Categories
AGENDA JENAYAH

Bicara kes rasuah Rosmah bermula esok

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan membuat penampilan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menghadiri perbicaraan bagi pertuduhan jenayah.

Rosmah akan menghadiri perbicaraan hari pertama berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, didengar di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Manakala  Najib dijadual meneruskan pembelaannya di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali atas tuduhan menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Kes Rosmah akan bermula pada 2 petang, manakala perbicaraan kes  Najib bermula pada 9 pagi.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kes solar Rosmah, Rizal dibicara bersama tahun depan

KUALA LUMPUR, 30 Mei: Kes rasuah membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor dan Datuk Rizal Mansor berhubung projek pembekalan sistem tenaga solar hibrid bagi sekolah luar bandar di Sarawak, akan dibicarakan bersama, demikian diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim​​​​​​​ Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, supaya kes tersebut didengar di mahkamah sama.

Bagaimanapun, ​​Mohamed ​​​​​Zaini memerintahkan kes pengubahan wang haram yang dihadapi oleh Rosmah, yang juga isteri bekas perdana menteri, Datuk Seri Seri Najib Tun Razak, didengar secara bersendirian.

Dalam penghakiman, Mohamed Zaini berkata kes pengubahan wang haram dan kes rasuah tidak cukup untuk memenuhi kriteria Seksyen 165 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) untuk dibicarakan bersama.

“Berdasarkan tuduhan dalam kes solar dan pengubahan wang haram, saya berpendapat ia tidak cukup untuk memenuhi kriteria Seksyen 165 CPC.

“Oleh itu, saya mengarahkan kes pengubahan wang haram yang dihadapi Rosmah dibicarakan secara bersendirian manakala kes solar melibatkan Rosman dan Rizal telah memenuhi kriteria untuk dibicara bersama,” katanya.

Seksyen 165 CPC adalah mengenai perbicaraan lebih daripada satu kesalahan.

Mohamed Zaini menetapkan kes solar membabitkan Rosmah dan Rizal, yang juga bekas bekas pegawai khas kepada Najib, dibicarakan selama 32 hari kecuali Jumaat pada tahun depan dan pendakwa akan mengemukakan 17 saksi.

Tarikh perbicaraan kes solar ditetapkan ​​​​​​​bermula 3 hingga 6 Feb, 13-17 Feb, 9-12 Mac, 6-9 April, 13-16 April, 20-23 April dan 27-30 April sementara pengurusan kes ditetapkan 6 Jan depan.

Kes pengubahan wang haram yang dihadapi oleh Rosmah akan berlangsung selama 20 hari bermula

11 hingga 14 Mei, 18-21 Mei, 29 Jun-2 Julai, 6-9 Julai, dan 13 hingga 16 Julai.

Bagaimanapun, Rosmah tidak hadir pada prosiding hari ini.

Terdahulu, Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa Rosmah telah mengambil cuti sakit selama seminggu dan ubat yang diambilnya membuatkan dia merasa mengantuk.

Pada 4 Okt tahun lalu, Rosmah, yang diwakili peguam Manjeet Singh Dhillon dan Datuk K. Kumaraendran, mengaku tidak bersalah atas 12 tuduhan berhubung pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN).

Pada 15 Nov tahun lalu, Rosmah, 67, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Dalam pada itu, Rizal turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima rasuah RM500,000 bagi dirinya dan RM5 juta bagi pihak Rosmah berhubung projek solar tersebut.

Dia turut didakwa meminta rasuah RM25 juta untuk dirinya dan bagi pihak Rosmah RM187.5 juta membabitkan projek sama.

Suapan tersebut adalah sebagai upah membantu syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd mendapatkan projek sistem solar tersebut bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rosmah tiba di SPRM bantu siasatan penyelewengan projek solar

PUTRAJAYA, 14 NOV: Isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dilihat tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini dipercayai bagi membantu siasatan kes pembekalan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak.

Beliau tiba pada 11.40 pagi dengan menaiki kereta Proton Perdana berwarna hitam dan diiringi sebuah kereta Proton Waja.

Menurut sumber SPRM, notis memerintahkan Rosmah hadir telah diserahkan semalam.

Pada awal Jun lalu, sebuah portal berita melaporkan kemungkinan wujud penyelewengan dalam pemberian kontrak projek hibrid solar bernilai RM2.5 bilion di Sarawak yang didakwa diberikan melalui penganugerahan kontrak secara terus di bawah arahan seorang bekas pemimpin tertinggi negara.

Pemimpin berkenaan turut didakwa mengarahkan Kementerian Pendidikan pada Januari tahun lepas agar melantik sebuah syarikat perniagaan kereta sewa di Bintulu bagi projek hibrid solar untuk 369 sekolah pedalaman di Sarawak.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rosmah mengaku tidak bersalah 17 pertuduhan wang haram

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Isteri mantan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan terbabit dalam 17 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah kira-kira RM7 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Hakim Azura Alwi menetapkan sebutan kes di mahkamah berkenaan pada 8 November depan.

Berpandukan keterangan pendakwaraya dan peguambela, Azura juga menetapkan ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin ke atas Rosmah, 67.

Beliau juga diarahkan menyerahkan pasportnya dan dilarang menghubungi saksi pendakwaraya.

“Ikat jamin dipohon pendakwaraya dianggap terlalu tinggi manakala permohonan peguambela pula terlalu rendah.

“Berpandukan keterangan kedua pihak, mahkamah menetapkan ikat jamin ke atas tertuduh sebanyak RM2 juta dengan dua penjamin,” kata Azura.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwaraya, Datuk Seri Gopal Sri Ram memohon mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM10 juta namun dibantah pihak peguambela Rosmah.

Barisan peguambela, Datuk Geethan Ram Vincent, Datuk K Kumaraendran dan Iskandar Shah Ibrahim kemudiannya memohon ikat jamin RM250,000 sahaja.

Mahkamah mengarahkan bayaran ikat jamin RM500,000 pada hari ini manakala bakinya sebelum atau pada 11 Oktober ini.

Rosmah menghadapi pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Beliau hadir di kompleks mahkamah dengan diiringi polis pada kira-jam 8.30 pagi dan terus di bawa memasuki mahkamah berkenaan.

Rosmah ditahan semalam ketika memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 3.30 petang.

Penahanan itu dilakukan ketika keterangannya diambil selepas beliau tiba di SPRM pada jam 10.45 pagi.

Ia adalah kali ketiga Rosmah hadir di Ibu Pejabat SPRM di mana kali pertama pada 3 Jun dan kedua (26 September lalu).

Categories
NASIONAL

Tun M: Prosedur perundangan terhadap Rosmah ikut undang-undang

PUTRAJAYA, 4 OKT: Prosedur perundangan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor, isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dibuat mengikut undang-undang, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Merujuk kepada dakwaan oleh anak perempuan Rosmah, Nooryana Najwa Najib, bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agak melampau bertindak menangkap ibunya, Dr Mahathir berkata tindakan itu dibuat tanpa niat dendam.

“Jika ia bertentangan dengan undang-undang, proses perundangan akan dijalankan, itu janji kita dan tidak ada niat untuk berdendam dan apa jua seumpamanya.

“Undang-undang menyebut (bahawa) jika anda mencuri wang, anda akan didakwa di mahkamah. Sama ada mahkamah bersetuju atau tidak, itu perkara lain,” katanya kepada pemberita selepas melrasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Asean mengenai Pengurusan Bencana kali keenam dan mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan di sini hari ini.

Nooryana Najwa, dalam hantaran Instagram semalam, berkata beliau boleh menerima hakikat tindakan ke atas bapanya Najib, tetapi penangkapan ibunya dan penggeledahan rumah neneknya Tun Rahah Mohammad Noah adalah keterlaluan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rosmah hadapi 17 pertuduhan pengubahan wang haram

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan menghadapi 17 pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM7 juta.

Maklumat di mahkamah hari ini mendapati kes Rosmah, 66, akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi, lapor BERNAMA.

Rosmah akan didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak juga akan hadir di mahkamah Tinggi untuk sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali atas tiga pertuduhan jenayah pecah amanah, satu pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Media tempatan dan asing telah berkumpul di Bangunan Kompleks Mahkamah pada jam 6.45 pagi dan pendaftaran media dibahagikan kepada dua barisan bertanda “Pendaftaran DS Rosmah” dan “Pendaftaran DS Najib”.

Mahkamah menyediakan 22 pas untuk media tempatan dan asing untuk masuk ke bilik perbicaraan sementara 40 pas diberikan kepada wartawan ke bilik tayangan video untuk kes Rosmah manakala bagi kes Najib 20 pas diedarkan.

SUMBER: BERNAMA​​​​​​​

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Berita Rosmah ditahan SPRM jadi perhatian dunia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 OKT: Berita penangkapan isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat perhatian media dari seluruh dunia.

Tinjauan SelangorKini mendapati, nama ‘Rosmah Mansor’ menjadi trending di laman twitter sehingga jam 5 petang ini.

Selain media tempatan, berita itu turut mendapat perhatian media luar negara termasuk Channel News Asia, Reuters Tops News, BBC News World, Tic Toc by Bloomberg dan TRT World Now.

Di Twitter, BBC News World melaporkan kejatuhan ‘wanita pertama negara’ itu adalah disebabkan rasa cintanya terhadap barangan mewah.

SPRM dalam kenyataannya berkata, Rosmah akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Rosmah akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Oktober 2018, jam 8 pagi untuk pertuduhan tersebut,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Rosmah ditahan SPRM, didakwa esok

PUTRAJAYA, 3 OKT: Isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor ditahan ketika memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 3.30 petang.

Sumber SPRM yang dihubungi mengesahkan Rosmah ditahan ketika diambil keterangan selepas beliau tiba di SPRM pada 10.45 pagi ini.

“SPRM akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara,” kata sumber itu.

Ini merupakan kali ketiga Rosmah memberi keterangan bagi membantu siasatan SPRM.

Laporan media Selasa menyebut Rosmah perlu hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pagi ini bagi membantu siasatan SPRM.

 

Media hari ini membuat spekulai bahawa Rosmah akan didakwa Khamis.

Beliau kali pertama hadir ke SPRM pada 5 Jun bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012 Pada 26 September lalu, Rosmah memberi keterangan kepada SPRM hampir 13 jam.

Akhbar sebelum ini melaporkan Rosmah dijangka berdepan lebih 20 pertuduhan jenayah, kebanyakannya membabitkan pengubahan wang haram.

Pada 20 Sept lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata agensi itu tidak menolak kemungkinan Rosmah akan didakwa dalam masa terdekat.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

1MDB: Rosmah hadir beri keterangan kali kedua

PUTRAJAYA, 26 SEPT: Isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ini merupakan kemunculan kedua Rosmah di SPRM selepas hadir kali pertama pada 5 Jun lepas untuk disiasat berhubung kes SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1MDB.

Beliau yang datang menaiki kenderaan Proton Perdana warna hitam tiba pada kira-kira 9.50 pagi tanpa polis pengiring. Polis dilihat mengawal ketat perkarangan bangunan SPRM.

Rosmah berpakaian baju kurung bercorak bunga dan bertudung hijau dipercayai ditemani pembantu rumahnya yang membawa beg hijau milik beliau dan beberapa pegawai SPRM.

Rosmah berjalan pantas serta terus meluru masuk ke perkarangan bangunan berkenaan tanpa mempedulikan puluhan wakil media yang mengambil gambarnya.

Difahamkan, Rosmah akan memberi keterangan kepada pegawai SPRM di bilik soal siasat di bangunan itu.

Puluhan wartawan tempatan dan antarabangsa kelihatan berkumpul di perkarangan ibu pejabat SPRM seawal 6.30 pagi untuk membuat liputan kes itu.

Semalam, pegawai SPRM ke rumah Rosmah di Taman Duta, Jalan Langgak Duta bagi memberi notis kepada Rosmah untuk dipanggil ambil keterangan kes itu.

Akhbar sebelum ini melaporkan Rosmah dijangka berdepan lebih 20 pertuduhan jenayah, kebanyakannya membabitkan pengubahan wang haram.

Khamis lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Azam Baki berkata agensi itu tidak menolak kemungkinan Rosmah akan didakwa dalam masa terdekat.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Siasatan terhadap Rosmah siap, tunggu tindakan Peguam Negara

NASIONAL 25 SEPT: Siasatan terhadap isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor telah siap dan telah diserahkan kepada Peguam Negara, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

“Agensi ini hanya bertanggungjawab menjalankan siasatan dan terserah kepada Peguam Negara untuk mendakwa Rosmah atau tidak,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Rosmah dijangka berdepan lebih 20 pertuduhan jenayah, kebanyakannya membabitkan pengubahan wang haram. Pada Jun lepas Rosmah dipanggil memberi keterangan kepada SPRM di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya.

Khamis lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Azam Baki berkata agensi itu tidak menolak kemungkinan Rosmah akan didakwa dalam masa terdekat.

Mohd Shukri yang ditemui pemberita selepas menyampaikan Executive Talk bertajuk ‘Rasuah: Cabaran Kepada Anak Muda’ sempena Konvensyen Mahasiswa Anti Rasuah (KoMawAR) di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Arau hari ini bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak boleh jawab soalan tuan-tuan sama ada dia (Rosmah) akan didakwa kerana ia di luar bidang kuasa kami,” kata Mohd Shukri.

Semasa menjawab soalan seorang pelajar kenapa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dibebaskan daripada pertuduhan rasuah pembelian banglo selepas pilihan raya umum ke-14 lepas, beliau berkata kuasa penuh untuk mendakwa terletak kepada Peguam Negara.

Mengenai kenyataan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa wujud individu berkuasa menawarkan kontrak untuk mendapat sokongan dalam pemilihan parti itu, Mohd Shukri meminta Anwar memberi maklumat mengenai kewujudan individu berkenaan.

Katanya, tanpa maklumat adalah sukar untuk SPRM menjalankan siasatan.

Akhbar hari ini melaporkan Anwar mengakui berlaku penawaran itu dan menegaskan beliau sama sekali tidak berkompromi dengan pemimpin yang menggunakan taktik kotor untuk menang jawatan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Selepas tiga jam, proses ambil keterangan Rosmah masih berjalan

PUTRAJAYA, 5 JUN: Proses mengambil keterangan isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd dipercayai masih berjalan selepas lebih tiga jam beliau tampil di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini.

Rosmah yang datang menaiki kenderaan Mercedes-Benz tiba pada 10.43 pagi masih belum keluar dari perkarangan bangunan tersebut setakat 1.30 tengah hari ini.

Beliau yang berpakaian baju kurung berbunga berwarna biru dan bertudung merah serta membawa beg berwarna merah ditemani anaknya Nooryana Najwa Mohd Najib.

Seorang pegawai SPRM yang ditemui Bernama mengesahkan Rosmah masih berada dalam bangunan berkenaan dan belum selesai memberi keterangan berhubung kes itu.

Puluhan wartawan tempatan dan antarabangsa kelihatan berkumpul di perkarangan ibu SPRM sewaal jam 6 pagi untuk membuat liputan kes itu .

Pada Jumaat lepas, SPRM telah mengeluarkan notis kepada Rosmah untuk memberi kenyataannya berkaitan siasatan SRC International.

Notis itu disampaikan oleh pegawai SPRM di rumahnya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini.

Sebelum ini, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Siasatan 1MDB untuk menjalankan siasatan terperinci, pengesanan dan penyitaan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rosmah Mansor mungkin disiasat

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 17 MEI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak menolak kemungkinan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, turut akan disiasat.

Katanya, ia terpulang kepada pihak berkuasa yang terbabit dalam menjalankan tugas mereka.

“Kita akan menyiasat kes jenayah tidak mengira siapa.

“Ia terpulang kepada pihak yang terbabit antaranya polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau badan lain,” katanya dalam sidang media, di Menara Yayasan Selangor, di sini, hari ini.

Terdahulu, polis membuat carian di kediaman peribadi Datuk Seri Najib Razak, di Jalan Langgak Duta, sejak malam tadi.

Beberapa kenderaan polis kelihatan meninggalkan tempat itu, namun beberapa yang lain termasuk Black Maria masih berada, di situ.

Difahamkan, koleksi beg tangan milik isterinya turut dirampas.