Categories
SELANGOR

Martabat peranan wanita melalui Inisiatif Peduli Rakyat

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 8 MAC: Tema sambutan Hari Wanita Sedunia tahun ini, ‘Berani Untuk Berubah’ (Be Bold For Change) adalah penting bagi menggilap kembali tekad dan azam mewujudkan sebuah masyarakat saksama dan inklusif gender.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri meningkatkan penyertaan dan penglibatan wanita dalam isu kritikal seperti ekonomi, pendidikan, kesihatan dan keselamatan.

Katanya, usaha pemberdayaan kedudukan sosio ekonomi kaum hawa juga sentiasa dipergiat menerusi Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang bersifat inklusif gender.

AZMIN-500x357“Selangor berhasrat mengiktiraf dan memartabatkan peranan wanita sebagai ‘stakeholders’ dalam proses pembangunan dan modenisasi negara.

“Maka, wanita turut menjawat peranan penting dan strategik dalam pentadbiran dan syarikat negeri.

“Kita yakin menerusi dasar peduli dan progresif serta penggunaan teknologi, wanita akan lebih produktif dalam mengemudi persekitaran mencabar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Institut Wanita Berdaya ditubuhkan untuk merencana dasar dan inisiatif baru lebih progrsif demi memartabatkan wanita di Selangor.

“Menjadi harapan kita agar segala usaha ini menjadi pemangkin kepada usaha pemberdayaan kaum hawa bagi menjana produktiviti dan memacu pertumbuhan negeri.

“Marilah kita bersama menggembleng seluruh kekuatan menjayakan agenda Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri,” katanya.

-nR-