Categories
PBT SELANGOR

MPSJ lancar ‘Jom Konvoi’ kali ke-9

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG JAYA, 12 APRIL: Selain memastikan kawasan pentadbirannya diuruskan dengan sempurna untuk keselesaan masyarakatnya, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) turut tidak melupakan program pembangunan belia.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, antara program pembangunan belia dijalankan saban tahun termasuklah program ‘Jom Konvoi Kembara Amal MPSJ 2017’ pada 27 April hingga 1 Mei dengan melibatkan perjalanan sejauh 769 kilometer.

“Konvoi kali ini ke Pahang. Pelbagai aktiviti santai, cergas dan sihat seperti gotong royong majlis perkahwinan, melawat Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan dan lain-lain di mana mengajak belia bermotosikal menjelajah ke pelusuk negara dan desa, menerokai keindahan alam semula jadi di samping aktiviti amal, kemasyarakatan dan lain-lain.

“Melalui program ini juga peserta diberi pendedahan tentang pelbagai ilmu pengetahuan berkaitan pemuliharaan alam sekitar, keusahawanan, keselamatan jalan raya dan pemanduan berhemah,” kata Nor Hisham.

Beliau berkata demikian pada Majlis Serahan Tajaan Bersama Rakan Sinergi Bagi Program Jom Konvoi Kembara Amal MPSJ 2017 di Lobi Utama MPSJ di sini, hari ini.

Jelasnya, program ini turut mendapat kerjasama pelbagai pihak seperti Polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJL), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan seperti Selangor Youth Community (SAY), Pemadam dan sektor koporat.

Katanya, MPSJ berharap program ini mampu membantu melahirkan belia yang dinamik, berdaya saing, berwawasan, serta bebas jenayah di samping menjadi pengguna jalan raya yang berhemah.

Terdahulu, pada majlis sama Nor Hisham menerima tajaan daripada pelbagai pihak termasuk Modenas yang menyediakan lapan buah motorsikal, Summit Shopping Mall, Syarikat Faizah Sdn Bhd, Shriro Sdn Bhd, Tourism Selangor, Chear Motor dan F&N Beverages.

=EZY=