Categories
SELANGOR

RM20 juta tingkat keupayaan 21 rumah pam dan kolam takungan

OLEH NORHAYATI UMOR

GOMBAK, 14 APR: Sebanyak 21 rumah pam dan kolam takungan daripada jumlah keseluruhan 129 buah yang gagal berfungsi dengan baik dinaiktaraf tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan sejumlah RM20 juta bagi kerja baik pulih di 21 rumah pam dan kolam takungan terbabit.

Katanya, sebanyak 457 juta liter sehari (JLH) kapasiti simpanan air terawat dapat dihasilkan daripada 129 rumah pam dan kolam takungan itu sekiranya ia berjaya dibaik pulih.

MB AIR SEL 1“Pengurusan Air Selangor melaksanakan pemeriksaan latihan usaha wajar ke atas loji rawatan air, rumah pam dan kolam takungan dan hasi daripada pengauditan itu, terdapat 129 rosak.

“Aset-aset bekalan air ini menghadapi pelbagai masalah antaranya kebocoran pada kolam, kerosakan pada peralatan dan perkakasan, pencerobohan, kecurian dan vandalisme,” katanya di Majlis Pelancaran Aset dan Inovasi Kenderaan di Pejabat Air Selangor daerah Gombak, di sini.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri melihat keperluan mendesak untuk kerja baik pulih itu bagi mengelakkan gangguan bekalan air terutamanya kawasan perumahan.

“Bagi mengelakkan gangguan bekalan air terutamanya bencana, pencemaran atau sebagainya, Kerajaan Negeri melihat ia keperluan mendesak untuk dibaik pulih dengan segera sekali gus meningkatkan jumlah simpanan air,” katanya.

Terdahulu, dalam Belanjawan Negeri 2017, Mohamed Azmin memaklumkan Kerajaan Negeri sedang melaksanakan Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Air Sungai Langat dan Projek Menaiktaraf Rumah Pam di 11 lokasi yang menelan kos RM98 juta.

Kedua-dua projek ini bertujuan memastikan bekalan air terawat dapat diagihkan kepada pengguna tanpa sebarang gangguan.

-nR-