Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Shamsul : IGP ‘perlahan’ ambil tindakan terhadap Jamal

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 15 NOV : Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar digesa supaya lebih tegas dan mengambil tindakan segera terhadap Ketua Kumpulan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Naib Presiden KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, ia susulan tindakan keganasan dan ugutan jenayah terhadap masyarakat awam yang dikeluarkan pimpinan Umno itu.

“Saya mendesak Parlimen memanggil IGP disebabkan tindakan agak perlahan diambil setakat ini terhadap Jamal Yunos dan pasukannya yang sudah beberapa kali melemparkan ugutan jenayah sehingga mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam.

shamsul-iskandar-mohd-akin“IGP (perlu) bertindak segera terhadap Jamal Yunos ini,” katanya dalam kenyataan.

Pagi ini, Shamsul yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil memfailkan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) di Parlimen.

Beliau berkata usul tersebut dibuat bagi membincangkan provokasi melampau oleh kumpulan Baju Merah diketuai Jamal Yunos terutamanya di dalam keadaan rakyat dari seluruh negara akan berhimpun secara aman pada program Bersih 5 pada 19 November ini.

“Saya berharap usul ini dapat diterima dan dibahaskan oleh Dewan Rakyat kerana tindakan-tindakan Baju Merah tentunya telah mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam.

“Bukan itu sahaja, tindakan Baju Merah juga bertentangan amalan demokrasi yang sihat dalam negara ini,” katanya.

Jamal Yunos dan kumpulan Baju Merahnya secara meluas dilihat sebagai samseng yang berusaha menyekat sebarang langkah terhadap desakan pengunduran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib berkaitan skandal rasuah besar.

Kumpulan Merah sebelum ini terus melancarkan serangan terhadap Bersih 2.0 yang mengadakan konvoi aman di seluruh negara bagi pengajuran besar-besaran himpunan aman Bersih 5, Sabtu ini.

-nR-