Categories
AGENDA NASIONAL

Orang awam tidak lagi dibenar masuk ke UM

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Universiti Malaya (UM) akan menutup pintu masuk dan keluar kampus itu kepada orang awam sebagai langkah berjaga-jaga, demi keselamatan komuniti kampusnya daripada penularan Covid-19.

UM dalam satu kenyataan semalam menyatakan, pintu masuk dan keluar universiti itu kini hanya boleh digunakan kakitangan, pelajar, kakitangan Pusat Perubatan UM dan Pusat Pakar UM, sehingga satu tempoh dimaklumkan.

“Kampus adalah tertutup kepada orang awam. Pelawat memasuki kampus untuk perkara rasmi, e-hailing dan perkhidmatan penghantaran makanan, dikehendaki untuk mendaftarkan diri kepada pegawai keselamatan di pintu masuk kampus,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

SUARAM: Mahasiswa diugut AUKU, UM langgar hak asasi manusia

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 DIS : Ugutan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dikeluarkan Universiti Malaya (UM) terhadap empat mahasiswanya yang menganjurkan himpunan Tangkap MO1 melanggari prinsip demokrasi dan hak asasi manusia.

SUARAM dalam kenyataannya menyifatkan tindakan tersebut sebagai taktik intimidasi kerajaan melalui institusi pengajian tinggi.

“SUARAM sekali lagi ingin menegaskan, bahawa hak berhimpun dan bersuara adalah hak fundamental seluruh rakyat Malaysia seperti dijamin dibawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Perhimpunan Aman 2012, tidak kiralah perkerja swasta, kakitangan awam, serta pelajar dari universiti swasta mahupun universiti awam.

“Artikel 20 Deklarasi Hak Asasi Manusia sejagat yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) juga menjamin hak semua manusia berhimpun dan berpersatuan.

auku“Tindakan universiti ini adalah satu perlanggaran terhadap hak asasi manusia,” kata SUARAM menerusi Pengarah Esekutifnya, Sevan Doraisamy.

Terdahulu, Anis Syafiqah, Suhail Wan Azahar, Muhammad Luqman Hakim Mohd Fazli dan Mohamad Luqman Nul Hakim Zul Razali dituduh di bawah AUKU kerana terlibat dengan perhimpunan Tangkap MO1 pada Ogos lalu.

Keempat-empat mereka akan dihadapkan ke mahkamah universiti, semalam.

Sevan berkata, hak demokrasi mahasiswa tidak wajar dinafikan memandangkan golongan tersebut merupakan peneraju pembangunan selain menjadi penentu kepada hala tuju masa depan negara.

“Universiti adalah tempat mahasiswa bereksperimentasi, membangun daya fikir serta mebina jati diri. Sekatan-sekatan ini hanya akan memudarat serta merencatkan pembangunan intelek mahasiswa.

“Semua institusi pengajian tinggi harus menghormati kebebasan berakademik serta memberi ruang kepada mahasiswa untuk berbahas berkenaan isu negara serta memberi ruang sepenuhnya kepada mahasiswa untuk memimpin dan menyertai gerakan demokratik berlandaskan prinsip hak asasi manusia,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL

Hishamuddin, Isa Samad, Ali Rustam bakal tersingkir?

Hishamuddin, Isa Samad, Ali Rustam bakal tersingkir

SHAH ALAM, 17 OKT: Penyandang Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dijangka tersingkir daripada persaingan merebut kerusi Naib Presiden yang dipertandingkan dalam Pemilihan Umno 2013.

Antara faktor penyumbang kekalahan Hishamuddin adalah kerana gagal mencapai prestasi diharapkan Umno baik sebagai Naib Presiden Umno mahupun sebagai Menteri Kabinet.

Penganalisis politik, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar, berkata kemenangan Hishamuddin dalam Pemilihan Umno sebelum ini dibantu Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang merupakan sepupu beliau.

Selain Hishamuddin, turut dijangka tewas dalam perebutan enam penjuru itu, Datuk Seri Ali Rustam dan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

“Saya tidaklah boleh meramalkan dengan tepat tetapi saya boleh katakan beberapa orang yang lama itu dalam Umno semakin tidak disenangi banyak pihak dalam Umno dan luar Umno seperti Hishamuddin, Isa Samad dan Ali Rustam.

“Ali Rustam sendiri tidak menang di Melaka, Isa Samad pernah dikenakan tindakan disiplin manakala Hishammuddin dalam pemilihan Umno yang lalu pernah dikatakan tidak popular tetapi diselamatkan Najib,” ujar pensyarah Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya (UM) itu.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata tiga calon lain, Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula dijangka menang dalam perbezaan undi kecil.

“Bagi mereka yang menang mereka tidak lagi berkedudukan seperti pemimpin Umno sebelum ini, pemimpin dahulu, apabila menang mereka dianggap sebagai pemimpin yang bukan sahaja mencorak Umno tetapi juga mencorak dalaman BN dan juga negara.

“Dahulu bila menang dalam Umno, parti-parti komponen lain dalam BN seperti MCA, MIC sujud dan pembangkang pula, suara mereka tidak diambil kira kerana tidak mempunyai sokongan majoriti pada masa itu.

Tetapi sekarang Pakatan Rakyat memperolehi lebih 50 peratus sokongan rakyat, menjadikan mereka lebih kuat dari Umno,” ujar Mohamad lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Jais rampas dokumen penyebaran Syiah di Sri Gombak

syiah di tentang

GOMBAK 29 SEPT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu ke sebuah premis di Pusat Bandar Sri Gombak di sini, malam tadi yang dipercayai menyebar ajaran Syiah serta merampas pelbagai dokumen berkaitan fahaman itu.

Dalam operasi kira-kira jam 11.30 malam, penguatkuasa Jais membuka pintu gril rumah kedai dianggap ‘surau’ menggunakan pemotong besi.

Penolong Pengarah Penguatkuasa Jais, Mohd Shahrom Maarof, berkata serbuan dibuat berdasarkan risikan dan aduan awam sebelum mendapat waran geledah daripada Mahkamah Rendah Syariah Petaling.

“Kita menyita beberapa buku, poster dan yang lain dengan fahaman Syiah termasuk kertas kerja yang dibuat di Universiti Malaya (UM).

“Mereka dipercayai membuat ‘post mortem’ hasil kertas kerja dan ada penyebaran fahaman itu di kalangan mahasiswa,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Tiada tangkapan dibuat dalam operasi yang disertai 23 petugas termasuk penguatkuasa Jais itu.

Fahaman Syiah difatwa haram oleh Jabatan Mufti Selangor sejak 1998.

Mohd Shahrom berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 12C iaitu menghina pihak berkuasa agama (mengingkari arahan daripada Jabatan Mufti Selangor) dan Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

“Kita menyerahkan notis salinan kepada pihak premis mengenai bahan yang disita dan meminta mereka tampil untuk memberi keterangan,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PKR: Tindakan segera selamatkan universiti awam

universitiSHAH ALAM 11 SEPTEMBER : Parti Keadilan Rakyat (PKR) melahirkan kebimbangan penurunan kedudukan universiti-unversiti awam negara dalam senarai kedudukan universiti dunia, Quacquarelli Symonds World University Ranking 2013.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata Kerajaan Pusat dan rakyat Malaysia umumnya perlu menghadapi kenyataan institusi pengajian awam negara perlu diselamatkan.

“Hakikat bahawa enam dari tujuh universiti awam negara semakin rendah kedudukannya sewajarnya diambil serius oleh semua pihak dengan penuh keterbukaan.

“Apatah lagi apabila universiti terbaik Asia adalah National University of Singapore (NUS) yang menduduki tangga ke-24 menjadikannya universiti terbaik Asia mengalahkan universiti-universiti Jepun, Korea Selatan dan China,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Senarai ini adalah salah satu daripada tiga senarai kedudukan universiti antarabangsa yang berpengaruh dan diikuti ramai, disamping Times Higher Education World University Rankings dan Academic Ranking of World Universities.

Laporan itu menunjukkan enam daripada tujuh universiti awam Malaysia corot.

Laporan dibuat berdasarkan kepada enam ciri penting iaitu pencapaian akademik, kemampuan mendapatkan pekerjaan dan pandangan majikan, nisbah siswa kepada tenaga pengajar fakulti, rujukan penyelidikan, keantarabangsaan pelajar dan tenaga pengajar fakulti.

Enam universiti tempatan yang mengalami kemerosotan adalah Universiti Malaya (UM) daripada kedudukan 156 pada tahun 2012 ke kedudukan 167 pada tahun ini, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) daripada kedudukan 261 ke 269, Universiti Sains Malaysia (USM) daripada kedudukan 326 ke 355 pada tahun ini.

Universiti Putra Malaysia (UPM) pula merosot daripada 360 ke kedudukan 411-420, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) daripada kedudukan 401-450 ke kedudukan 501-550 dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) daripada kedudukan 601 ke 701 pada tahun 2013.

Manakala hanya satu sahaja institusi pendidikan tinggi awam negara iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang meningkat daripada 358 pada tahun 2012 ke kedudukan 355 pada tahun ini.

“Masalah pengangguran di kalangan graduan terutamanya graduan Melayu Bumiputera banyak berpunca dari mutu pendidikan tinggi yang merudum yang setiap tahun disahkan oleh kedudukan ranking universiti awam negara,” jelas Rafizi.

Beliau menyarankan enam langkah untuk memulihkan integriti dan mutu universiti awam negara dalam masa 10 tahun akan datang, yang beliau tegaskan perlu digerakkan mulai sekarang.

Langkah-langkah tersebut adalah: mengembalikan kebebasan akademik dengan memberi kuasa autonomi kepada Senat Universiti tanpa campurtangan Kerajaan; pemilihan kepimpinan universiti mengikut merit bersandarkan kepada kredibiliti, pengalaman dan integriti; menghentikan sebarang aktiviti atau program yang berunsur propaganda politik atau yang mengongkong pemikiran kritikal siswazah; sistem biasiswa yang memberi tempat terbaik kepada pelajar terbaik di universiti-universiti terbaik di Malaysia; dan pemerkasaan kredibiliti akademik fakulti dengan membawa masuk tenaga pengajar dan penyelidik terbaik dari seluruh dunia.

“Saya percaya langkah-langkah ini adalah permulaan untuk mengembalikan keunggulan universiti awam negara dengan sasaran UM berada di tangga 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh 10 tahun dari sekarang,” ujarnya lagi.