Categories
SELANGOR

27 wanita dirai Hari Kecemerlangan Pelatih Baitul Ehsan

OLEH LIZAWATI MADFA

SABAK BERNAM, 12 JULAI: Seramai 27 wanita dirai sempena Hari Kecemerlangan Pelatih Baitul Ehsan 2017, iaitu penganjuran kali ke-9 sejak 2009.

Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Baktiar Hussin berkata, program berkenaan merupakan sebahagian tanggungjawab sosial terhadap golongan asnaf riqab (terbelenggu).

“Hasil daripada program ini, Baitul Ehsan mewujudkan alumni bekas pelatih bagi membantu memberikan khidmat komuniti untuk pelatih yang masih dalam program pemulihan.

“Ia juga bagi mengiktiraf kejayaan pelatih dalam membebaskan diri daripada dibelenggu,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 100 hadirin, di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, di sini, hari ini.

Majlis turut menyaksikan pelatih menerima pelbagai pengiktirafan khas seperti Pelatih Terbaik Mengikut Kuliah, Pelatih Terbaik Mengikut Kelas Kemahiran Vokasional dan Matapelajaran Terbaik Keseluruhan.

Anugerah lain termasuk Anugerah Ketua Rumah Terbaik, Anugerah Ketua Pelatih Terbaik, Anugerah Khas Disiplin Terbaik dan Anugerah Khas Al Riqab.

=EZY=