Categories
AGENDA NASIONAL

MAPIM anjur kempen #ShameOnIsrael esok

KUALA LUMPUR, 25 JUL: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengajak rakyat Malaysia serta masyarakat antarabangsa menyertai kempen media sosial esok bagi mengutuk tindakan rejim zionis Israel memusnahkan kediaman penduduk Palestin awal minggu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr Ahmad Sani Datuk Alim Araby berkata, kempen yang berlangsung sepanjang hari itu, menggunakan tanda pagar #ShameOnIsrael dengan latar belakang warna hitam atau merah.

“Kita mahu sampaikan mesej dari Malaysia bahawa tindakan Israel ini memalukan, ‘shame on you’. Israel ini penduduknya hanya sembilan juta sahaja.

“Kita hendak beritahu dengan jelas bahawa kita tidak akan memekakkan telinga dan menutup mata dengan tindakan mereka. Kita hendak viralkan,” katanya kepada Bernama di Kedutaan Palestin, semalam.

Tambahnya, kempen media sosial itu merupakan antara inisiatif paling ringkas yang boleh disertai dan dilaksanakan orang ramai bagi mengutuk tindakan Israel mengakibatkan kemusnahan kepada 10 bangunan mempunyai 100 unit apartmen di kawasan Wadi Al Hummus, bandar Sur Bahir.

Sementara itu, Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali berkata bagi pihak kerajaan Palestin dan rakyatnya di sini, beliau mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang disifatkan sebagai Jenayah Perang Israel.

Beliau menggesa Malaysia serta negara lain dan badan antarabangsa bersama menyertai Palestin mengutuk kekejaman Israel, yang dipercayai sebagai langkah mendapatkan sokongan untuk Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan Parti Likudnya sebelum pilihan raya September nanti.

“Beliau gagal membentuk kerajaan pada pilihan raya lalu (pada April), jadi beliau perlu meneruskan sokongan terhadap peneroka dan meranapkan impian Palestin untuk mewujudkan Negara Palestin yang merdeka dengan Al-Quds Al-Sharif sebagai ibu negara.

“Ini adalah satu tindakan Perang Jenayah, menyebabkan perpindahan tidak adil puluhan keluarga Palestin, satu perbuatan tanpa justifikasi perundangan, kecuali memperlihatkan Israel mengunakan kuasanya secara agresif dan terang-terangan untuk mendorong ke arah pelaksanaan perjanjian abad ini, yang sebenarnya bertujuan menghapuskan semua perjuangan Palestin,” katanya.

Perjanjian abad ini merujuk kepada Rancangan Perdamaian Timur Tengah Presiden Donald Trump, yang kononnya bertujuan untuk menamatkan konflik Israel dan Palestin. Bahagian ekonomi mengenai perjanjian itu diumumkan di Bahrain.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Dr Zakir Naik tokoh besar tonjol ajaran Islam

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 18 MEI: Penceramah bebas, Dr Zakir Naik disifatkan sebagai tokoh besar sangat dikenali dalam mempersembahkan kesucian ajaran Islam kepada mereka yang bukan beragama Islam, kata Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Walaupun terpalit dengan dakwaan sebagai seorang pengganas di negara kelahirannya namun beliau berkata, masyarakat tidak seharusnya mendengar tuduhan dilemparkan terhadap penceramah itu sewenang-wenangnya kerana tiada maklumat betul dan sahih, bahkan tidak tepat.

Bercakap ketika ditemui pada program Iftar Ramadan dan Ceramah Khas, katanya, kepakaran penceramah tersohor dari India itu mempersembahkan Islam bukan sahaja daripada segi praktiknya kita beramal, malahan dalam komunikasi.

“Kita berbangga kerana dapat menghadirkan tokoh besar iaitu tokoh antarabangsa dan kita merasakan ketokohan beliau dalam mengupas Islam sangat mudah serta jelas, itu menyebabkannya tokoh antarabangsa yang sangat dikenali.

“Apabila dia (Dr Zakir) menerangkan topik sangat jelas, kita rasa bahawa tidak ada sebab untuk orang curiga dan menerima dakwaan bahawa beliau memecahbelahkan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, Dr Zakir mengupas isu ‘Offering Peace And Justice In Islam To The World – Challenging The Islamophobia Narratives’ yang antara lain membincangkan berkaitan tuntutan keamanan dan keadilan dalam masyarakat Islam di dunia selain cabaran prasangka serta diskriminasi pada Muslim.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, beberapa perkara disentuh Dr Zakir sangat menarik, seterusnya memberi peranan kepada pendengar bahawa mereka juga bertanggungjawab untuk menjelaskan Islam kepada sesiapa sahaja dengan tidak merasakan hubungan akan terjejas.

“Jadi, kita harus pandai menggunakan cara dan teknik dengan baik. Tajuknya juga sangat sesuai Ramadan dan kita dapat mendengar sendiri penjelasan beliau terhadap beberapa isu ditanyakan.

“Kami bercadang untuk mengadakan lagi program sebegini bersama beliau sebagai tetamu dan mahu mengajak semua masyarakat Islam dan bukan Islam untuk datang serta berinteraksi dengannya daripada mendengar tuduhan tidak sahih,” katanya.

Dianggarkan kira-kira 300 peserta hadir dalam majlis berlangsung di Carlton Holiday Hotel & Suites, di sini, malam ini.

Majlis turut diserikan dengan persembahan qasidah daripada kumpulan INTEAM dan bacaan ayat suci al-Quran.

 

Categories
GLOBAL

Mapim rayu rakyat Malaysia terus sumbang untuk misi Rescue Syria

BABULHAWA (Syria), 14 APR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) merayu rakyat Malaysia agar terus membantu pihaknya menampung sasaran kos RM3 juta supaya penyaluran bantuan keperluan asas dan terdesak kepada pelarian Syria yang masih lagi terkandas di negara bergolak itu, tidak terhenti.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery berkata, walaupun Misi Bantuan Kemanusiaan Rescue Syria kali ke-12 berjaya menghantar bantuan bernilai RM5 juta setakat ini, namun jumlah itu masih lagi belum mencukupi untuk menampung kos keseluruhan RM8 juta yang disasarkan pihaknya bagi menjayakan misi penuh getir itu.

“Daripada jumlah kutipan RM5 juta rakyat Malaysia itu, RM2 juta daripadanya telah diperuntukkan bagi sumbangan keperluan asas seperti baju tebal, alat pemanas, ubatan, selimut, Tepung Gandum, Roti, kotak makanan dan khemah-khemah untuk pelarian Syria di beberapa kem pelarian di sana, dan RM3 juta lagi telah diperuntukkan bagi fasa pertama pembinaan 100 rumah tetap di Perkampungan Wakaf Mapim Malaysia di wilayah A’zaz, Syria.

“Namun Mapim mensasarkan kos keseluruhan RM8 juta bagi membolehkan lebih banyak bantuan barangan asas terdesak dapat disalurkan kepada pelarian dalam Syria, dan sumbangan rakyat Malaysia terus diperlukan bagi menampung kekurangan kos ini,” katanya kepada Bernama selepas majlis pelepasan 15 lori kontena bergerak dari sempadan Turki-Syria, pada Jumaat.

Kesemua lori kontena itu digerakkan hasil kerjasama Mapim dengan agensi wakaf kerajaan Turki, Turkiye Diyanet Foundation (TDV), yang mana TDV membantu dari segi prosedur, pengurusan dan pergerakan logistik kesemua barangan keperluan asas itu ke kem-kem pelarian yang telah dikenal pasti dengan lebih 100,000 pelarian akan mendapat manfaat.

Ahmad Sani berkata, antara lain, kerjasama yang terjalin melalui Perjanjian Persefahaman (MoU) 2019-2021 yang baru disepakati dengan TDV pada Khamis lalu melibatkan pembinaan Perkampungan Wakaf Mapim Malaysia di A’zaz, pembinaan dua masjid yang juga akan dijadikan madrasah serta pembinaan dua sekolah untuk 3,000 anak-anak pelarian Syria.

Mapim meminta rakyat Malaysia untuk tidak berhenti menghulurkan sumbangan berupa untuk Tabung Misi Kemanusiaan Rescue Syria menerusi www.tabungsyria.com atau Maybank 5628-3463-6987 (Syria Emergency Appeal) bagi membantu pelarian Syria.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian hotline 1300-888-038.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Mapim bakal bina 100 rumah untuk pelarian di Syria

ANKARA (Turki), 13 APR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) akan bekerjasama dengan beberapa pihak di Turki bagi membina 100 rumah di Syria untuk pelarian di negara bergolak itu.

Untuk itu, Mapim telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan agensi wakaf kerajaan Turki, Turkiye Diyanet Foundation (TDV) untuk projek Perkampungan Wakaf Mapim Malaysia di A’zaz, Syria itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Mapim, Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery berkata, kerjasama dimeterai bermula tahun ini sehingga 2021 itu bakal memanfaatkan lebih 3,000 pelarian Syria, yang mana ia adalah projek berkonsepkan wakaf yang disumbangkan rakyat Malaysia.

“Mapim telah banyak menjalankan projek misi kemanusiaan bersama TDV sejak tujuh tahun dahulu, dan hubungan ini bakal diperkukuh dengan MoU ini yang bakal menyaksikan pembinaan Perkampungan Wakaf Mapim Malaysia di A’zaz, Syria dalam masa beberapa hari lagi.

“Antara lain yang kita turut persetujui melalui MoU ini ialah membaik pulih beberapa buah masjid di kawasan sekitar A’zaz untuk dijadikan madrasah, serta membina sebuah sekolah untuk anak-anak pelarian Syria dengan bantuan daripada Kementerian Pendidikan Turki, dan juga beberapa NGO pendidikan Turki,” katanya kepada Bernama selepas majlis menandatangani MoU itu di Ibu Pejabat TDV di sini Khamis.

Beliau berkata, RM3 juta diperuntukkan bagi projek pembinaan 100 rumah batu dengan tiga bilik itu hasil sumbangan RM2,500 untuk satu bahagian penderma, yang mana ia adalah rentetan dari projek Wakaf Myhome for Syrian Family yang digerakkan Mapim bermula tahun lepas.

Ahmad Sani turut menyeru rakyat Malaysia yang ingin membantu meringankan beban lebih enam juta pelarian Syria yang terkandas di negara itu untuk menghulurkan sumbangan berupa wang ringgit ke tabung Misi Kemanusiaan Syria di www.tabungsyria.com atau Maybank 5628-3463-6987 (Syria Emergency Appeal).

Dalam pada itu, Ketua Pengarah TDV, Mehmet Savas Polat berkata, pihaknya menjadikan Mapim sebagai rakan strategik, kerana yakin dengan kemampuan sistem pengurusan bagi menjalankan projek Perkampungan Wakaf Mapim Malaysia itu.

“Tujuh tahun bekerjasama dengan Mapim amat meyakinkan kami dengan kemampuan tadbir urus NGO daripada Malaysia itu bagi projek ini. TDV mengucapkan jutaan terima kasih buat rakyat Malaysia yang telah menyumbang dari segi wakaf untuk kedua-dua pihak menggerakkan pembinaan perkampungan Malaysia yang pertama untuk pelarian Syria di A’zaz tidak lama lagi,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

FOTO EHSAN: MAJLIS PERUNDINGAN PERTUBUHAN ISLAM MALAYSIA (MAPIM)

Categories
GLOBAL

Israel cuba musnahkan masjid di Gaza – MAPIM

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 MAC : Tentera Israel cuba memusnahkan masjid di Gaza, itulah berita yang dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Dr Ahmad Sani Araby.

Beliau berkata, lebih menyedihkan apabila masjid berkenaan adalah masjid sementara yang dibina selepas masjid asal musnah diserang tentera Zionis.

“Masjid Umar Abdul Aziz yang dibina MAPIM di Beit Hanun, Gaza telah dibom dan dimusnahkan.

“Kemudiannya penduduk membina masjid sementara bagi membolehkan penduduk Palestin menunaikan solat Jumaat.

“Tetapi akhirnya masjid iu juga cuba dimusnahkan. Zionis ingat kita akan berputus asa tapi sebaliknya, semua ini hanya akan menguatkan hati sukarelawan untuk terus membela bumi Gaza,” katanya.

Sani berkata, serangan itu adalah rentetan daripada ulangtahun pertama perarakan aman ‘The Great Return March’ oleh tentera Zionis pada Sabtu lalu, dengan berhimpun di sempadan Gaza.

Katanya, perarakan itu mengumpulkan kereta kebal selain meletakkan penembak tepat untuk berdepan dengan kanak-kanak Palestin.

“Mereka turut menyiapkan puluhan dron pesawat tanpa juruterbang dan kereta berperisai untuk berdepan wanita Palestin,” katanya.

Pada masa sama, MAPIM masih memerlukan RM3 juta untuk Tabung Kilat Bantuan Kemanusiaan Gaza.

Bantuan berkenaan khusus bagi pembelian ubatan terdesak, makanan serta bantuan kepada mangsa serangan yang kehilangan keluarga dan rumah.

Categories
GLOBAL

MAPIM, SKOP Productions bina masjid untuk penduduk Palu

JAKARTA, 2 FEB: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) akan membina empat masjid di Palu, Sulawesi Tengah selepas kebanyakan masjid di kawasan itu musnah atau rosak teruk akibat gempa bumi dan tsunami pada September tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Ahmad Sani Alim Araby berkata, buat permulaan sebuah masjid yang diwakafkan oleh pengeluar filem dan siri televisyen Malaysia, SKOP Productions Sdn Bhd (SKOP Productions) akan dibina di atas tanah seluas 1.5 hektar di Palu.

“Masjid wakaf SKOP Productions ini dijadualkan siap dalam tempoh 50 hari atau sebelum Ramadan ini, bagi membolehkan masyarakat setempat mengimarahkannya pada Ramadan,” katanya di sini.

Beliau berkata pembinaan masjid itu adalah usaha berterusan MAPIM yang sebelum ini telah menghantar 20 trak makanan dan pelbagai bantuan ke Palu selain membina perigi air untuk keperluan air bersih penduduk.

Pada 28 Sept tahun lalu, kejadian gempa bumi bermagnitud 7.7 pada skala Richter di Sulawesi turut mengakibatkan tsunami di Palu dan Donggala, mengorbankan lebih 3,000 nyawa selain kemusnahan teruk harta benda dan infrastruktur serta rumah ibadat.

“Sebanyak 99 masjid musnah dan beratus rosak teruk di Palu. Pembinaan tiga masjid lagi akan dibincangkan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi SKOP Productions, Datuk Yusof Haslam berkata, sumbangan terbabit adalah tanda keprihatinan syarikat terhadap penderitaan penduduk Palu.

“Tragedi itu berlaku ketika filem box office kami iaitu Munafik 2, ditayangkan di Indonesia. Ini adalah sumbangan kami untuk mereka dan kerja pembinaan masjid yang boleh memuatkan 300 jemaah itu akan bermula hari ini,” katanya yang mewakili syarikat menandatangani memorandum persefahaman dengan MAPIM bagi tujuan terbabit di sini.

Ketua Bidang Bimbingan Masyarakat Islam, Kementerian Agama Provinsi Sulawesi Tengah, Mohammad Ramli yang turut hadir pada majlis terbabit yang berlangsung di Kedutaan Besar Malaysia di sini berkata, beliau amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang banyak menyalurkan bantuan.

“Saya lahir di Palu, dibesarkan di Palu, menjalani kehidupan di Palu. Dalam sekelip mata kampung halaman kami musnah. Sukar untuk saya gambarkan.

“Dilaporkan lebih 3,000 terkorban tetapi itu berdasarkan data pihak berkuasa, beribu masih hilang berdasarkan aduan waris,” katanya yang yakin jumlah mangsa hilang jauh lebih besar berbanding angka rasmi kerajaan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sukarelawan MAPIM menangis lihat anak Syria kesejukan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 JAN: Kumpulan sukarelawan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menangis apabila melihat kanak-kanak Syria menderita akibat suhu sejuk melampau yang melanda negara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Dr Sani Araby Al-Kahery berkata, kanak-kanak di kem pelarian itu turut berhadapan situasi ‘frozen to death’ iaitu sejuk hingga berisiko menghadapi kematian.

Katanya, MAPIM turut khuatir berikutan kanak-kanak berkenaan terdedah kepada kejang dan sakit teruk akibat cuaca luar biasa.

“Ketika menghampiri kem pelarian, anak-anak kecil berlari mendapatkan sukarelawan MAPIM kerana tahu kami membawa bantuan buat mereka, ada yang tersenyum dan menangis.

“Setakat ini MAPIM sudah membantu lebih 2,000 pelarian mendapatkan bantuan namun angka terbabit amat kecil berbanding keperluan kepada 58,000 pelarian lain,” katanya.

Dr Sani yang juga Ketua Misi Bantuan Musim Sejuk Rescue Syria berkata, antara bantuan terdesak diperlukan ialah selimut, khemah pelarian, ubat-ubatan, makanan, alat pemanas dan baju sejuk.

Katanya, terdapat dua cara untuk membuat sumbangan iaitu pembayaran melalui online di www.tabungsyria.com atau menerusi akaun Maybank Islamic, 562834636987 atas nama Syria Emergency Appeal (Dana MAPIM).

“Buat masa ini, MAPIM masih kekurangan dana sebanyak RM800,000 bagi bantuan kecemasan fasa satu, oleh itu kami amat mengharapkan bantuan rakyat Malaysia yang prihatin,” katanya.

 

Categories
AGAMA

MAPIM semalaman santuni gelandangan di ibu kota

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Sukarelawan Chitra UKM menzahirkan keprihatinan menyantuni gelandangan sekitar ibu kota menerusi Program Santuni Ummah, semalam.

Sekurang-kurangnya, 300 gelandangan diraikan dalam beberapa aktiviti seperti penyerahan bantuan pek makanan siap masak dan makanan kering serta khidmat gunting rambut percuma.

Aktiviti Street Dakwah turut dilaksanakan pada gelandangan bukan Islam.

Aktiviti malam itu turut diserikan dengan kehadiran Ummah Wakaf Ambulance MAPIM yang menjadi Mobile Clinic untuk pemeriksaan kesihatan gelandangan.

 

Categories
GLOBAL

MAPIM-Hijjaz teruskan Misi Bantuan Kecemasan Rohingnya di Bangladesh

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 23 FEB: Delegasi Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama kumpulan nasyid tanah air, Hijjaz meneruskan Misi Bantuan Kecemasan Rohingnya di kem pelarian Bangladesh, bermula 22 hingga 26 Februari.

Menerusi laman facebooknya, MAPIM memohon rakyat Malaysia mendoakan misi terbabit dipermudah.

Selain itu, MAPIM juga menyeru masyarakat prihatin untuk terus menyalurkan sumbangan bagi membantu warga Rohingnya di sana.

Sumbangan Tabung Rohingnya boleh dibuat menerusi www.danarohingya.com atau terus ke akaun Rohingya Emergency Appeal – MAPIM 2142 5760 0213 72 (RHB Bank)

Terdahulu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan Rohingya sebagai etnik paling teruk dianiaya di dunia, dengan krisis penindasan yang dihadapi mereka selama puluhan tahun.

Sehingga kini, dianggarkan 9,000 etnik Rohingya dibunuh rejim Myanmar di negeri Rakhine sejak kempen ketenteraan pada 25 Ogos lalu.

Categories
GLOBAL

MAPIM berterusan bantu Rohingya terkepung di Arakan

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 1 FEB: Usaha menyalurkan bantuan kecemasan buat penduduk Rohingya yang terkepung di Arakan, Myanmar diteruskan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Naib Presiden MAPIM, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, ia adalah usaha keras pihaknya membantu pelarian terjejas ketika mereka masih dikepung tentera dan ekstremis Myanmar.

Katanya, MAPIM melalui usaha perhubungan tempatan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sana, berjaya menembusi kawasan paling krtikal bagi menyalurkan bantuan kecemasan, pada November lalu.

“Sejak Ogos 2017, bantuan kemanusiaan seluruh dunia terarah kepada kem penempatan pelarian Rohingya di Bangladesh.

“Kini, MAPIM berjaya mengalih arah bantuan ke perkampungan Maungdaw, Rathidung dan Buthidaung, Arakan, Myanmar,” katanya.

Menurut maklumat terkini, di Maungdaw terdapat 70 keluarga di sektor 5 dan 20 keluarga di Sheil Khali, manakala 15 keluarga lagi di Kampung Buthidaung serta sekitar 10-20 keluarga di Rathidung yang masih bertahan.

Namun, jumlah sebenar dijangka melebihi angka itu kerana mereka juga terputus akses perhubungan dengan pihak luar.

Pada masa ini, Ahmad Tarmizi berkata, MAPIM sedang mengumpulkan lebih banyak dana untuk membantu pelarian di Arakan.

Katanya, jika keadaan mengizinkan, MAPIM akan laksanakan satu misi kemanusiaan memasuki ke daerah tersebut.

“Orang ramai dialu-alukan menyalurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Rohingya-MAPIM di nombor akaun 55520 9522 4432 (Maybank) atau 020 2001 0072 272(Bank Islam) atau 154 0018 8063 0425(Al Rajhi Bank),” katanya.

 

Categories
SELANGOR

MAPIM gesa siasatan segera kes pusat tahfiz terbakar

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 SEPT: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera bagi mengenal pasti punca kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur, semalam.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perkara itu mendapat perhatian umum dan hasil siasatan dapat membantu sebagai rumusan bagi menghindari kejadian sama berulang.

MAPIM - AZMI HAMID“Walaupun ini adalah tragedi luar jangkaan, namun peraturan keselamatan bangunan terutama bagi institusi pendidikan yang menempatkan ramai pelajar hendaklah memenuhi syarat serta sering dipantau.

“Semua pihak harus mengambil daya usaha yang serius bagi memastikan keselamatan bangunan sentiasa dijamin,” katanya.

MAPIM merakamkan takziah kepada semua ahli keluarga serta pihak pengurusan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat Hujung, Kuala Lumpur, di atas tragedi kebakaran itu.

Dalam kejadian semalam, seramai 23 mangsa iaitu dua tenaga pengajar dan 21 pelajar terkorban dalam kebakaran di pusat tahfiz berkenaan.

Polis dalam kenyataan menyatakan siasatan lanjut sedang dijalankan dengan semua pihak diminta bekerjasama dalam perkara itu.

Categories
NASIONAL

MAPIM kumpul tandatangan desak lucut Nobel Keamanan Suu Kyi

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 7 SEPT: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) melancarkan kempen mengumpul 1,000 tandatangan bagi menuntut anugerah Nobel Keamanan ditarik daripada Kaunselor Myanmar, Aung San Suu Kyi.

Tindakan itu dilakukan berikutan kenyataannya menafikan pemusnahan etnik dan genocide ke atas etnik Rohingya sejak Burma mendapat kemerdekaan pada 1948 yang menunjukkan beliau bersekongkol serta menyokong perlakuan ganas tentera Myanmar dan ekstrimis Buddhis menindas kaum berkenaan.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata pihaknya berpandangan Suu Kyi telah mengkhianati erti anugerah Nobel Keamanan dan beliau tidak layak memilikinya.

MAPIM - AZMI HAMIDMaka dengan itu, katanya anugerah diterimanya pada 1991 perlu dilucut serta merta.

“MAPIM mengesa semua pihak mempunyai rasa peri kemanusiaan dalam kalangan tokoh masyarakat di Malaysia perlu bersama menyokong petisyen yang akan dihantar kepada Jawatankuasa Nobel Keamanan di Sweden untuk melucut anugerah itu.

“Kita menyasarkan mengumpul 1,000 tandatangan pimpinan masyarakat antaranya Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, tokoh masyarakat, pemimpin agama, ahli profesional dan cendikiawan serta sasaran ini diharap dapat dicapai pada hujung Oktober ini,” katanya.

Mohd Azmi berkata, kenyataan Suu Kyi menggambarkan beliau mengakui penggunaan nama Rohingya sebagai panggilan ditolak di Myanmar dan beliau lebih selesa dengan tuntutan junta Myanmar bahawa Rohingya dipanggil “Bangeli” yang sama sekali tidak boleh diterima serta dibantah etnik Rohingya.

aung-san-suu-kyi-Katanya, Suu Kyi jelas tidak merasa bersalah apabila bayi, kanak-kanak dan wanita dari kalangan etnik Rohingya diperlaku dengan kejam.

“Malah beliau tunduk kepada puak ekstrimis Buddhis diketuai Ashin Wirathu yang menghalalkan pembunuhan, pengusiran, penafian hak manusia, perampasan harta benda etnik Rohingya.

“Beliau turut memperakui setiap pengganut Buddha wajar menjaga kepentingan agama dan tanah air Myanmar yang didakwa hanya milik penganut Buddha hatta dengan tindakan pemusnahan etnik dan genocide yang melanggar undang- undang antarabangsa dan hak manusia.

“Lantaran itu apa sahaja hak kemanusiaan untuk etnik Rohingya yang dijamin Deklarasi Universal Hak Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu termasuk hak hidup, hak undang-undang, hak agama, hak budaya dan hak politik, kini dinafikan beliau tanpa ada sedikit pun peri kemanusiaan,” katanya.