Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Indeks Harga Pengguna turun 1.5 peratus Oktober 2020

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia menurun 1.5 peratus tahun ke tahun kepada 120.2 pada Oktober 2020 daripada 122.0 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan IHP keseluruhan ini telah dipengaruhi oleh penurunan indeks pengangkutan (-10.2 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (- 3.0 peratus) dan pakaian dan kasut (-0.4 peratus) yang menyumbang 41.6 peratus daripada keseluruhan wajaran.

“Daripada 552 item yang diliputi dalam IHP, 337 item menunjukkan peningkatan pada Oktober 2020 berbanding Oktober 2019. Sebaliknya, 150 item mencatatkan penurunan manakala 65 item tidak berubah

“Berdasarkan prestasi 552 item mengikut kategori barangan dan perkhidmatan, barang tidak tahan lama (296 item) adalah kategori paling banyak mengalami kenaikan harga iaitu 208 item, 73 item menurun dan 15 item tidak berubah berbanding kategori perkhidmatan, barang semi tahan lama dan barang tahan lama,” katanya.

Bagaimanapun, makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 1.5 peratus kepada 135.3 berbanding 133.3 pada bulan yang sama pada 2019.

Kumpulan ini menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP. Selain itu, pelbagai barangan dan perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 2.8 peratus, diikuti pendidikan (0.7 peratus) dan minuman alkohol dan tembakau (0.5 peratus).

Mohd Uzir berkata IHP tanpa bahan api kekal berada pada kadar positif iaitu 0.1 peratus pada Oktober 2020 berbanding Oktober 2019. IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol tanpa plumbum RON95, petrol tanpa plumbum RON97 dan diesel.

“Purata harga petrol tanpa plumbum RON95 menunjukkan penurunan pada Oktober 2020 iaitu RM1.67 per liter berbanding RM2.08 pada Oktober 2019.

“Di samping itu, purata harga petrol tanpa plumbum RON97 menurun kepada RM1.97 per liter berbanding RM2.66 dan purata harga diesel menurun kepada RM1.72 per liter berbanding RM2.18 pada bulan yang sama tahun sebelumnya,” katanya.

Mohd Uzir berkata indeks teras meningkat 0.8 peratus pada Oktober 2020 berbanding bulan yang sama pada 2019.

Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.8 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (1.3 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.9 peratus) dan pendidikan (0.7 peratus).

Indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal, katanya.

Sementara itu Mohd Uzir berkata IHP bagi tempoh Januari hingga Oktober 2020 turun 1.0 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2019.

“Penurunan ini dipengaruhi oleh pengangkutan (-10.0 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-1.5 peratus) dan pakaian dan kasut (-0.8 peratus).

“Walaupun perubahan IHP tahunan menurun, perubahan IHP bulanan meningkat 0.1 peratus berbanding September 2020. Peningkatan ini telah disumbangkan oleh makanan dan minuman bukan alkohol (0.1 peratus), perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.1 peratus) dan kesihatan (0.1 peratus).

Indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan antara -0.8 hingga -2.3 peratus bagi Oktober 2020 berbanding Oktober 2019. Penurunan tertinggi dicatatkan oleh Melaka (-2.3 peratus), Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (-2.3 peratus) dan Kedah dan Perlis (-2.3 peratus). Ini diikuti Sarawak (-2.1 peratus), Johor (-2.1 peratus) dan Negeri Sembilan (-2.0 peratus).

Bagaimanapun, semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor dan Putrajaya (2.4 peratus), diikuti Pahang (1.8 peratus), Terengganu (1.7 peratus), Perak (1.7 peratus) dan Negeri Sembilan (1.6 peratus).

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Indeks Harga Pengguna turun 1.4 peratus pada Ogos 2020 – Perangkaan

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia bagi Ogos 2020 turun 1.4 peratus kepada 120.1 daripada 121.8 pada bulan yang sama tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan hari ini.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ia dipengaruhi oleh penurunan indeks pengangkutan (-9.9 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-3.0 peratus); pakaian dan kasut (-0.6 peratus) serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (-0.1 peratus) yang menyumbang 45.7 peratus daripada keseluruhan wajaran.

Beliau berkata bagaimanapun indeks makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 1.3 peratus kepada 135.2 daripada 133.5 pada bulan yang sama 2019.

“Kumpulan ini menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP. Selain itu, pelbagai barangan dan perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 3.1 peratus diikuti komunikasi (1.6 peratus), kesihatan (1.1 peratus) dan pendidikan (1.1 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata IHP tanpa bahan api kekal berada pada kadar positif iaitu 0.2 peratus pada Ogos 2020 berbanding Julai 2020.

IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol tanpa plumbum RON95, petrol tanpa plumbum RON97 dan diesel, katanya.

Beliau berkata purata harga petrol RON95 menunjukkan penurunan pada Ogos 2020 iaitu RM1.68 per liter daripada RM2.08 pada Ogos 2019.

Di samping itu, purata harga petrol RON97 susut kepada RM1.98 per liter daripada RM2.51 dan purata harga diesel turun kepada RM1.81 per liter daripada RM2.18 pada bulan yang sama tahun lepas, katanya.

Mohd Uzir berkata indeks teras meningkat 1.1 peratus pada Ogos 2020 daripada bulan yang sama 2019.

Beliau berkata antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah pelbagai barangan dan perkhidmatan (3.1 peratus); komunikasi (1.6 peratus); kesihatan (1.1 peratus) dan pendidikan (1.1 peratus).

“Indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal,” katanya.

Beliau berkata walaupun perubahan IHP tahunan menurun, namun perubahan IHP bulanan meningkat 0.2 peratus daripada Julai 2020.

Peningkatan ini disumbangkan oleh pelbagai barangan dan perkhidmatan (0.7 peratus); pengangkutan (0.4 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.2 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (0.1 peratus); minuman alkohol dan tembakau (0.1 peratus); kesihatan (0.1 peratus) serta restoran dan hotel (0.1 peratus), katanya.

Mohd Uzir berkata sementara itu, IHP bagi tempoh Januari hingga Ogos 2020 menurun 1.0 peratus daripada angka yang dicatatkan tempoh yang sama 2019.

Beliau berkata penurunan ini dipengaruhi oleh pengangkutan (-10.0 peratus); pakaian dan kasut (-1.0 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-1.0 peratus).

“Indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan di antara -0.7 dengan -2.2 peratus bagi Ogos 2020 berbanding Ogos 2019. Penurunan tertinggi dicatatkan oleh Melaka 3 (-2.2 peratus) serta Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (-2.2 peratus). Ini diikuti oleh Kedah dan Perlis (-2.1 peratus) serta Sarawak (-2.1 peratus,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol.

“Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.3 peratus) diikuti oleh Johor (1.7 peratus), Terengganu (1.5 peratus), Perak (1.4 peratus), Negeri Sembilan (1.4 peratus) dan Pahang (1.4 peratus) yang turut melebihi paras nasional (1.3 peratus),” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Indeks Harga Pengguna turun 1.3 peratus pada Julai 2020

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia merosot 1.3 peratus pada Julai 2020 kepada 119.9 daripada 121.5 dalam bulan sama pada tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan indeks secara keseluruhan berikutan penurunan indeks pengangkutan (-10.3 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-2.6 peratus), pakaian dan kasut (-0.6 peratus), dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (-0.1 peratus) yang menyumbang 45.7 peratus daripada keseluruhan wajaran.

“Bagaimanapun, makanan dan minuman bukan alkohol naik 1.4 peratus kepada 135.0 berbanding 133.2 dalam bulan sama pada tahun sebelumnya. Kumpulan ini menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP.

“Selain itu, pelbagai barangan dan perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 2.9 peratus diikuti komunikasi (1.6 peratus), kesihatan (1.1 peratus) dan pendidikan (1.2 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Mohd Uzir juga berkata IHP tanpa bahan api kekal berada pada kadar positif iaitu 0.2 peratus pada Julai 2020 berbanding Jun 2020.

“IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali Petrol Tanpa Plumbum RON95, Petrol Tanpa Plumbum RON97 dan diesel,” katanya.

Sementara itu, indeks teras meningkat 1.1 peratus pada Julai 2020 berbanding bulan sama pada tahun sebelumnya.

Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.9 peratus), komunikasi (1.6 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.4 peratus).

IHP bagi tempoh Januari hingga Julai 2020 menurun 0.9 peratus berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Penurunan ini dipengaruhi oleh pengangkutan (-10.0 peratus), pakaian dan kasut (-1.1 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-0.7 peratus).

Indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan antara -0.7 peratus dan -2.2 peratus bagi Julai 2020 berbanding Julai 2019.

Penurunan tertinggi dicatatkan oleh Melaka (-2.2 peratus), diikuti oleh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (-2.1 peratus), Sarawak (-1.9 peratus) serta Kedah dan Perlis (-1.9 peratus).

Bagaimanapun, semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.3 peratus), Perak (1.7 peratus), Pahang (1.7 peratus), Terengganu (1.7 peratus) dan Johor (1.6 peratus) yang turut melebihi paras nasional.

Sementara itu, Negeri Sembilan mencatatkan kenaikan yang sama dengan paras nasional iaitu 1.4 peratus bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol pada Julai 2020.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Bloomberg: Indeks Harga Pengguna turun bawah PAKATAN

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 27 FEB: Agensi berita antarabangsa, Bloomberg melaporkan Indeks Harga Pengguna (IHP) negara turun 0.7, peratus sejak Pakatan Harapan (PAKATAN) menerajui pentadbiran negara.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, keadaan itu membuktikan kesungguhan kerajaan PAKATAN berusaha membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Ini fakta. Saya baca Bloomberg berkenaan laporan ekonomi, sejak PAKATAN jaga negara, walaupun kita belum merasa betul-betul tetapi sebenarnya atas keputusan kerajaan termasuk memperkenalkan rebat pengangkutan, harga barang secara purata di Malaysia turun 0.7 peratus.

“Kita berjaya mengurangkan harga barang walaupun belum mengurangkan kos sara hidup rakyat secara menyeluruh,” katanya pada program Ceramah Isu Semasa dan Pelancaran Aiman For Semenyih, di Pangsapuri Bandar Rinching, di sini, malam tadi.

Katanya, usaha mengurangkan kos sara hidup memerlukan usaha keras berterusan dan mengambil masa panjang sebelum rakyat boleh merasai keberkesanannya.

Katanya, langkah membuat pinjaman bukanlah suatu penyelesaian bagus kerana akan membebankan negara dan masa depan generasi muda.

Pada Januari lalu, Reuters turut melaporkan IHP Malaysia dijangka turun pertama kali dalam tempoh 10 tahun.

Menurut 13 pakar ekonomi yang terbabit dalam tinjauan itu, IHP diunjurkan turun 0.2 peratus berbanding 0.1 peratus, pada November 2009.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Ikan Kembong catat kenaikan 13.6%, sotong 8.2%

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

SHAH ALAM 20 SEPT: Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan antara indeks barangan makanan mencatatkan kenaikan ketara pada Ogos 2017 berbanding tempoh sama tahun lepas adalah Minyak Masak (+48.9 peratus), Ikan Kembong (+13.6 peratus), Sotong (+8.2 peratus).

Ia diikuti dengan Ikan Cencaru (+7.7 peratus), Ikan Tenggiri (+6.4 peratus), Udang (+5.6 peratus), Bayam (+4.8 peratus), Kobis Bulat (+4.7 peratus) dan
Sawi (+2.6 peratus).

Sementara itu, penurunan dicatatkan dalam indeks bagi beberapa barangan makanan seperti Telur Ayam (-5.9 peratus), Lobak Merah (-2.4 peratus) dan Bawang Besar (-0.5 peratus).

Kenaikan indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol dicerminkan di kebanyakan negeri di Malaysia terutamanya di negeri-negeri dengan tahap perbandaran yang tinggi seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya, Pulau Pinang, Johor dan Melaka.

pasar-16Indeks bagi kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol naik 5.0 peratus di Johor, 4.9 peratus di Melaka, 4.8 peratus di Pulau Pinang, 4.8 peratus di Sabah dan Labuan, 4.8peratus di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan 4.5 peratus di Kedah & Perlis.

=EZY=

Categories
EKONOMI

Indeks IHP meningkat 3.6% pada Jun

KUALA LUMPUR 20 JULAI: Kadar inflasi Malaysia, yang diukur berlandaskan Indeks Harga Pengguna (IHP), meningkat 3.6 peratus pada bulan Jun berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Jabatan Perangkaan Negara dalam satu kenyataan berkata indeks kumpulan pengangkutan menunjukkan peningkatan 10.5 peratus pada asas tahun ke tahun bagi Jun 2017, selepas mencatat kenaikan 13.1 peratus pada Mei 2017.

Mengikut Jabatan Perangkaan, antara kumpulan utama yang menyumbang kepada peningkatan IHP itu adalah indeks Pengangkutan (+10.5 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (+4.3 peratus), perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (+3.0 peratus), kesihatan (+2.6 peratus), restoran dan hotel (+2.5 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas serta bahan api lain (+2.2 peratus).

Dalam satu kenyataan hari ini, jabatan itu berkata, indeks kumpulan pengangkutan menunjukkan peningkatan 10.5 peratus pada asas tahun ke tahun bagi Jun 2017, selepas mencatat kenaikan 13.1 peratus pada Mei 2017.

Harga purata 1 liter petrol RON95 adalah RM2.00 pada Jun 2017 berbanding RM1.70 pada Jun 2016 manakala bagi petrol RON97, harga purata adalah RM2.27 pada Jun 2017 berbanding RM2.05, sebelum ini.

Perbelanjaan bahan api dan pelincir untuk pengangkutan persendirian pula menyumbang 7.8 peratus daripada wajaran IHP.

Pada bulan berkenaan, indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 30.2 peratus kepada wajaran IHP, meningkat 4.3 peratus didorong oleh indeks subkumpulan makanan seperti minyak dan lemak (+39.4 peratus), ikan dan makanan laut (+7.2 peratus), daging (+4.2 peratus), buah-buahan (+3.7 peratus) dan sayur-sayuran (+1.8 peratus).

Menurut jabatan itu, kenaikan indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol itu dicatat di kebanyakan negeri, terutamanya negeri-negeri dengan tahap perbandaran tinggi seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Pulau Pinang, Johor dan Melaka.

Bagi tempoh enam bulan pertama 2017, IHP mencatat kenaikan sebanyak 4.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, kebanyakannya didorong oleh peningkatan indeks makanan dan minuman bukan alkohol sebanyak 4.2 peratus.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Indeks Harga Pengguna melonjak 3.2%, tertinggi sejak Feb 2016

SHAH ALAM 22 FEB: Penanda aras inflasi, indeks harga pengguna (IHP) Malaysia meningkat 3.2 peratus pada Januari, kadar tertinggi sejak Februari 2016, demikian menurut data dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini.

Data itu mengatasi jangkaan unjuran kenaikan 2.8 peratus dan menjangkaui peningkatan 1.8 peratus pada Disember.

Kadar inflasi pada Januari 2017 didorong oleh kenaikan harga makanan dan kediaman, utiliti serta kos pengangkutan.

Indeks kumpulan Pengangkutan menunjukkan peningkatan ketara iaitu 8.3 peratus pada asas tahun ke tahun bagi Januari 2017, setelah turun 0.6 peratus dan 1.5 peratus pada Disember 2016 dan November 2016.

Harga purata seliter petrol RON95 adalah RM2.10 pada Januari 2017 berbanding RM1.85 pada Januari 2016.

IHPBagi petrol RON97, harga purata meningkat kepada RM2.40 pada Januari 2017 daripada RM2.25 pada Januari 2016.

Inflasi tahunan mencapai paras tinggi tujuh tahun iaitu 4.2 peratus pada Februari 2016 sebelum menyederhana kesan daripada pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan pada April 2015.

Oktober lalu, Kerajaan Persekutuan berkata ia menjangkakan kadar inflasi berada di antara dua dan tiga peratus tahun ini.

Indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol yang menyumbang 30.2 peratus kepada wajaran IHP, meningkat 4.0 peratus pada Januari 2017.

Kenaikan ini didorong oleh indeks subkumpulan makanan Minyak dan Lemak (+37.9 peratus); Sayur-sayuran (+7.8 peratus); Ikan & Makanan Laut (+6.1 peratus) dan Buah-buahan (+2.1 peratus).

Bagi indeks Makanan di Luar Rumah, ia terus meningkat pada Januari 2017, dengan kenaikan 3.6 peratus.

Antara indeks barangan makanan yang mencatatkan kenaikan ketara dalam Januari 2017 berbanding tempoh sama tahun lepas adalah Kobis Bulat (+49.6 peratus); Minyak masak (+47.2 peratus); Sotong (+10.7 peratus); Udang (+8.6 peratus); Ikan Kembong (+8.5 peratus); Ikan Tenggiri (+6.6 peratus) dan Ikan Merah (+3.7 peratus).

Sementara itu, penurunan dicatatkan dalam indeks bagi beberapa barangan makanan seperti Bawang Kecil (-14.0 peratus); Bawang Besar (-7.3 peratus) dan Tembikai (-1.1 peratus).

=EZY=