nisbah 4.2:1,000, Indonesia di tangga ke 36 dengan nisbah 6:1,000, Jerman kedudukan ke lapan (8.9:1,000) dan Jepun kedudukan ke empat (14.4:1,000).

Katanya, negara memerlukan sekurang-kurangnya 25 buah hospital bersaiz Hospital Sultanah Aminah dengan kemampuan 1,200 buah katil setiap satu bagi menyamai kemampuan Singapura.

Ketika menyentuh perbezaan pembangunan hospital di era Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai Perdana Menteri, Chun Seng memberitahu, era kegemilangan pembinaan hospital berlaku pada tahun 2003 apabila Kerajaan ketika itu memperuntukan RM1.7 bilion untuk membina hospital baru iaitu perbezaan sebanyak 90 peratus berbanding peruntukan bagi tahun 2017.

-nR-