Categories
SELANGOR

TNB: Bukan semua permintaan dapat dipenuhi

OLEH LIZAWATI MADFA

SELAYANG, 21 JAN: Bukan semua permintaan penduduk berhubung isu pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) mampu ditunaikan.

Pengurus Besar Kanan TNB, Husaini Husin berkata, permintaan itu kebiasaanya tertakluk kepada faktor lain seperti tapak tanah dan kos kerja terlibat.

“Kita tidak mahu penduduk beranggapan semua permintaan boleh TNB penuhi dan persoalkan mengapa kita melayan setengah kumpulan penduduk dan tidak kumpulan lain.

“Sebenarnya, sebarang keputusan dibuat dengan mengambil kira pelbagai faktor dan keutamaan serta bukan berdasarkan ‘favoritism’.

“TNB bersikap profesional dan neutral pada masa sama dalam melayani sebarang aduan,” katanya di hadapan kira-kira 30 penduduk.

tnb logo 1Beliau berkata demikian di Majlis Kesyukuran penyelesaian Isu Alihan Tapak dan Jajaran Tiang TNB, di The Takun Templer Park Resort, di sini, hari ini.

Majlis turut disertai Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib dan Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Suliman Abdul Rahman.

Terdahulu, hadirin dimaklumkan dua menara pencawang berhampiran kediaman berkenaan bakal dianjakkan daripada tapak asal.

Zaidy berkata, anjakan itu dipersetujui TNB berasaskan faktor terdapat ruang mencukupi bagi melakukannya.

“Di belakang sana terdapat tanah luas milik kerajaan sehingga kawasan sebelum sungai, jadi tiada masalah mengalihkannya cuma terpaksa melibatkan kos tertentu.

“Situasi ini berbeza sekiranya pencawang terletak di kawasan terhad dan tiada ruang untuk dianjakkan,” katanya.

-nR-