Categories
NASIONAL

Sindiket jual beli darjah: SPRM wajar siasatan seluruh negara

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menjalankan siasatan menyeluruh berhubung sindiket jual beli darjah kebesaran daripada istana negeri di seluruh negara ekoran ia dipercayai berlaku.

Saranan itu dibangkitkan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar selepas pihak berkuasa terbabit menjalankan siasatan dan mengambil keterangan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai kes individu menyogok baginda bagi mendapatkan darjah kebesaran.

“Saya sangat berterima kasih kepada Sultan Johor yang telah bekerjasama dengan SPRM serta menyerahkan nama itu.

MAHFUZ OMAR“Diharap SPRM bukan hanya menyiasat perkara dinyatakan itu dalam kontek membabitkan Sultan Johor tetapi harus menjadikannya untuk mereka menyiasat secara keseluruhan dengan kemungkinan berlaku di seluruh negara iaitu sindiket jual beli darjah kebesaran daripada istana negeri,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini, semalam.

Beliau berkata, sememangnya tindakan SPRM menjalankan siasatan dalam perkara itu amat dialu-alukan.

Namun, katanya ia perlu diperluas dan dibanteras ke seluruh negara daripada berleluasa.

Dalam pada itu, individu yang dikaitkan cuba merasuah Sultan Johor akhirnya menyerah diri di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, semalam.

Perkembangan itu disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki beberapa jam selepas beliau mengeluarkan amaran serah diri terhadap lelaki berkenaan.

Lelaki berusia 54 tahun itu dilaporkan menyerah diri bersendirian tanpa ditemani peguam.

-nR-