Categories
NASIONAL

Wan Azizah mohon sentuhan fizikal lawat Anwar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SEGAMBUT, 16 JUN : Keluarga Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan surat permohonan kepada pihak penjara Sungai Buloh bagi membenarkan sentuhan fizikal dengan anggota keluarga ketika lawatan di penjara, Syawal ini.

Isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, permohonan berkenaan dikemukakan menerusi pihak peguam baru-baru ini, namun masih tiada sebarang maklumbalas positif mengenainya.

“Isu yang lebih penting dan amat mengecewakan apabila kami tidak dibenarkan membuat ‘contact visit’ (sentuhan fizikal) kepada Anwar ketika lawatan keluarga sebelum ini.

YUS_8830“Sedangkan waktu perayaan itu boleh dimanfaatkan untuk bersalaman. Tetapi sebaliknya pula apabila kami langsung tidak dibenarkan.

“Justeru kami berharap agar pihak penjara mempertimbangkan permohonan kami untuk dilonggarkan sedikit dengan mengambil kira faktor perayaan dan sambutan Aidilfitri itu,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Aidilfitri di kediamannya, di Bukit Segambut, malam tadi.

Sebelum ini, MalaysiaKini melaporkan, Anwar yang juga bekas Ketua Pembangkang itu mendakwa, Jabatan Penjara menafikan sentuhan fizikal antara Anwar dan ahli keluarganya yang dipisahkan melalui dinding kaca.

Malah, sesi percakapan dilakukan hanya melalui telefon ketika lawatan tiga minggu sekali diadakan.

Bagaimanapun Mac 2016 lalu, Anwar melalui surat peguamnya bertarikh 2 Mac 2016 memohon penjara membenarkan sentuhan fizikal ketika lawatan tetapi permintaan itu ditolak melalui surat, bertarikh 14 Mac 2016.

Sehubungan itu, beliau memfailkan semakan kehakiman dan dibenarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, Wan Azizah memaklumkan sehingga kini pihak keluarga tidak dimaklumkan sebarang tempoh tertentu kebenaran untuk melawat Anwar di Sungai Buloh, Syawal depan.

“Kami tidak dimaklumkan secara terperinci lagi, tapi ada makluman bahawa tempoh kebenaran biasanya pada hari raya keempat atau kelima atas alasan tempoh itu sudah mula kurang pelawat.

“Tetapi merujuk pada situasi Syawal tahun lalu, raya keempat dan kelima juga masih terlalu ramai pelawat dengan keadaan masa yang agak terhad,” katanya.