Categories
NASIONAL

SUARAM: Mahasiswa diugut AUKU, UM langgar hak asasi manusia

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 DIS : Ugutan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dikeluarkan Universiti Malaya (UM) terhadap empat mahasiswanya yang menganjurkan himpunan Tangkap MO1 melanggari prinsip demokrasi dan hak asasi manusia.

SUARAM dalam kenyataannya menyifatkan tindakan tersebut sebagai taktik intimidasi kerajaan melalui institusi pengajian tinggi.

“SUARAM sekali lagi ingin menegaskan, bahawa hak berhimpun dan bersuara adalah hak fundamental seluruh rakyat Malaysia seperti dijamin dibawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Perhimpunan Aman 2012, tidak kiralah perkerja swasta, kakitangan awam, serta pelajar dari universiti swasta mahupun universiti awam.

“Artikel 20 Deklarasi Hak Asasi Manusia sejagat yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) juga menjamin hak semua manusia berhimpun dan berpersatuan.

auku“Tindakan universiti ini adalah satu perlanggaran terhadap hak asasi manusia,” kata SUARAM menerusi Pengarah Esekutifnya, Sevan Doraisamy.

Terdahulu, Anis Syafiqah, Suhail Wan Azahar, Muhammad Luqman Hakim Mohd Fazli dan Mohamad Luqman Nul Hakim Zul Razali dituduh di bawah AUKU kerana terlibat dengan perhimpunan Tangkap MO1 pada Ogos lalu.

Keempat-empat mereka akan dihadapkan ke mahkamah universiti, semalam.

Sevan berkata, hak demokrasi mahasiswa tidak wajar dinafikan memandangkan golongan tersebut merupakan peneraju pembangunan selain menjadi penentu kepada hala tuju masa depan negara.

“Universiti adalah tempat mahasiswa bereksperimentasi, membangun daya fikir serta mebina jati diri. Sekatan-sekatan ini hanya akan memudarat serta merencatkan pembangunan intelek mahasiswa.

“Semua institusi pengajian tinggi harus menghormati kebebasan berakademik serta memberi ruang kepada mahasiswa untuk berbahas berkenaan isu negara serta memberi ruang sepenuhnya kepada mahasiswa untuk memimpin dan menyertai gerakan demokratik berlandaskan prinsip hak asasi manusia,” katanya.

-nR-