Categories
SASTERA

PAIP PIAP PIAP

OLEH ASYRAF BAKTI

DANGAI baca berita itu dan dia hanya lafazkan makian. Kuat-kuat sampai Manja yang tidur atas bantal meremang bulu. Dia renyukkan bahagian surat khabar tersebut dan terus buka baju seluar lalu mandi. Nabi kata, kalau marah sejukkanlah. Masa mandi, dia menangis sedih. Dia rasa usaha dia beberapa tahun dulu melawan emak bapak dia untuk tidak hantar adik-adik ke sekolah agama semakin tepat. Dia pandang cermin dan lafaz makian berulang tiga kali. Urat di dahi naik dan dia rasa perlu buat sesuatu kerana dia percaya hutang paip juga harus dibalas dengan paip.

Melor baca berita itu dan dia hanya lafaz kesian. Dia geleng kepala dan terus ambil wuduk dan sarungkan anak dan ibu telekung untuk solat hajat. Minta doa supaya mangsa akan mati dalam keadaan syurga. Dia lebih rela untuk melihat mangsa mati daripada tidak bertangan kaki dan terus berdendam sehingga mati. Besar kemungkinan untuk menjadi kes bunuh diri atau bunuh Ustaz X juga tinggi.

Linggam baca berita itu dan dia hanya lafazkan celaka punya anjing. Tosei bawang yang dipesan sampai dan dia letak tepi surat khabar sambil koyak perlahan-lahan dan cicah dengan gulai ikan. Dia baca ‘bismillah’ dan taip sesuatu di dalam telefon. Semua rakan-rakan dalam grup bual Agama Itu Indah memberi emoji alir air mata dan dalam masa yang sama, masih ada juga untuk mengekalkan keindahan tersebut, tapis segala caci maki sebegini. **** punya Ustaz! Agama bukan lesen untuk tibai orang!

Fahdi yang hanya baca kepala berita Harian Kronik terus mencarut sambil air liur yang tersembur nipis berbau teh tarik berlanggar dengan angin. Mujur tidak ada yang duduk di depannya. Nasi Lemak Dang Wangi jadi pedas semacam pagi itu. Datang pula secara tiba-tiba, duo celik buta yang menjual tisu. Dia pandang yang celik dan hairan kenapa keningnya begitu cantik diukir. Dia tak cakap banyak dan keluarkan lima ringgit sambil kenyit mata dan bertanya; malam ini senang tak? Nah kad. Apa-apa you contact I ya. Dia sambung kunyah sotong.

Rodhi yang mengemis tepi jalan sempat curi baca berita tentang paip sebelum dihalau oleh tuan kedai. Dia tak puas hati dan masuk Seven Eleven lalu ambil surat khabar percuma. Dia boleh juga baca Inggeris sikit-sikit kerana dulu dia pernah mengemis sekali dengan backpackers dari Kentucky. Dekat sebulan dia mengemis sekali dan segala perbualan dan rahsia-rahsia mereka dikongsi bersama. Dia jadi tak puas hati dan sepertinya ingin tahu lebih lagi apa berita esok hari dalam bahasa Melayu. Dia keluarkan mangkuk dan terus nyanyi lagu Mentera Semerah Padi dengan harapan dapat kumpul duit untuk akhbar esok.

INFO HADIAH SASTERAUstaz Sani yang baru selak akhbar selepas selesai selak al-Quran mengucap Subhanallah, Astaghfirullah dan terus mengira tasbih. Hatinya remuk sambil bertanya kepada dirinya sendiri. Agama jenis apa yang kau anjurkan ini Ustaz X? Dia hela nafas dan masuk ke dalam bilik perpustakaannya sambil capai sehelai A4 dan pen kaligrafi. Dia rasa kemarahannya ini paling rendah harus dibalas dengan puisi. Dia tahan geram. Kertas putih basah sikit demi sedikit dengan titis air mata yang jatuh. Malam itu hanya tajuk yang sempat ditulis: Syurga Di Betis Kaki.

Nora yang leka mendengar sambil menghafal lagu Sheila Majid tekan butang pause apabila kawannya menghantar mesej tentang berita tersebut. Dia jadi kaku dan terlepas kopi tarik yang digenggam di tangan sambil punat earphone terkeluar dari telefon. Tangannya tertekan butang play kembali dan lirik lagu berkumandang sambil penumpang LRT yang lain membuat andaian, “ah baru putus cinta. Biarlah dia tenangkan diri sendiri. Jangan kacau masalah orang.”

Ayah kecoh tidak semena-mena hari itu; tertarik untuk membaca akhbar setelah lebih tiga tahun tidak selak. Dia lebih digital sekarang. Tetapi memandangkan datanya baru habis semalam dan pembantu peribadinya menangis teresak-esak selepas menutup akhbar. Dia pakai jam tangan dan arahkan pembantunya untuk membawanya pergi ke hospital tempat mangsa dirawat. Dia rasa dia perlu adil dan saksama untuk semua perkara dan dia rasa laporan ini dia akan buat sekeras-kerasnya. Sekeras kepala garuda tongkatnya.

Si ayah baru selesai mandi di R&R. Jam baru menunjukkan tujuh pagi. Dia pergi ke kedai runcit yang berhampiran dan beli surat khabar tanpa sempat menyelak dan meneliti kerana dia baru teringat tentang Subuhnya yang dia lupa untuk tunaikan. Berlari-lari dia ke surau sambil memandang keretanya. Anak lelakinya yang berwajah suci itu tertidur dan dia tidak mahu kejutkan kerana dia tahu dia sedang letih.

Selesai qada’ Subuh, dia panjat tangan ke tuhan dan berdoa dalam bahasa Melayu. Ya Allah, terima kasih atas rezekimu kerana menempatkan anakku di dalam sekolah agama yang aku hendaki. Aku bersyukur ya Allah dan lindungilah dia dari segala… Doa berterusan dan kipas siling yang kuat menyelak-nyelak akhbar yang dibelinya tadi. Matanya terpaku. Dia terkedu dan tidak sempat habiskan doanya dan hanya lafaz makian.