Categories
NASIONAL

Shamsul Iskandar: Ketua Menteri Melaka cuba lindungi pemimpin Umno rasuah RM150 juta?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 27 APR: Kegagalan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan pemimpin Umno yang didakwa atas kesalahan rasuah RM150 juta menimbulkan persoalan jika individu terbabit dilindungi pihak berkepentingan.

Naib Presiden KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, pemimpin Umno Melaka itu tidak ditahan dan masih bebas walaupun waran tangkap terhadapnya sudah dikeluarkan.

“Bagaimana beliau masih bebas walaupun waran tangkap dikeluarkan? Dimanakah pemimpin terbabit berada sehingga pihak berkuasa gagal membuat tangkap terhadapnya?

shamsul-iskandar-mohd-akin“Apakah beliau dilindungi pimpinan atasan kononnya mempunyai hubungan secara langsung dengan ketua menteri kerana bimbang Idris Haron akan diheret sama?” katanya dalam kenyataan.

Pada November lalu, SPRM merampas lebih RM150 juta dalam bentuk wang tunai, kenderaan, aset dan dokumen daripada pemimpin berkenaan dalam siasatan pengubahan wang haram.

Kes berkenaan dipercayai berkait rapat dengan pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka yang diketuai Ketua Menterinya, Datuk Idris Haron.

Memetik sumber MalaysiaKini, pemimpin Umno terbabit mempunyai kaitan rapat dengan pegawai atasan kerajaan di peringkat Persekutuan.

Bagaimanapun, individu terbabit dikatakan sudah digantung tugas dalam pentadbiran selepas disiasat SPRM.

Namun, media tempatan melaporkan beliau kini dilantik untuk memegang jawatan di Pusat Khidmat Umno bahagian Tangga Batu.

Shamsul mendesak SPRM supaya tampil memberikan penjelasan berhubung kelewatan penangkapan individu terbabit bagi mengelakkan sebarang spekulasi timbul.

“Saya juga mendesak supaya menghentikan sebarang percubaan ‘cover up’ oleh pihak tertentu untuk menyelamatkan pemimpin terbabit,” katanya.