Categories
KENYATAAN MEDIA

Merealitikan evolusi pengurusan sumber manusia

OLEH RODZIAH ISMAIL

Sambutan Hari Pekerja 1 Mei, 2017 ini adalah tanda penghargaan tidak terhingga untuk semua angkatan para pekerja Malaysia dan tenaga kerja warga asing di Malaysia.

Mereka telah bertungkus lumus dan berkorban demi membangunkan Malaysia dan penduduknya.

Para pekerja yang aktif dan berterusan menyumbang dalam berbagai sektor – keselamatan, pembuatan, perladangan, perkhidmatan, pembinaan, ketenteraan, kepolisan, pengangkutan, perundangan dan banyak lagi – telah memastikan rakyat memperoleh kemajuan dan menikmati kualiti hidup yang bertambah baik dari masa ke semasa.

Kemajuan negara dan rakyat jelata amat bergantung kepada kualiti perkhidmatan dan kemahiran para pekerja.

Justeru, kerajaan yang amanah dan bertanggungjawab sentiasa menitikberatkan kesejahteraan para pekerja dan keluarga mereka.

Kebajikan mereka menjadi isu utama yang perlu dicernakan dalam bentuk-bentuk advokasi, skim-skim perlindungan, akta-akta yang merefleksi tuntutan semasa bidang pekerjaan, penguatkuasaan yang jitu, adil dan berkesan (khususnya terhadap para majikan) dan program-program berkualiti dan berkesan ke arah meningkatkan kemahiran dan profesionalisme para pekerja.

Dalam konteks sedemikian, para pekerja adalah beramanah untuk menjamin beberapa perkara yang mengesani secara langsung kehidupan rakyat, iaitu memastikan:

• Jaminan keselamatan fizikal di sektor pembangunan fizikal
• Jaminan kualiti perkhidmatan yang efisien, berkesan dan mesra rakyat
• Jaminan sistem yang bebas korupsi
• Mengutamakan kepentingan rakyat dan keperluan mereka mengatasi kepentigan peribadi dan keluarga
• Memberi maklumbalas yang benar, berintegriti dan komprehensif kepada barisan legislatif, eksekutif dan kawasan di tiga tahap utama: Parlimen, Dewan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan

Tidak lupa kepada para wanita khususnya yang berjuang dalam sektor tidak formal seperti para suri rumah yang tugasan mereka berligar selama 24 jam, terutamanya kepada para ibu muda dengan anak-anak kecil mereka.

Sudah sampai masanya para wanita ini diiktraf dalam belanjawan negara secara tepat dan bersesuaian.

Selamat menyambut Hari Pekerja Sedunia 2017

* Rodziah Ismail adalah Ahli Majlis Pimpinan Pusat / ADUN Batu Tiga
Parti KEADILAN Rakyat