Categories
PBT SELANGOR

MBSA lancar bas pameran SEDA-10 tingkat kesedaran kesihatan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melancarkan bas pameran SEDA-10 Information Centre (I.C) bagi memperhebatkan aktiviti promosi program SEDA-10 khususnya penjagaan kesihatan persekitaran kepada komuniti Shah Alam.

Datuk Bandarnya, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, MBSA merupakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Selangor yang mempunyai bas pameran itu.

Katanya, bas terbabit mengandungi pelbagai maklumat dan interaktif terkini mengenai pendidikan, kawalan dan pencegahan serta penguatkuasaan kesihatan persekitaran.

“MBSA komited menangani isu denggi secara berterusan bagi menjamin persekitaran yang sihat di kalangan penduduk sekitar,” katanya.

Pada masa sama, Zaharin memaklumkan sebanyak 48,700 ekor nyamuk aedes berwolbachia dilepaskan di Pangsapuri Seksyen 7 sebagai langkah proaltof menangani wabak denggi di kawasan itu bulan ini.

“Program WOLBACHIA ini adalah hasil kajian daripada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dengan menggunakan bakteria semulajadi yang terdapat pada serangga seperti lalat buah, rama-rama dan nyamuk kecuali nyamuk Aedes dan dimasukkan ke dalam telur nyamuk Aedes dimakmal untuk tujuan menjadi nyamuk Aedes BerWolbachia.

“Ia dilepaskan di lapangan untuk tujuan mengawan dengan nyamuk Aedes liar. Nyamuk ini tidak mendatangkan mudarat kepada manusia dan dapat memusnahkan generasi nyamuk Aedes di kawasan itu di mana telur yang dihasilkan tidak menetas serta jangka hayat nyamuk adalah pendek,” katanya.

Dalam program itu, pelbagai acara diadakan antaranya acara larian, taklimat mengenai demam denggi serta Program SEDA-10 MPP, demonstrasi membuat Ovitrap menggunakan barang terpakai dan pelbagai lagi acara menarik kepada pengunjung.

Hadir merasmikan program itu Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi.

=EZY=