Categories
SELANGOR

Sabak Bernam miliki pakej majukan pelancongan

OLEH HAFIZAN TAIB

SABAK BERNAM, 17 NOV: Sabak Bernam mempunyai pakej unik yang mampu menggamit kehadiran pelancong ke sini seterusnya merancakkan industri pelancongan di Selangor.

Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Azlinda Azman, berkata daerah itu terkenal dengan kehijauan bendang yang memberikan pengalaman dengan suasana berbeza kepada pengunjung.

“Selain bendang, Sabak Bernam juga mempunyai tarikan lain seperti rumah inap (homestay) di mana kalau tinggal di situ dilakukan juga aktiviti sampingan seperti memancing belut, gagau ikan dan sebagainya.

“Ia juga terkenal dengan sajian makanan laut serta produk barangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) berasaskan pertanian,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

pelancongan-desaBeliau berkata, dari sudut geografi, Sabak Bernam sangat istimewa ekoran ia dikelilingi bendang, hutan simpan, sungai dan laut.

Katanya, mereka yang berkunjung ke sini dapat merasai suasana desa sebenar seperti masa dahulu.

“Kita dapat melihat aktiviti masa lalu seperti kanak-kanak mandi di tali air, menangkap ikan, melihat kapal di bagan dan yang lain.

“Untuk menikmati suasana sebegini maka perlu datang ke Sabak Bernam,” katanya.

Beliau berkata, MDSB juga mengadakan pelbagai program dan aktiviti bersesuaian di sepanjang tahun bagi memenuhi kehendak masyarakat setempat dan pengunjung di sini.

-nR-