Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Caj parkir kawasan tumpuan Sabak Bernam tangguh ke tarikh lain

SHAH ALAM, 14 DIS: Pelaksanaan pembayaran parkir di kawasan tumpuan daerah Sabak Bernam yang sepatutnya bermula 1 Januari ditangguhkan ke satu tarikh lain.

Pegawai Komunikasi Korporat Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) Noraini Ahmad berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa baru-baru ini.

Menurut beliau, penangguhan itu bagi meringankan beban orang ramai susulan pandemik Covid-19.

“Sepatutnya pembayaran parkir termasuk secara digital mula dilaksana di beberapa kawasan tumpuan ramai tetapi kita tangguhkan terlebih dahulu untuk bantu masyarakat terkesan dengan Covid-19.

“MDSB akan memaklumkan tarikh pelaksanaannya apabila ada keputusan muktamad,” katanya ketika dihubungi.

Berdasarkan jawapan lisan Sidang Dewan Negeri Selangor pada 30 Oktober hingga 12 November tahun lalu, Kerajaan Negeri memaklumkan pelaksanaan tempat letak kereta berbayar di kawasan pentadbiran MDSB akan dilaksana di Pekan Sabak, Sekinchan dan Sungai Besar.

Cadangan lokasi itu dibuat berdasarkan kawasan itu sering menjadi tumpuan dan mempunyai premis perbankan.

Categories
PBT SELANGOR

MDSB: Hanya individu lengkap vaksin dibenar masuk pasar pagi, malam

SHAH ALAM, 7 SEPT: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) hanya membenarkan individu lengkap vaksin dan genap tempoh matang 14 hari suntikan sahaja masuk ke pasar pagi dan malam.

Pegawai Komunikasi Korporatnya Noraini Ahmad berkata sekiranya gagal mematuhi peraturan itu tindakan kompaun sehingga RM2,000 akan dikenakan.

“Pelanggan yang ingin masuk ke kawasan pasar pagi dan malam mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi kepada pegawai yang bertugas. Syarat sama turut dikenakan kepada peniaga.

“Kita harap dengan cara ini dapat mengurangkan jangkitan Covid-19 sekali gus menggalakkan lebih ramai mengambil vaksin,” katanya kepada SelangorKini.

Manakala, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kajang, Kamarul Izlan Sulaiman memaklumkan individu berusia bawah 18 tahun tidak dibenar masuk ke pasar pagi dan malam.

“Syarat ini dibuat sebagai perlindungan kerana mereka belum divaksin disamping mengelak penularan wabak,” katanya.

Sebanyak 25 pasar pagi dan malam di Kajang kini telah beroperasi sejak pertengahan Ogos dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat.

Bermula 16 Ogos, kerajaan membenarkan premis cuci kereta, elektrik dan elektronik, barangan rumah dan peralatan dapur, perabot, peralatan sukan, aksesori kereta dan pusat pengedaran serta jualan kereta dibuka.

Kebenaran turut diberi kepada pasar pagi dan pasar tani; kedai pakaian, fesyen dan aksesori; barang kemas dan kedai gunting rambut.

Categories
PBT SELANGOR

MDSB cadang peniaga bazar Ramadan teruskan jualan dalam talian

SHAH ALAM, 3 APRIL: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) tiada halangan dengan cadangan penganjuran bazar Ramadan secara dalam talian selagi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi, kata yang dipertuanya.

Mohd Faizul Fitri Muslil berkata kaedah penjualan menerusi Facebook dan WhatsApp sudah diguna secara meluas sebelum pelaksanaan PKP.

Katanya perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah pelanggan boleh dibuat oleh peniaga dengan mematuhi arahan PKP seperti menjaga penjarakan sosial.

“Kita menyambut baik komitmen Kerajaan Negeri (jika mewujudkan Bazar Ramadan dalam talian) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Langkah ini membuktikan Kerajaan Negeri tidak mengabaikan peniaga bazar di samping inisiatif bantuan yang diumumkan baru-baru ini juga dapat membantu penjaja kecil,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan memulangkan semula bayaran fi permit kepada penjaja yang sudah membuat permohonan tapak niaga Bazar Ramadan di daerah terbabit melalui keadah dalam talian.

Pada 1 April, Selangor memutuskan kesemua bazar Ramadan di negeri itu dibatalkan buat masa ini susulan penularan wabak Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau berbincang dengan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) secara dalam talian dan mendengar cadangan mereka mengenai isu berkenaan.

 

Categories
SELANGOR

MDSB akui aduan sampah haram berkurang

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 6 APR: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) mengakui aduan isu longgokan sampah haram berkurangan apabila perkhidmatan kutipan sampah di kampung tradisi dilaksanakan sejak Disember tahun lalu.

Penolong Pegawai Komunikasi Korporatnya, Noraini Ahmad berkata, pada tahun ini sahaja, hanya dua aduan berhubung sampah haram di kawasan itu dibuat.

Katanya, MDSB menyediakan lebih 100 tong sampah di kampung tradisi melibatkan empat kawasan dengan pecahan tujuh zon bagi kemudahan penduduk membuang sampah.

“Empat kawasan itu adalah di Sekinchan, Sungai Besar, Sabak dan Sungai Air Tawar.

“Perkhidmatan kutipan sampah domestik di semua kawasan itu pula dilaksanakan setiap hari.

“Bagaimanapun, kutipan sampah pukal, kebun dan perabot pula dilaksanakan seminggu sekali iaitu empat kali sebulan,” katanya.

Noraini memaklumkan, pelaksanaan kutipan itu adalah selaras dengan arahan Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat menguruskan perkhidmatan kutipan sampah di semua kawasan PBT, termasuk di kampung tradisi mengikut garis panduan ditetapkan.

“Secara tidak langsung dapat mengurangkan aduan sampah haram di kampung tradisi, selain meningkatkan tahap kualiti kehidupan di luar bandar dengan pengurusan sisa pepejal yang baik,” katanya.

Categories
SELANGOR

MDSB PBT pertama anjur Sambutan Hari Wanita

OLEH LIZAWATI MADFA

SABAK BERNAM, 13 MAC: Lebih 1,000 warga daerah ini mengunjungi Karnival Sambutan Hari Wanita Sedunia Peringkat Daerah Sabak Bernam yang berlangsung selama tiga hari dua malam, baru-baru ini.

Setiausaha Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Awaluddin Zakaria berkata, pihaknya merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama menganjurkan sambutan seumpamanya di Selangor.

Katanya, ia sebagai menghargai dan meraikan golongan wanita yang sentiasa memainkan peranan penting memaju kemajuan dan kesejahteraan masyarakat.

HWSB 1“Sempena karnival kali ini, kita beri peluang kepada lebih 40 peniaga wanita membuka gerai di karnival dalam usaha menambah pendapatan mereka.

“MDSB sentiasa berusaha meningkatkan ekonomi wanita tempatan bagi membantu menyara keluarga masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan aluan di Majlis Perasmian Penutup di Jalan Stadium, di sini, semalam.

Karnival yang bermula 10 Mac hingga 12 Mac lalu itu disempurnakan Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi.

Selain aktiviti jualan dan persembahan, karnival turut menganjurkan Pertandingan Bola Jaring, Pertandingan Teh Tarik Queen dan Pertandingan Aerobikthon.

-nR-

Categories
SELANGOR

MDSB utamakan pelaksanaan pembangunan ikut prosedur

OLEH HAFIZAN TAIB

SABAK BERNAM, 17 NOV: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menekankan segala pembangunan di daerah itu dilaksanakan mengikut prosedur dan undang-undang ditetapkan.

Yang Dipertua MDSB, Azlinda Azman, berkata ia adalah penting demi kelancaran setiap perancangan diatur demi kebaikan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dan masyarakat setempat.

“Fokus kita ialah memastikan setiap pembangunan dirancang di daerah ini dijalankan dengan tersusun dan mengikut undang-undang.

“Ia penting untuk dipatuhi juga mengikut jangka masa ditetapkan supaya tidak timbul sebarang masalah kemudiannya,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari jni.

Berhubung peruntukan belanjawan tahun depan, beliau berkata, berbanding PBT lain, belanjawan MDSB adalah yang paling kecil dan terhad.

sabakIni kerana, katanya, dari segi peratusan bagi MDSB ialah 40 peratus adalah hutan simpan, 40 peratus pertanian atau sawah padi dan selebihnya 20 peratus sahaja bagi pembangunan yang mana kebanyakannya telah dilaksanakan.

“Ia satu kekangan bagi kita untuk mencari hasil yang baru namun kita cuba memaksimakan semampu boleh untuk kita pastikan apa juga hasil diterima akan diguna pakai untuk kebajikan dan kesinambungan masyarakat setempat.

“Kita akan pastikan setiap peruntukan diterima daripada Kerajaan Negeri digunakan sebaiknya mengikut keperluan dan kemampuan serta mengelak pembaziran,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

Sabak Bernam miliki pakej majukan pelancongan

OLEH HAFIZAN TAIB

SABAK BERNAM, 17 NOV: Sabak Bernam mempunyai pakej unik yang mampu menggamit kehadiran pelancong ke sini seterusnya merancakkan industri pelancongan di Selangor.

Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Azlinda Azman, berkata daerah itu terkenal dengan kehijauan bendang yang memberikan pengalaman dengan suasana berbeza kepada pengunjung.

“Selain bendang, Sabak Bernam juga mempunyai tarikan lain seperti rumah inap (homestay) di mana kalau tinggal di situ dilakukan juga aktiviti sampingan seperti memancing belut, gagau ikan dan sebagainya.

“Ia juga terkenal dengan sajian makanan laut serta produk barangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) berasaskan pertanian,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

pelancongan-desaBeliau berkata, dari sudut geografi, Sabak Bernam sangat istimewa ekoran ia dikelilingi bendang, hutan simpan, sungai dan laut.

Katanya, mereka yang berkunjung ke sini dapat merasai suasana desa sebenar seperti masa dahulu.

“Kita dapat melihat aktiviti masa lalu seperti kanak-kanak mandi di tali air, menangkap ikan, melihat kapal di bagan dan yang lain.

“Untuk menikmati suasana sebegini maka perlu datang ke Sabak Bernam,” katanya.

Beliau berkata, MDSB juga mengadakan pelbagai program dan aktiviti bersesuaian di sepanjang tahun bagi memenuhi kehendak masyarakat setempat dan pengunjung di sini.

-nR-

Categories
SELANGOR

PBT Bakal Siarkan Mesyuarat Bulanan Secara Langsung

teng lawat MBSA 14 jun 01

SHAH ALAM, 14 JUN : Sebagai usaha mendemokrasikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kerajaan Negeri memutuskan supaya setiap PBT menyiarkan mesyuarat bulanan mereka secara langsung di laman web masing-masing.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata, tindakan ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri yang mementingkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran negeri.

Menurutnya, langkah ini akan dilaksanakan oleh lapan buah PBT, antaranya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Juga terlibat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp).

“Tindakan ini diambil memandangkan kita banyak menerima aduan daripada orang ramai yang mengatakan pihak PBT tidak melaksanakan tugas, mereka tidak tahu apa yang pihak Majlis buat.

“Jadi dengan terlaksananya projek ini, pihak Majlis akan menjadi lebih terbuka dan telus dan ia merupakan cara terbaik untuk orang ramai faham tentang pentadbiran PBT,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan sesi pertemuan bersama MBSA, di di sini hari ini.

Beliau berkata, minit mesyuarat PBT juga akan dipaparkan di laman web, sejajar dengan semangat Kerajaan Negeri yang telah meluluskan enakmen kebebasan maklumat dua tahun lalu.

Tambahnya, pihak Majlis diberi masa selama tiga bulan untuk membuat persiapan lengkap bagi memastikan projek ini berjalan lancar apabila sampai waktunya.

“Selangor akan menjadi negeri pertama yang melaksanakan projek ini apabila ia dilancarkan kelak. Kita harap prosesnya akan berjalan lancar.

Empat PBT lagi Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), tidak dapat melaksanakan usaha itu pada waktu ini kerana kekurangan wang.

Projek ini adalah antara yang terkandung dalam Pelan Tindakan Lima Tahun Jawatankuasa Tetap PBT Negeri Selangor (Rangka Pertama) yang telah diperakukan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu lalu.