Categories
NASIONAL

Wan Azizah: Anwar stabil di HKL

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SEGAMBUT, 16 JUN : Keadaan kesihatan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak semalam.

Namun, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Anwar masih memerlukan rawatan fisioterapi dan rawatan susulan kesakitan bahu kanannya sebelum ini.

“Keadaannya kini stabil. Dalam perjumpaan keluarga bersama Anwar tadi, (semalam) kami sempat berbuka puasa bersama dan menunaikan solat magrib sebelum diminta pulang jam 8 malam.

YUS_8830“Kami dimaklumkan pihak hospital, InsyaAllah Sabtu ini Saudara Anwar akan keluar sekiranya keadaan beliau semakin baik,” katanya kepada SelangorKini pada Majlis Berbuka Puasa di Kediamannya di Bukit Segambut, malam tadi.

Difahamkan, Anwar dikejarkan ke Hospital petang semalam selepas tekanan darahnya dilaporkan menurun.

Salah seorang peguam Anwar, N Surendran, sebelum ini berharap pihak berkuasa dapat menyegerakan rawatan terhadap Anwar bagi mendapatkan maklumat tepat berhubung kesihatannya.

Anwar antaranya dikatakan mempunyai masalah ketumbuhan 4cm di buah pinggang,susut berat badan 6 kilogram, otot bahu terkoyak serta masalah artritis kronik.

Peguam juga mendakwa pemeriksaan ketika ditahan di hospital sama sebelum ini tidak mencukupi dan memerlukan rawatan lanjut di hospital pakar, pilihan keluarganya.