Categories
EKONOMI

BNM tambah baik peraturan tukaran hasil eksport

SHAH ALAM 9 FEB: Perubahan dalam peraturan tukaran asing yang berkuat kuasa mulai 6 Februari 2017, bukanlah satu sekatan, tetapi adalah penambahbaikan ke atas pengaturan operasi sedia ada antara bank domestik dan Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM dalam satu kenyataan berkata bank domestik sentiasa bebas untuk berdagang dalam mana-mana jumlah di pasaran tukaran asing antara bank domestik.

“Pengaturan operasi yang diberi penambahbaikan itu berkait kepada peraturan tukaran hasil eksport,” katanya.

BNM memaklumkan perubahan itu tidak bermakna sekatan dilonggarkan seperti dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, namun ia adalah penambahbaikan terhadap pengaturan kendalian sedia ada antara bank tempatan dengan BNM.

Akhbar itu melaporkan BNM melonggarkan beberapa sekatan dalam pasaran pertukaran asing untuk membenarkan beberapa dagangan transaksi dolar Amerika Syarikat/ringgit antara bank-bank domestik.

BNM berkata, bagi memudahkan keperluan perbankan perniagaan, bank domestik kini boleh menggunakan tukaran daripada wang hasil eksport bernilai kurang daripada AS$1 juta bagi setiap transaksi bagi memenuhi keperluan tukaran asing pelanggan mereka tanpa merujuk kepada BNM.

Ini membolehkan bank domestik dapat mengurus dengan lebih baik operasi tukaran pada hari itu tanpa berkompromi matlamat keseluruhan langkah diumumkan pada 2 Disember 2016.

=EZY=