Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Zuraida: Ampang Waterfront tanah rizab tak sesuai berniaga

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Kalangan peniaga tidak dibenarkan meneruskan perniagaan di kawasan Ampang Waterfront, di sini, berikutan ia adalah kawasan tanah rizab kerajaan dan tidak sesuai untuk urusan berkenaan.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata, kawasan itu juga termasuk dalam perancangan bagi projek pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang akan dijalankan nanti.

“Peniaga di situ adalah mereka yang tiada lesen kerana Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) tidak memberikannya.

zuraida-speech-oren-01-300x214“Ini disebabkan kawasan itu adalah tanah rizab dan tidak boleh dijadikan tapak perniagaan, namun selama ini kerana sifat kemanusiaan kita biarkan mereka berniaga tetapi sudah sampai masa untuk memberi laluan kepada projek SUKE,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya cuba mengaturkan perbincangan bersama MPAJ, Projek Lebuhraya Usaha Sama Berhad (PLUS),SUKE serta pihak berkaitan demi menjaga kepentingan golongan peniaga itu.

“Kita cuba untuk perkara ini supaya mereka mendapat sedikit pampasan saguhati dan diberikan penempatan baru,” katanya.

Berhubung kawasan Bukit Ampang, Zuraida berkata, kenyataan MPAJ juga jelas memaklumkan kawasan itu tidak sesuai dijadikan tapak perniagaan kerana kedudukannya agak merbahaya.

“Peniaga dibenarkan menjalankan perniagaan atas budi bicara MPAJ dan perlu mematuhi syarat ditetapkan antaranya hanya 19 orang serta memastikan kebersihan kawasan selain pemantauan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Namun, apabila ia tidak dipatuhi dan bilangan peniaga bertambah ramai, maka MPAJ terpaksa bertindak tidak membenarkan mereka berniaga lagi,” katanya.

Katanya, mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, MPAJ memang merancang menutup kawasan dan berharap pihak berkaitan mematuhi perkara berkenaan.

“Selama ini, saya bantu mereka iaitu kebanyakannya tentera bersara kerana tiada tempat mencari rezeki dan saya kecewa kerana tidak tahu mereka masih lagi berniaga di situ. Bagaimanapun, saya akan berusaha berbincang untuk penempatan baru mereka,” katanya.

-NFN-