Categories
NASIONAL

Sindiket jual beli darjah: SPRM wajar siasatan seluruh negara

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menjalankan siasatan menyeluruh berhubung sindiket jual beli darjah kebesaran daripada istana negeri di seluruh negara ekoran ia dipercayai berlaku.

Saranan itu dibangkitkan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar selepas pihak berkuasa terbabit menjalankan siasatan dan mengambil keterangan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai kes individu menyogok baginda bagi mendapatkan darjah kebesaran.

“Saya sangat berterima kasih kepada Sultan Johor yang telah bekerjasama dengan SPRM serta menyerahkan nama itu.

MAHFUZ OMAR“Diharap SPRM bukan hanya menyiasat perkara dinyatakan itu dalam kontek membabitkan Sultan Johor tetapi harus menjadikannya untuk mereka menyiasat secara keseluruhan dengan kemungkinan berlaku di seluruh negara iaitu sindiket jual beli darjah kebesaran daripada istana negeri,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini, semalam.

Beliau berkata, sememangnya tindakan SPRM menjalankan siasatan dalam perkara itu amat dialu-alukan.

Namun, katanya ia perlu diperluas dan dibanteras ke seluruh negara daripada berleluasa.

Dalam pada itu, individu yang dikaitkan cuba merasuah Sultan Johor akhirnya menyerah diri di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, semalam.

Perkembangan itu disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki beberapa jam selepas beliau mengeluarkan amaran serah diri terhadap lelaki berkenaan.

Lelaki berusia 54 tahun itu dilaporkan menyerah diri bersendirian tanpa ditemani peguam.

-nR-

Categories
SELANGOR

Cubaan sogok Sultan Johor, individu terlibat serah diri

SHAH ALAM, 31 MAC: Individu cuba merasuah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung penganugerahan darjah kebesaran akhirnya menyerah diri di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, semalam.

Perkembangan itu disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki beberapa jam selepas beliau mengeluarkan amaran serah diri terhadap lelaki berkenaan.

Lelaki berusia 54 tahun itu dilaporkan menyerah diri bersendirian tanpa ditemani peguam, lapor MalaysiaKini

Pada 25 Mac lepas, Sultan Johor mendedahkan baginda menerima tawaran RM2 juta daripada seorang individu untuk mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara bagi mendapatkan gelaran “Tan Sri” daripada Yang di-Pertuan Agong.

Sementara pada 27 Mac lepas, baginda mengadakan pertemuan dengan SPRM bagi mendedahkan maklumat berhubung orang tengah yang cuba merasuah baginda untuk pemberian pingat kebesaran kerajaan.

-nR_