Categories
SELANGOR

MDKL: Lebih 20,000 pengguna sudah nikmati bas percuma

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA LANGAT, 12 JAN: Lebih 20,000 pengguna menerima manfaat perkhidmatan bas percuma Smart Selangor di daerah Kuala Langat sejak dilancarkan pada Mei 2016.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, jumlah penumpang meningkat kepada 24,782 pada Disember lalu.

Katanya, ia adalah petanda positif jika dibandingkan dengan 1,926 pengguna pada awal perkhidmatan ditawarkan.

BAS SMART SELANGOR MDKL“Peningkatan paling ketara adalah pada Oktober hingga November 2016 dengan peningkatan berjumlah 13,306 pengguna.

“Sambutan amat menggalakan ini jelas menunjukkan kepercayaan dan keyakinan pengguna terhadap mutu perkhidmatan Bas Smart Selangor,” katanya.

Mohd Azhar berkata, MDKL juga sentiasa memantau perkhidmatan berkenaan agar sentiasa berada dalam kondisi baik untuk kemudahan awam.

“Justeru, saya menyeru warga Kuala Langat untuk terus memanfaatkan perkhidmatan disediakan ini.

“Mereka bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas tetapi pada masa sama menjimatkan wang,” katanya.

-nR-