Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS sumbang RM200,000 bantu empat masjid beli van jenazah

SHAH ALAM, 23 NOV: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyumbang sejumlah RM200,000 kepada empat masjid di Gombak dan Ampang bagi pembelian van jenazah minggu lalu.

Masjid yang terima sumbangan ialah Masjid Al Firdaus, Bandar Baru Selayang; Masjid Jamiatus Solahiah dan Masjid Al-Sharif Simpang Tiga, Batu Caves serta Masjid Al Hidayah, Taman Melawati dekat Ampang.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop berkata sumbangan bernilai RM50,000 setiap masjid itu sebagai bantuan tambahan bagi mencukupkan kos belanja pembelian kenderaan tersebut.

“Langkah ini membantu pengurusan masjid menguruskan jenazah penduduk dengan lebih mudah. Semoga sumbangan ini memberi manfaat besar kepada semua,” kata kepada SelangorKini hari ini.

Menurutnya, simbolik penyerahan sumbangan berkenaan disempurnakan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri sedia van, urus jenazah kanak-kanak maut ditimpa pokok

SHAH ALAM, 28 SEPT: Kerajaan Negeri membantu menyediakan sebuah van untuk membawa jenazah kanak-kanak yang maut ditimpa pokok ketika mandi di Serendah River, Hulu Selangor untuk urusan pengebumian.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad berkata van jenazah disediakan badan bukan kerajaan (NGO), Amal Team Selayang untuk membawa jenazah mangsa berusia 10 tahun itu ke tanah perkuburan.

“Bantuan disediakan pusat khidmat rakyat penyelaras DUN Batang Kali seperti diminta Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari untuk memudahkan keluarga mangsa yang bukan berasal dari Batang Kali.

“Difahamkan, jenazah dibawa ke tanah perkuburan berhampiran rumah keluarganya di Saujana Putra, Kuala Langat selepas prosedur pengesahan kematian selesai di Hospital Kuala Kubu Bahru,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Terdahulu, Amirudin memaklumkan pengurusan jenazah kanak-kanak terbabit akan dipermudahkan melalui pejabat penyelaras DUN Batang Kali.

Petang kelmarin, seorang kanak-kanak dilaporkan maut selepas ditimpa pokok ketika mandi di Serendah River.

Mangsa dilaporkan mandi bersama abangnya berusia 11 tahun yang turut cedera dalam kejadian terbabit.

Categories
SELANGOR

Lima hospital terima sumbangan van jenazah LZS

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUNGAI BULOH, 18 MEI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan sumbangan van jenazah kepada lima buah hospital di negeri ini bernilai kira-kira RM928,560, semalam.

Jurucakap LZS dalam kenyataan berkata, sumbangan itu membabitkan Hospital Sungai Buloh (dua buah van), manakala Hospital Selayang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Serdang Hospital Ampang masing-masing menerima sebuah van.

“Sumbangan van jenazah adalah salah satu jenis bantuan zakat di bawah asnaf fisabilillah bertujuan membantu memudahkan pengurusan jenazah orang Islam di hospital.

“Pemilihan hospital yang menerima sumbangan berkenaan adalah berdasarkan kepada keperluan semasa, namun keutamaan kepada hospital memiliki van jenazah uzur dan kerap menguruskan jenazah asnaf terutama mualaf,” katanya.

Terdahulu, penyerahan kunci van jenazah yang berlangsung di Lobi Hospital Sungai Buloh itu dihadiri Pengarah Kesihatan Selangor, Dato’ Dr Khalid Ibrahim dan Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr Kamaruddin Alias.

Hadir sama, Ketua Divisyen Teknologi Maklumat, Abdul Halim Abdul Rahim.

Sementara itu, LZS berkata, pada 2015, pihaknya juga menyumbang tiga van jenazah kepada tiga buah hospital membabitkan Hospital Kajang, Hospital Sabak Bernam dan Hospital Tanjong Karang.

Baru-baru ini, LZS turut menyerahkan 29 van jenazah bernilai RM4.5 juta kepada masjid terpilih meliputi sembilan daerah, di Selangor.

Categories
SELANGOR

Kariah masjid syukur terima van jenazah baharu

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BUKIT JELUTONG, 10 MEI: Penantian kariah masjid untuk mendapat van jenazah baharu berakhir apabila menerima kemudahan berkenaan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS), hari ini.

Pengurus Masjid Bandar Baru Sungai Buloh, Muhd Asyraf As’aid Zainuddin berkata, pihaknya pernah membuat permohonan mendapatkan van jenazah sebelum ini, namun gagal atas beberapa faktor.

Katanya, sepanjang tempoh itu, pengurusan jenazah di kawasan berkenaan banyak dibantu kariah dan badan khairat daripada surau berhampiran.

“Alhamdulillah, kami sangat bersyukur dapat bantuan ini daripada LZS kerana sejak sekian lama memang tiada kenderaan dan van jenazah. Sebagai pengurus masjid, saya berterima kasih kepada LZS kerana prihatin dengan masalah yang dihadapi pengurusan masjid.

“Saya mengharapkan dengan adanya bantuan van jenazah ini dapat memudahkan urusan anak-anak kariah terutama berkaitan pengurusan jenazah termasuk pengambilan dan penghantaran jenazah dari rumah atau hospital ke masjid serta tanah perkuburan,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Sementara itu, Pengurus Masjid Al-Falah Ulu Yam Baru, Habibu Rahman berkata, masjid berkenaan mempunyai van jenazah, namun ia dalam keadaan terlalu uzur dan berusia lebih 10 tahun.

Katanya, van jenazah sedia ada juga sering mengalami kerosakan sehingga menyukarkan urusan pengebumian jenazah.

“Van jenazah perlu sentiasa diperbaharui sekurang-kurangnya lima hingga enam tahun sama ada van itu digunakan atau tidak kerana mengikut usia, ia akan memberi korosakan.

“Kita juga berharap LZS boleh memberi kemudahan sama kepada surau kerana mereka juga memerlukan kemudahan seperti ini, mudah-mudahan LZS boleh mengembangkan sayap sumbangan kepada surau,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut melahirkan rasa syukur atas sumbangan disalurkan LZS, selain menyifatkan bantuan itu adalah sesuatu yang wajar dibanggakan dan dihargai.

“Semoga Allah SWT memudahkan pengutip zakat supaya mreka dapat menyumbang dan membantu yang sangat memerlukan baik daripada segi institusi mahupun individu dengan cara lebih teratur,” katanya.

Terdahulu, LZS menyerahkan 29 van jenazah bernilai RM4.5 juta kepada masjid terpilih meliputi sembilan daerah, di negeri ini.

Categories
SELANGOR

LZS serah 10 van jenazah berjumlah RM1.2 juta

OLEH SHEEDA FATHIL

PUCHONG, 9 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan 10 van jenazah bernilai RM1.2 juta kepada masjid terpilih di negeri ini, hari ini.

Ketua Operasi Agihan Asnaf LZS, Abdul Basith Hamid berkata, sumbangan van jenazah berkenaan merupakan salah satu inisiatif bantuan zakat di bawah asnaf fisabilillah bertujuan membantu memudahkan pengurusan jenazah.

“Ia diperuntukan kepada masjid yang tidak memiliki kemudahan kenderaan untuk mengurus jenazah terutamanya di kawasan luar bandar selain mempunyai kariah yang ramai.

“Untuk makluman, sumbangan van jenazah ini adalah sebahagian kecil daripada sumbangan zakat di bawah Program Pembangunan Institusi Agama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan van jenazah bertempat di Masjid Seri Aman, Puchong, di sini, hari ini.

Abdul Basith berkata, idea tercetusnya pemberian van jenazah kepada beberapa masjid bermula 2013, apabila tularnya satu berita mengenai sebuah van jenazah dalam keadaan sangat daif.

“LZS komited memberikan bantuan pembangunan institusi agama Islam di Selangor malah setakat ini sahaja kami sudah menyumbangkan 50 van jenazah dengan jumlah keseluruhan RM6 juta,”katanya.

Selain itu, Abdul Basith berkata, LZS mensasarkan 15 van jenazah akan diserahkan di beberapa masjid Selangor pada tahun ini.

Terdahulu, antara 10 masjid terpilih menerima bantuan van jenazah adalah Masjid Kariah Kampung Kuala Perdik, Hulu Langat; Masjid Kariah Lubuk Kerubi, Hulu Langat; Masjid Kariah Sungai Kembong Hilir, Kajang; Masjid Kariah Kampung Jawa, Hulu Langat dan Masjid Kampung Seri Aman, Puchong.

Manakala, masjid lain termasuk Masjid Al-Ubudiah, Hulu Selangor; Masjid Nurul Husna Felda Sungai Tengi Selatan, Hulu Selangor; Masjid Ar-Ridzuan, Bestari Jaya; Masjid At-Taqwa, Kuala Selangor dan Masjid An’Nur Kampung Kanchong Tengah, Kuala Langat.

Sementara itu, Nazir Masjid Kampung Kuala Perdik, Nahar Yakub berkata, beliau gembira LZS sudi memberi bantuan van jenazah memandangkan van sedia ada sudah mempunyai pelbagai masalah.

“Terima kasih kepada LZS kerana sudi memberi van jenazah dan kami akan berusaha menguar-uarkan perkara ini kepada penduduk setempat,” katanya.

Manakala Nazir Masjid Kariah Lubuk Kerubi, Zainun Daud berkata, dengan harapan semoga inisiatif LZS itu diteruskan lagi pada masa akan datang.

“Terima kasih kepada LZS kerana sudi memberikan van jenazah malah ia sedikit sebanyak dapat membantu kerja pengurusan jenazah dan pengebumian dengan lebih cepat,” katanya.

Categories
SELANGOR

Van jenazah tak patut jadi mangsa politik Jamal

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 FEB: Van jenazah tidak sepatutnya dijadikan bahan politik individu tidak bertanggungjawab seperti Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunus, tegas wakil rakyat DAP.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lau Weng San berkata, van jenazah adalah aset masjid bertujuan memudahkan urusan kematian atau pengebumian ahli kariah dan masyarakat Islam setempat.

Katanya, kebanyakan van berkenaan merupakan hasil sumbangan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri mahupun dibeli menerusi sumbangan orang awam.

“Perkara ini serius kerana rakyat Selangor seringkali diingatkan bahawa institusi agama Islam tidak boleh dijadikan medan berpolitik oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Maka, harta masjid seperti van jenazah tidak boleh sewenang-wenangnya disalahgunakan Jamal untuk agenda politiknya sendiri,” katanya dalam kenyataan.

lau-weng-sanBeliau turut menggesa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melakukan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap pengurusan masjid mahupun individu yang bersengkongkol dengan Jamal.

Semalam, Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim menyatakan rasa kesal pihaknya dengan tindakan manipulasi Jamal terhadap pengurusan masjid.

Katanya, terdapat individu yang mendakwa wakil Gabungan NGO Selangor menghubungi masjid untuk menyewa van jenazah bagi sesi penggambaran, kempen anti judi, pameran dan lain-lain.

“JAIS mohon semua Ahli Jawatankasa Masjid untuk lebih berhati-hati, pada masa hadapan bagi mengelak eksploitasi sama.

“Semak terlebih dahulu program bakal dilaksanakan mana-mana pihak membabitkan institusi masjid supaya tidak disalahgunakan lagi,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

Van jenazah angkut orang tak puasa, betul atau bohong?

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 2 JUL: Tiada siapa tahu, sejak bila dan bagaimana kisah penguatkuasa agama menahan individu tidak berpuasa dalam van jenazah tersebar.

Saban tahun kisah ini muncul, kononnya pesalah ponteng puasa diarak dengan menaiki van jenazah bagi menyedarkan individu terbabit.

van jenazahNamun timbul persoalan, benarkah penguatkuasa agama pernah berbuat?

“Untuk makluman umum, penguatkuasa jabatan agama tidak pernah menahan seseorang individu tidak berpuasa menggunakan van jenazah.

“Jabatan dibekalkan dengan kenderaan penguatkuasa bagi tujuan penahanan.

“Tiada ketetapan buat masa ini kecuali menguatkuasakan peruntukan yang ada mengikut undang-undang,” kata Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ahmad Zaharin Mohd Saad kepada Selangor Kini.

Sebelum ini, Selangor Kini difahamkan cerita van jenazah mula timbul berikutan penggunaan van jenazah dalam satu operasi besar-besaran pada bulan puasa sekitar 90-an oleh sebuah agensi kerajaan.

Bagaimanapun, ketika itu van jenazah digunakan disebabkan kekurangan kenderaan untuk membawa pesalah yag ditahan.

Walaupun selepas itu penggunaan van jenazah tidak pernak dipraktikkan mana-mana agensi, cerita mengenainya terus segar menjadi bahan cerita setiap Ramadan.

– EZL FZL