Categories
NASIONAL

Bantah kekejaman, MAPIM lancar kempen solidariti Islam

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 4 MEI : Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menganjurkan Kempen Solidariti Islam besar-besaran membabitkan penyertaan badan bukan kerajaan (NGO) Islam seluruh negara, Ramadan ini.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia dilaksanakan sebagai bantahan keras terhadap Kerajaan Myanmar susulan kempen anti Islam yang dilancarkan di negara itu, awal tahun ini.

“Kempen ini dicadangkan serentak dengan sambutan Nuzul Quran di Kuala Lumpur dengan cadangan awalnya di Masjid Wilayah dan Masjid Negara Ramadan ini.

MAPIM - AZMI HAMID“Ia melibatkan semua NGO namun keutamaan seruan kita adalah penyertaan daripada masyarakat Islam seluruh negara untuk datang menyokong kempen ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MAPIM, pagi ini.

Beliau berkata, pengisian kempen itu termasuklah pendedahan aktiviti keganasan dilakukan tentera Myanmar, isu pendidikan setempat dan halangan terhadap masyarakat Islam Rohingnya.

Dalam pada itu, Mohd Azmi turut mendedahkan kekejaman pihak berkuasa negara itu yang membakar masjid dan sekolah masyarakat Rohingnya, 28 April lalu.

Media melaporkan, kejadian itu berpunca daripada tindakan pihak berkuasa negara Myanmar membenarkan kumpulan sami yang membawa penunjuk perasaan merantai pintu masuk sekolah serta dua buah madrasah dan membakar premis berkenaan.

“Apa yang berlaku kini, kekejaman Myanmar sudah melampaui batas apabila mereka bukan sekadar menyerang masyarakat Islam, namun simbol-simbol Islam seperti Masjid, Surau, Sekolah Islam juga dihapuskan.

“Menjelang Ramadan ini, tidak mustahil masyarakat Islam di sana tidak lagi dibenarkan solat di Masjid sepanjang Ramadan,” katanya.

Justeru katanya, komitmen masyarakat dunia khususnya pertubuhan Islam Kerjasama Islam menerusi penyertaan 57 negara Islam perlu mengambil pendirian tegas menangani isu keagamaan di Myanmar.