Categories
SELANGOR

MDKS tutup kilang ais kotor

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 17 MAC: Sebuah kilang ais diarah menghentikan operasi serta merta kerana beroperasi di dalam keadaan kotor dan tanpa lesen.

Yang Di Pertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, tindakan dilakukan berikutan penarikan semula lesen dikeluarkan kepada kilang terbabit pada Januari lalu.

Katanya, penarikan lesen dibuat susulan kegagalan mematuhi Peraturan 394A(Standard bagi Ais Yang Selamat Digunakan) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dari segi infrastruktur.

“Pengusaha kilang juga didapati gagal mematuhi Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) yang boleh memberi risiko kemudaratan kepada pengguna.

“Selain itu, pengusaha kilang turut mengingkari arahan dan meneruskan aktiviti tanpa kebenaran/lesen dibawah peruntukan UUK Pelesenan Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (MDKS) 2007,” katanya.

DSC_4790Mohd Azhar berkata, tindakan kompaun juga dikeluarkan selepas hasil siasatan MDKS mendapati pemilik premis menggajikan pekerja tanpa suntikan vaksin Tifoid dibawah peruntukan Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan (MDKS) 2007.

Katanya, kompaun juga dikeluarkan akibat kegagalan kilang menjaga persekitaran dalam keadaan bersih dibawah peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MDKS) 2007.

“Peniaga dinasihatkan untuk menyelidik terlebih dahulu latar belakang syarikat yang membekalkan ais kepada mereka.

“Jika terdapat keraguan, peniaga disaran segera melaporkan kepada MDKS melalui aplikasi SPARKs,” katanya.

Operasi dijalankan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor, Air Selangor dan Tenaga Nasional Berhad.

-nR-