Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Azmin rujuk formula Anwar tawan Putrajaya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

ALOR SETAR, 26 MAC : Formula yang pernah dilaksanakan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengetuai Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu membolehkan komponen pembangkang memperoleh kemenangan besar.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mendedahkan, permuafakatan semua gabungan membolehkan pembangkang merealisasikan pelaksanaan formula itu sekali gus membolehkan Pakatan menerajui kepimpinan di Putrajaya.

“Dasar satu lawan satu bermaksud dalam kalangan pembangkang untuk lawan calon Barisan Nasional (BN) di semua kerusi.

AZMIN KONVENSYEN (1)“Walaupun perkara ini senang didengar, tapi ia sebenarnya sukar dilaksana. Sebagai pemimpin, inilah cabaran kita untuk meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi.

“Syaratnya satu lawan satu mesti dilakukan untuk lawan BN dan menawan Putrajaya,” katanya.

Katanya, formula itu telah menghasilkan kejayaan besar pada PRU lalu apabila Pakatan waktu itu meraih undi popular 52 peratus.

“Kita perlu bersabar sedikit. Anwar ketika di luar pun itulah peranan yang dimainkan beliau.

“Walaupun diherdik, namun tokoh pemimpin itu ‘telan’ kerana Anwar tahu rangka gabungan itu boleh menumbangkan Umno,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin berucap pada Konvensyen KEADILAN Majlis Perwakilan Negeri Kedah dan Perlis di Hotel Fuller, di sini.

PRU13 lalu menyaksikan Pakatan menang 89 kerusi Parlimen dan 230 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding BN 133 kerusi Parlimen tetapi hilang tujuh kerusi daripada 140 pada PRU ke-12.

Bagi undi keseluruhan pula, Pakatan berjaya mendapat 5.5 juta undi berbanding BN 5.2 juta sahaja.

Walaupun di atas kertas BN menang dengan 133 kerusi Parlimen, hakikatnya rakyat menolak parti itu berdasarkan peratusan jumlah undi yang diberikan kepada Pakatan.

Bagaimanapun, jika Malaysia mengamalkan kaedah yang diguna pakai di luar negara iaitu ‘Propotional Representation’ (PR), bermakna secara jelas Pakatan sudah pun berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan.

-nR-