Categories
SASTERA

Nafas patriaki dan eksotik agama

OLEH NUR ADILLA ABD RAHIM

SAYA membayangkan Malam Persembunyian penuh dengan baris-baris yang merujuk Plath dan sedikit Woolf. Mungkin dalam antologi itu, cerita Sita berjalan merentas api sudah usai. Apatah lagi apabila melihat muka depan buku ini — bunga-bungaan dan jejari runcing bukankah persimbolan umum yang difahami sebagai merujuk wanita?

Jadi, saya fikir kumpulan puisi ini barang kali penuh dengan hal-hal perempuan yang suka disembunyikan masyarakat. Faisal antara penulis kita yang dikit, yang mahu serius menanggapi isu penindasan struktural dan budaya terhadap wanita dengan saksama, sementelah ramai yang lain selalunya menganggap isu penindasan dan pembedahan terhadap patriaki ini sebagai hal-hal rengekan yang remeh dan anti-agama.

Tetapi saya silap.

Pertama kali saya membaca Malam Persembunyian (Kata Pillar, 2017) ketika bersendirian, setelah jam melepasi angka 12 malam. Membaca nota peribadi yang Faisal cecerkan untuk saya pada muka hadapan buku ini, saya mencari puisi Abadi dan lekas membaca.

aku memasang matahari
di muka jam
biar sekali ini, aku menatap ia abadi.

Apakah Faisal sedang berjanji yang dia tidak mahu bermimpi lagi? Saya tidak tahu. Siapalah yang boleh benar-benar memahami kata-kata peribadi seorang pemuisi yang meletakkan nuraninya dalam kelalang kaca ini?

Tetapi jika benar Faisal mahu berlepas diri daripada tidur malam dan mimpinya, maka mujurlah. Sebab sekurang-kurangnya, ketika menyibak kumpulan puisi pertama Faisal iaitu Sajak kepada Tuhan (Grup Karyawan Luar Negara, 2015), beliau dahulu (seperti banyak pemuisi Melayu) masih kuat bermimpi dan suka menyelit-nyelit epiphany nirvana dengan tuhanannya dalam puisi. Pada saya, itulah hal yang paling membosankan dalam scene puisi Malaysia. Mengapa keindahan kata-kata selalu dihimpunkan hanya untuk menunjukkan kehinaan diri di depan Tuhan?

Pun, Faisal, dalam antologi ini, hampir bergraduasi dan bukan sepenuhnya seperti mereka lagi.

Beliau tidak hanya menatang agama dalam lekuk tangan yang bermunajat syahdu pada malam hari. Agama telah bertukar menjadi burung yang meninggalkan bumbung gereja pada suatu sore — ia terbang dan melantun Nyanyian di dinding kuil yang sedang dibina, singgah sekejap atas menara Babil di Mesopotamia, burung ini sempat juga Merenung Diri lama-lama di muka air dan bertemu Tuhan di sana.

Faisal nampak begitu selesa dalam percubaannya mempersoal agama sebagai candu rencam label ini. Antara yang mengesankan, dalam Doa Perkahwinan, Beliau memerhatikan seorang wanita Kristian yang sedang “berlutut di depan altar/ (…) –O Tuhan yang kudus/ dia merintih dengan tangan di dada/ ingatan dosanya terbeban di lutut”. Setelah keluar dari kamar pengaduan, wanita ini mempersoal kembali ‘keberkesanan’ aduannya kepada Tuhan yang mungkin tidak dapat memahami gejolak hidupnya kerana Tuhan barangkali seorang lelaki:

Selepas keluar dari kamar
ia masih berfikir kepada dirinya
apakah benar mengadukan
masalah rumah tangga kepada Tuhan
dan soalan dia ketika kemuncak
pengaduan tadi
— adakah Tuan ini lelaki?

MPFMZPuisi ringkas dua rangkap ini bukan sahaja mengungkapkan pemerhatian seni Faisal pada amalan agama selain Islam, tetapi memberi naratif segar terhadap bagaimana permasalahan rumah tangga dan beban patriaki yang dicandukan agama telah menekan jiwa dan kualiti hidup ramai wanita. Tambah menarik, wanita itu turut menyoal Tuhan dengan selamba memanggil-Nya dengan kata Tuan, sekaligus mengingatkan kita kepada puisi terkenal Sapardi Djoko Damono, “Tuan Tuhan, bukan?/ Tunggu sebentar/ saya hendak keluar”.

Faisal terus mempersoal praktik agama masyarakat yang suka melampiaskan ‘redha dan bertakwalah melalui doa’ dalam mendepani cabaran hidup madani dalam Di Negeri Kami:

tuan, berdoa tidak mengenyangkan
tanyalah gelandangan

Pemuisi muda ini begitu sedar dan berjaya memanipulasi praktik tradisi sesuatu agama untuk menyampaikan makna yang lebih besar. Puisi Nyanyian antara lain, segar dan cerdik—pembaca secara automatik diberi capahan makna yang lebih besar apabila melihat pembinaan fizikal dan amalan ritual di sesebuah rumah ibadat pasca membaca puisi ini:

Kita pun tergesa-gesa
dengan pahat dan tukul di tangan
mengukir ketakutan
menjadi tuhan

Gemerincing besi berlaga
Seperti guruh rantai
Melibas ke belakang kepala
Tiba-tiba diam—
Bagaimana aku mengukir tangan,
Berapa jari, dan bentuk kuku
Aku fikir mukanya begini
Ah tetapi teruna atau sunti?

Kita tidak akan berjumpa ratapan Gaza dan Palestin seperti dalam antologi Sajak kepada Tuhan. Faisal lebih inklusif dalam pemerhatiaanya terhadap rintih perang dan penindasan sampai kita dibawa dengan berdikit-dikit ke Brussel, Yarmouk, Libya, Afrika, Sanaa, Iraq dan tentunya India, tanpa paksaan dan jeritan olok-olok.

Bahkan, kali ini, beliau nampaknya lebih matang dalam memperhalusi kesan perang dan Islamofobia yang membenihkan ribuan ‘jihadis’ berani mati kini. Faisal mempersoal ‘jihadis mi segera’ ini berkali-kali dalam Sajak kepada Al- Baghdadi (2), Air Mata dan Ku Bakar Syurga. Beliau sampai boleh menulis Sajak Kepada Pengebom Berani Mati dengan begitu sinis tetapi mengesankan:

Bagaimanakah saudara
naik ke sidratul muntaha
dengan tangan menggenggam
picu bahan letupan
berdiri di depan tuhan
dalam genangan darah
orang-orang tak bersalah

Dalam Shauq pula, Tuhan, dalam puisi, sudah tidak perlu dihadirtegaskan dengan huruf besar. Akan tetapi, pembaca mudah meneka apabila Faisal masih menggunakan perlambangan tipikal khimar atau arak untuk merujuk kepada kelinglungan iman. Meskipun agak hambar pemakaian simbolnya, Shauq ialah cubaan yang baik yang menyamaratakan mabuk cinta seorang laki-laki kepada Tuhan, dan kekasih perempuannya. Apabila diterbitkan cinta ini dalam puisi, jujurlah, apakah memang ada beda antara duanya?

Selepas membaca Malam Persembunyian, kita akan terhenyak dengan realiti keagamaan terutama sekali di India, yang selalu dilihat eksotik itu. Kita bahkan akan dipaksa menilai semula agama dan spiritualiti yang tersembunyi dalam diri.

Pada Faisal, yang tersembunyi ini menjadi candu sakti yang memabukkan kala malam persembunyian di kota-kota – ia dibeli dan dijual politikus dan agamawan di bawah jambatan, diberi percuma kepada gelandangan. Agama menjadi candu yang melekitkan segala keresahan, dan menafaskan angan-angan.