Categories
SELANGOR

Selangor junjung kasih pertabalan Yang di-Pertuan Agong XV

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 APR: Kerajaan Negeri merakamkan ucapan tahniah serta menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XV.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri turut menyambut baik tarikh itu sebagai Cuti Umum Hari Kelepasan Am dan akan menyediakan kertas hebahan bagi memaklumkan perkara itu ke seluruh jabatan serta agensi.

“Sempena istiadat pertabalan Agong pada 24 April ini, saya bersama pimpinan negeri, penjawat awam serta rakyat Selangor merakamkan ucapan tahniah dan menjunjung kasih atas pertabalan Sultan Muhammad sebagai Seri Paduka Baginda ke 15.

agong“Pengistiharaan ini selaras dengan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Labuan,” katanya di ucapan penutup Sidang Dewan Negeri, di sini.

Pagi tadi, Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan 24 April ini sebagai hari cuti umum tambahan di seluruh negara sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam kenyataan berkata, dua acara utama akan diadakan di Istana Negara pada hari itu, iaitu Istiadat Pertabalan di Balairung Seri, pada sebelah pagi dan Majlis Santapan Diraja di Dewan Santapan, pada sebelah malam.

Katanya, dua acara lain turut akan diadakan, iaitu Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat dan Solat Hajat di Masjid Putra, Putrajaya pada 20 April ini dan Pameran Raja Kita di Muzium Diraja pada 2 Mei nanti.

-nR-