Categories
SELANGOR

Operasi tanpa lesen, enam premis pusat siber disita

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 17 MAC: Enam premis pusat siber beroperasi tanpa lesen di sekitar Jeram dan Tanjung Karang dikenakan tindakan sitaan.

Yang Di Pertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, tindakan penguatkuasaan diambil sejurus menerima aduan awam serta risikan awal terhadap premis terbabit sebelum operasi dijalankan.

Katanya, sebanyak 111 unit komputer disita di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil Pusat Siber dan Kafe Siber MDKS 2007.

DSC_5146“Operasi dijalankan selama dua hari dan hasil pemeriksaan mendapati ke semua pemilik premis gagal mengemukakan lesen perniagaan.

“Hasil serbuan turut mendapati sebuah premis menawarkan hadiah berunsur perjudian dibayar melalui bonus sehingga RM100,000,” katanya.

Mohd Azhar berkata, MDKS sedang mengumpul maklumat bagi mendakwa pemilik premis yang membenarkan penyewa menyalahgunakan premis mereka.

Katanya, tindakan penguatkuasaan tetap diteruskan dari semasa ke semasa bagi membendung penyalahgunaan premis perniagaan.

“Kepada pengusaha pusat siber haram yang masih berdegil meneruskan operasi, hentikan segera atau berdepan tindakan daripada MDKS.

“MDKS juga akan membatalkan lesen premis perniagaan pusat siber kepada pengusaha yang berlesen jika didapati melanggar syarat termaktub di dalam peraturan lesen atau mendapat aduan pelanggaran syarat polis,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan aduan mengenai pusat siber mencurigakan boleh berbuat demikian menerusi aplikasi SPARKS.

-nR-