Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pembaikan jambatan Dengkil-Banting dijangka siap 20 Januari

SEPANG, 28 DIS: Jambatan yang menghubungkan Dengkil ke Banting di sini yang runtuh akibat banjir baru-baru ini dijangka siap pada 20 Januari tahun depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yakin kerja baik pulih dapat diselesaikan segera meskipun mengalami hakisan teruk sejak 17 Disember lalu.

“Kita jangka paling maksimum (pembaikan) siap pada 20 Januari 2022 kemudian dibuka semula kepada umum kira-kira dua atau tiga hari selepas menerima taraf selamat.

“Beberapa urusan pencegahan banjir, kerja tambak dan pemasangan ‘shift piling’ akan dibuat segera,” katanya pada sidang media selepas melawat pascabanjir di Sepang hari ini.

Kerja baik pulih jambatan yang menelan kos sehingga RM800,000 diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS).

Amirudin menambah pembaikan itu berkemungkinan melewatkan proses tebatan banjir Sungai Langat yang bermula sejak Julai lalu dan dijangka siap pada 20 Julai 2023.

“Ini sebahagian usaha berterusan Kerajaan Negeri melalui JPS untuk menangani masalah banjir di daerah Sepang dan kawasan sekitar,” katanya lagi.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dapat dana RM500,000 bina jambatan, kerja keras 13 tahun berbaloi

GOMBAK, 29 NOV: Penantian satu penyiksaan, namun berbaloi buat penduduk Kampung Sungai Salak, Batu 10 di sini, yang mendapat dana bagi membina jambatan baharu.

Jerih perih yang dialami selama 13 tahun didengari Kerajaan Negeri yang menyumbang RM500,000 untuk membina kemudahan bagi melancarkan pergerakan penduduk setempat.

Setiausaha jawatankuasa bertindak kampung tersebut berkata usaha memohon dana bermula pada 2007 melalui ketua kampung, tetapi tiada jawapan diterima.

“Tiga tahun selepas itu saya buat lagi permohonan, namun hasilnya sama sehingga saya bertekad menubuhkan jawatankuasa bertindak pada 2013 untuk mengemukakan masalah ini secara lebih serius.

Siti Aisah Mohd Junus ketika di temu bual Media Selangor selepas Program Ramah Mesra Kampung Sungai Salak, Gombak pada 28 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sepanjang tempoh itu, banyak kali kami naik turun ke pejabat kerajaan. Alhamdulillah, khabar gembira diterima pada September tahun ini,” kata Siti Aisah Mohd Junus.

Anak jati Kampung Sungai Salak berusia 57 tahun itu menambah penduduk terpaksa menggunakan satu jambatan sahaja yang menghubungkan Kampung Batu 9 1/2 ke Kampung Batu 10.

Jelasnya, jambatan sedia ada tidak boleh dilalui dua kenderaan pada satu-satu masa berikutan saiznya yang terlalu sempit.

Siti Aisah berkata kekangan kemudahan turut menyukarkan pergerakan keluar masuk jentera bomba sekiranya berlaku kecemasan di kampung berkenaan.

“Lebih menyedihkan penduduk tidak dapat keluar masuk apabila jambatan sedia ada rosak,” tambahnya.

Seorang penduduk, Lea Izza Shamsudin, 30, berpendapat keselamatan penduduk kampung akan lebih terjamin apabila jambatan berkenaan siap kelak.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam lawatannya memaklumkan projek pembinaan jambatan itu dijangka bermula awal Januari tahun depan.

Categories
SELANGOR

ADN: Kerja pembersihan, naik taraf Sungai Gombak giat dilaksana

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 15 APRIL: Usaha menaik taraf dan membersihkan Sungai Gombak sedang giat dilaksanakan sebagai langkah persediaan menghadapi taburan hujan yang semakin meningkat.

Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata, pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi melihat keperluan mempertingkat usaha membersihkan sungai berkenaan.

Katanya, kerja pembersihan dari Kampung Kerdas sehingga ke kawasan Gombak Utara itu mula dijalankan sejak Januari lalu membabitkan penggunaan dua jentera.

“Ini antara langkah proaktif Kerajaan Negeri untuk memastikan kejadian banjir di kawasan ini tidak lagi berulang memandangkan kejadian yang berlaku baru-baru ini adalah fenomena cuaca di luar jangkaan.

“Jika sebelum ini, kerja pelaksanaan itu hanya bertumpu kepada satu kumpulan sahaja, tetapi kali ini kita sudah mengarahkan JPS untuk bertindak dan ia akan berterusan sehingga semua selesai,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas berhubung sebuah jambatan konkrit yang roboh di Kampung Sungai Cincin sejak 10 tahun lalu, Hilman berkata, pihaknya akan mengambil pendekatan merobohkan sepenuhnya jambatan terbabit.

Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, sebagai menggantikan jambatan roboh itu, pihaknya bercadang membina jambatan baharu selepas mencapai persetujuan di peringkat JPS bagi memudahkan pengguna motosikal, khasnya.

“Melalui perbincangan dibuat minggu lalu, kita sudah mengarahkan JPS yang dipengerusikan pegawai daerah minggu lalu untuk mengambil langkah segerah merobohkan jambatan berkenaan.

“Jambatan lama yang menjengah usia 20 tahun ini mengundang kegusaran penduduk setempat, khususnya kepada pengguna motosikal ditambah pula apabila hujan lebat menyebabkan kayu balak tersangkut, sekali gus mengganggu sistem saliran air,” katanya.

Categories
NASIONAL

Malaysia-Singapura perlu ada beberapa jambatan rungkai isu trafik

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia dan Singapura memerlukan sekurang-kurangnya tiga hingga empat jambatan untuk memudahkan aliran trafik antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri berkata, berbanding Pulau Pinang yang kini merancang untuk membina jambatan ketiga mereka ke tanah besar dalam bentuk terowong, aliran trafik di Singapura jauh lebih besar.

“Walaupun Pulau Pinang yang kurang penduduknya daripada Singapura pada mulanya menolak jambatan pertama, tetapi kemudiannya kita membina jambatan lain dan sekarang kita mahukan satu lagi terowong dan itu (hanya) Pulau Pinang dan tanah besar.

“Trafik Singapura jauh lebih besar daripada Pulau Pinang, kita hanya mempunyai satu jejambat dan jambatan, kita memerlukan sekurang-kurangnya tiga hingga empat jambatan,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab di Invest Malaysia 2019, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, republik itu bagaimanapun tidak mahu lagi jambatan untuk alasan tertentu yang beliau sendiri tidak faham.

Mengenai perjanjian air, Dr Mahathir memberi jaminan bahawa kedua-dua negara tidak akan berperang.

“Kami orang baik … kami akan cuba berunding seperti orang beradab,” katanya.

Mengenai perkara berasingan, Dr Mahathir mengulangi pendiriannya bahawa Laut China Selatan yang dipertikaikan harus tetap terbuka untuk semua kapal bahkan kapal perang untuk belayar melaluinya.

Beliau menegaskan bahawa kebebasan itu bagaimanapun tidak sepatutnya membenarkan mana-mana kapal perang untuk berlabuh secara tetap di mana-mana bahagian perairan itu kerana ia akan menimbulkan provokatif kepada negara-negara sekitar.

“Itu bukan apa yang kita mahu lihat di Laut China Selatan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jambatan ditutup, mendapan serius di Jalan Kampung Rantau Panjang

BESTARI JAYA 24 OKT: Akibat mendapan serius menyebabkan jambatan yang menghubungkan Jalan Kampung Rantau Panjang, di sini terpaksa ditutup.

Menurut sumber Jabatak Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Selangor, penduduk setempat dan pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan Jalan Rawang – Jalan Raja Musa – Jalan Timur Tambahan Bestari Jaya.

Jambatan itu tidak boleh dilalui selepas mendapan di permulaan laluan pada jam 10.15 malam, tadi dan orang ramai dinasihatkan menggunakan laluan alternatif.

“Pengadang bagi penutupan jalan diletakkan di permulaan susur masuk Jalan Rantau Panjang berikutan memberi laluan projek menggantikan jambatan baharu,” katanya salam satu kenyataan.

Categories
GLOBAL

China lancar jambatan terpanjang dunia hubung Hong Kong, Macau

ZHUHAI 23 OKT: Jambatan laut terpanjang di dunia yang menghubungkan Hong Kong, Macau dan tanah besar China akan dilancarkan hari ini ketika Beijing berusaha untuk mengetatkan cengkamannya ke atas wilayah semi-autonomi China itu.

Presidennya, Xi Jinping dijangka merasmikan upacara bersejarah itu di bandar utama Zhuhai, pagi ini, tetapi maklumat terperinci mengenai majlis itu masih dirahsiakan.

Jambatan sepanjang 55 kilometer dilengkapi jambatan jalan raya dan terowong bawah laut yang menghubungkan pulau Lantau ke Zhuhai dan kawasan perjudian Macau, merentasi perairan Pearl River Estuary.

Difahamkan ia adalah projek infrastruktur utama kedua terbesar yang menghubungkan Hong Kong ke tanah besar China yang bakal beroperasi, selepas pembukaan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi hujung bulan lalu.

Pengkritik berkata jambatan bernilai berbilion bilion dolar itu adalah satu cara untuk mengintegrasikan Hong Kong kepada China.

Jambatan mega itu akan dibuka kepada kenderaan awam esok, sehari selepas majlis perasmiannya.

Pembinaan yang bermula pada 2009 itu berdepan beberapa masalah seperti kelewatan, perbelanjaan berlebihan, tuduhan rasuah dan kematian pekerja pembinaan.

SUMBER: AFP

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Penduduk Kampung Pasir terima jambatan baharu

OLEH SHEEDA FATHIL

HULU LANGAT, 26 SEPT: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3.011 juta bagi membina jambatan baharu, di Kampung Pasir, Sungai Lalang, di sini.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, ia bagi menggantikan jambatan lama yang memiliki struktur kayu dan tidak selamat jika terus digunakan.

“Bagi mencapai kemajuan dalam pembangunan infrastruktur yang berkualiti, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kerja Raya Selangor berjaya menyiapkan projek menggantikan Jambatan Kampung Pasir dalam jangka masa lebih awal daripada sepatutnya.

“Hal ini seharusnya dipuji dan saya optimis pembinaan jambatan konkrit baharu ini mampu memberi manfaat kepada penduduk sekitar serta sistem perhubungan awam yang sering melalui kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Projek Menggantikan Jambatan Kampung Pasir, Sungai Lalang, daerah Hulu Langat, hari ini.

Mengulas berkenaan pemasangan lampu jalan di kawasan itu, beliau berkata, ia akan dibincang dalam masa terdekat bersama pihak terbabit.

Pada masa sama, Ir Izham berkata, beliau komited memastikan projek pembangunan berkaitan infrastruktur, di Selangor diteliti sewajarnya.

Terdahulu, Projek Jambatan Kampung Pasir dilaksanakan kontraktor Tekad Nusantara Sdn Bhd dan Jurutera Perunding, Ganding Asli secara kontrak konvensional (perunding) yang dimulakan pembinaan, pada 1 Februari 2017 dan siap sepenuhnya, pada 9 April lalu.

Skop kerja meliputi pembersihan tapak dan kerja perobohan, kerja tanah, perparitan, turapan, perabot jalan, kerja geoteknik, pelan pengurusan trafik, kerja perlindungan alam sekitar dan kerja rutin penyelenggaraan.

Difahamkan, jambatan itu mampu memberi kemudahan kepada penduduk di 280 rumah sekitar kampung berkenaan.

Categories
SELANGOR

Jambatan Raja Muda Nala atasi kesesakan dua jambatan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 JAN: Pembinaan Jambatan Ketiga Klang atau Jambatan Raja Muda Nala tepat pada masanya ekoran pembangunan pesat di kawasan sekitar ketika ini.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, perancangan membuat jambatan itu bertujuan mengurangkan kesesakan dua jambatan sedia ada, di bandar klang.

Katanya, secara kasar projek terbabit berjaya memberi manfaat yang sangat besar kepada penduduk khususnya Selat Klang.

“Ini adalah kerana penduduk tidak perlu melalui Bandar Klang untuk ke Utara juga Selatan lagi. Sebagai contoh, penduduk dari Rantau Panjang (Utara Klang) perlu melalui Bandar Bukit Tinggi.

“Namun, selepas terbinanya jambatan ini, mereka mempunyai jalan pintas ke Bukit Tinggi. Ini secara tidak langsung memendekkan perjalanan kira-kira 20 hingga 30 minit dan mengurangkan 20 peratus trafik, di Bandar Klang,” katanya kepada SelangorKini.

Zaidy berkata, bagi jangka masa panjang, Kerajaan Negeri menjangkakan kawasan sekitar akan membangun dan memberi keuntungan kepada penduduk serta kerajaan.

“Pembangunan ini akan merancakkan ekonomi setempat dan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Kejayaan pelaksanaan projek ini menjadi tanda aras keprihatinan Kerajaan Negeri yang begitu mengambil berat terhadap permasalahan rakyat dan penduduk setempat dalam usaha menangani kesesakan lalu lintas terutama, di pusat bandar Klang,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Selat Klang, Dr Halimah Ali mengalukan pelebaran projek jambatan itu yang sudah pasti memberi manfaat kepada penduduk.

Katanya, dengan jaringan kemudahan infrastruktur yang terbaik, maka penduduk, pekerja, peniaga dan pelajar akan menikmati pelbagai kemudahan.

Categories
SELANGOR

Penduduk nikmati kemudahan Jambatan Raja Muda Nala

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM – Hampir keseluruhan penduduk sekitar Utara dan Selatan Klang sudah menikmati kemudahan Jambatan Raja Muda Nala yang disediakan Kerajaan Negeri walaupun kurang enam bulan pembukaannya.

Manakala, bagi kegunaan harian dianggarkan peratusan pengguna pula sekitar 40 hingga 45 peratus.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, sambutan penduduk amat menggalakkan kerana jambatan berkenaan memendekkan jarak dan waktu perjalanan penduduk.

Katanya, manfaat itu memberi kelebihan khususnya kepada penduduk di Kampung Sungai Udang, Kampung Delek, Kampung Rantau Panjang dan taman perumahan sekitar untuk urusan harian.

“Sekiranya dilihat daripada segi pemerhatian, hampir keseluruhan penduduk sekitar kawasan di Utara dan Selatan Klang yang berdekatan melalui jambatan baru ini.

“Ketika ini, kita dapat melihat trafik lancar setiap hari dan pengguna bukan sahaja dari kawasan sekitar tetapi membabitkan pengguna luar kerana ia menghubungkan Utara juga Selatan Klang tanpa perlu melalui Bandar Klang,” katanya.

Bagaimanapun, Zaidy berkata, satu kajian terperinci selepas enam bulan pembukaan jalan akan dilakukan oleh kontraktor projek melalui Audit Keselamatan Jalan Raya (RSA) peringkat 5.

Katanya, kajian yang akan dijalankan itu untuk melihat keberkesanan pembinaannya, bermula pada 2 Februari ini.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri tanggung hampir RM300,000 tanggungjawab Persekutuan

OLEH LIZAWATI MADFA

HULU SELANGOR, 25 OGOS: Sejumlah RM296,000 dibelanja Kerajaan Negeri bagi membina semula jambatan di Kampung Baru Gurney, di sini, walaupun ia tanggungjawab Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, jambatan asal dibiayai Kerajaan Persekutuan namun tiada tindakan lanjut walaupun keperluan jambatan baru disuarakan, sejak 2012.

Katanya, Kerajaan Negeri bagaimanapun bersetuju mengeluarkan peruntukan selepas mengambil kira keperluan mendesak lebih 1,000 penduduk di kampung berkenaan.

HULU SELANGOR EAN (2)“Seharusnya Kerajaan Persekutuan beri peruntukan, malangnya tiada bantuan walaupun ia adalah tanggungjawab mereka. Kita kesal dengan sikap sebegitu, namun tidak mengapa kerana Kerajaan Negeri sentiasa bersedia demi kemudahan penduduk,” katanya selepas menyertai lawatan kerja ke tapak jambatan dengan disertai Jurutera Daerah Hulu Selangor (JPS), Halim Masri.

Halim berkata, kerja pembinaan mula dibuat pada 21 Julai lalu dan dijangka siap pada 14 September ini.

Katanya, ia bagaimanapun hanya boleh dilalui kenderaan kecil seperti motosikal, basikal serta pejalan kaki.

“Itu permintaan penduduk di sini untuk membina jambatan konkrit untuk laluan berkapasiti kecil bagi memudahkan penduduk terutama pelajar ke sekolah.

“Ia tidak sesuai untuk laluan kereta, maka kita penuhi permintaan penduduk seperti diminta Kerajaan Negeri,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Projek Pembinaan Jambatan Ketiga Klang siap 88%

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 4 NOV: Kemajuan kerja bagi Projek Pembinaan Jambatan Ketiga Klang Fasa 1 adalah 88 peratus berbanding 95.29 peratus yang dijadualkan.

Exco Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, projek itu mengalami kelewatan 51 hari bersamaan 7.29 peratus.

“Kelewatan projek ini disebabkan masalah pengambilan tanah dan pengalihan tokong yang menyebabkan kerja pengalihan utiliti terjejas.

zaidy-dun“Kemajuan kerja terkini meliputi pembinaan struktur jambatan 80 peratus, pembinaan jalan raya 75 peratus serta kerja elektrikal dan utiliti 80 peratus,” katanya ketika menjawab pertanyaan ADN Bukit Melawati, Jakiran Jacomah berkenaan isu status terkini pembinaan jambatan itu.

Zaidy berkata, projek yang bermula 2014 itu memakan kos semasa lebih RM210.8 juta yang diperuntukkan Kerajaan Negeri dan dijangka siap Mei 2017.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga membuat penambahan kerja pembinaan klinik kesihatan yang diperuntukkan sebanyak RM6 juta bagi menggantikan yang sedia ada, bermula pada Oktober lalu.

Difahamkan, Kerajaan Persekutuan mengumumkan pembinaan jambatan ketiga Klang, pada 4 Mac 2008 sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12.

Projek tersebut melibatkan pembinaan jambatan sepanjang 0.5 kilmeter (km) dan menaik taraf jalan sepanjang 3.8km.

Namun , sehingga awal 2013, pembinaan jambatan tersebut masih gagal dilaksanakan dan Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk meneruskan projek pembinaanitu selepas mengambil kira keperluan untuk memastikan kelancaran trafik di bandar Klang.

-NFN-

Categories
SELANGOR

RM236,000 baiki jambatan runtuh Pulau Ketam

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 21 APR: Sejumlah RM236,000 diperuntukkan bagi membina semula jambatan di Sungai Satu, Pulau Ketam.

Exco Kerajaan Tempatan, Ean Yong Hian Wah berkata, sebuah lagi jambatan runtuh di Bagan Teochew juga akan dibina semula.

runtuh“Kita masih menunggu anggaran kos disediakan Pejabat Tanah dan Daerah Klang sebelum mengeluarkan peruntukan.

“Kedua-duanya akan dibina dengan kadar segera untuk kemudahan penduduk,” katanya kepada Selangor Kini.

Terdahulu, beliau diiringi Adun Selat Kelang, Dr Halimah Ali melawat ke jambatan yang berusia lebih 30 tahun itu.

Sementara itu, Halimah berharap Kerajaan Negeri dapat melihat secara keseluruhan keperluan infrastruktur di Pulau Ketam.

“Diharap peruntukan pembangunan mencukupi dapat dibincangkan bersama Kerajaan Persekutuan bagi memajukan Pulau Ketam sebagai destinasi pelancongan,” katanya.

Jambatan di Bagan Teochew merupakan jalan perhubungan utama penduduk ke pekan, runtuh pada 18 April lalu akibat sudah uzur.

EZY