Categories
SELANGOR

TNB setuju alih dua menara pencawang

OLEH LIZAWATI MADFA

SELAYANG, 21 JAN: Isu menara pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di The Takun Templer mencapai penyelesaiannya selepas dua bulan diutarakan penduduk setempat.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, TNB akhirnya bersetuju menganjakkan dua menara yang didirikan sejauh hanya 20 meter daripada rumah penduduk sebelum ini.

Katanya, jarak itu sebenarnya selaras dengan prosedur TNB dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), namun penduduk tidak selesa memandangkan kabel berada terlalu hampir dengan bumbung rumah teres dua setengah tingkat mereka.

ybzaidy-2“Ketika dalam pembinaan lagi, penduduk membuat aduan dan Kerajaan Negeri mula turun padang serta berbincang dengan TNB dan pihak berkenaan bagi mencari jalan penyelesaian.

“Berkat siri perbincangan lancar dan baik antara pihak terlibat, TNB akhirnya bersetuju mengalihkan dua menara agar menjauhi kediaman penduduk pada jarak lebih selesa,” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer.

Terdahulu, beliau menyertai Majlis Kesyukuran penyelesaian Isu Alihan Tapak dan Jajaran Tiang TNB, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Kanan TNB, Husaini Husin, Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Suliman Abdul Rahman dan kira-kira 30 penduduk setempat.

Pada Oktober lalu, menara pencawang berkenaan siap didirikan dan dijangka mulaberoperasi pada akhir Mac nanti.

Zaidy berkata, TNB menjangkakan kerja pengalihan siap dalam masa selewatnya-lewatnya dua bulan lagi sebelum ia beroperasi.

“Saya pasti TNB berjaya menyiapkannya mengikut tempoh masa ditetapkan dan berharap penduduk dapat bersabar,” katanya.

-nR-