Categories
SELANGOR

Skim Smart-Sewa dilaksana bantu rakyat miliki rumah

OLEH HAFIZAN TAIB

PUCHONG, 17 JAN: Kerajaan Negeri bakal melaksanakan Skim Smart-Sewa bagi membantu golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah dalam tempoh terdekat ini.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, seperti mana diumumkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, skim dengan peruntukan RM100 adalah salah satu program utama dijalankan Kerajaan Negeri bagi memenuhi keperluan kumpulan sasaran.

“Peruntukan RM100 juta daripada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk kita beli rumah dan disewakan.

“Ia program besar dan mungkin membabitkan 800 hingga 1,000 unit rumah di mana ia akan disewakan kepada mereka tidak mampu membeli rumah iaitu tidak mendapat pinjaman bank,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, Skim Smart-Sewa adalah bagi memberi kemudahan kepada rakyat memerlukan dengan tempoh sewa selama dua tahun atau ditetapkan.

Selepas tempoh itu, katanya, Kerajaan Negeri memulangkan kembali 30 peratus daripada jumlah sewa dibayar bertujuan membantu mereka membayar wang pendahuluan bagi membeli rumah.

Iskandar menjelaskan bagi menjayakan program itu, setakat ini Kerajaan Negeri membeli sejumlah unit rumah di beberapa kawasan termasuk di Bukit Tinggi.

“Kita mendapat maklum balas pemaju termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bahawa peratus kegagalan mendapat pinjaman membeli rumah kira-kira 50 peratus dan salah satu puncanya kerana masalah Pebadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Itu sebabnya kita minta PTPTN longgarkan syarat supaya tidak dimasukkan dalam Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS).

“Ketika melancarkan program perumahan, kita juga menjemput PTPTN supaya bakal pembeli boleh merujuk kepada mereka secara terus,” katanya menyentuh isu golongan mereka yang gagal mendapat pinjaman bank.

=EZY=