Categories
PBT SELANGOR

GST RM36 juta dalam proses penyelesaian

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 JULAI: Kerajaan Negeri kini dalam proses menyelesaikan isu tunggakan tuntutan balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) oleh semua 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Perbendaharaan Negeri Selangor sudah diminta untuk berhubung dengan semua PBT bagi memastikan tuntutan dibuat menepati proses ditetapkan Kastam DiRaja Malaysia.

“Jika melihat kepada penjelasan Ketua Pengarah Kastam, ada beberapa dokumen yang perlu dibekalkan. Kita sudah minta Perbendaharaan Negeri Selangor bertindak dan perkara ini sedang dalam proses,” katanya.

YAYASAN SELANGOR INTEKMA (1)Beliau ditemui sejurus menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor 2016, di sini, malam tadi.

Pada 26 Julai lalu, Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T Subromaniam mendakwa, 12 PBT di Selangor menghantar penyata GST ‘diragui’ hingga menyebabkan pembayaran balik lebih RM36 juta tertangguh.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah kesal dengan kenyataan itu dan menggesa Kastam mengguna kaedah lebih matang bagi menyelesaikan isu tuntutan berkenaan.

Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Klang, Dato’ Mohamad Yasid Bidin turut berpandangan, Kastam tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan ‘meragukan’ kerana dokumen dihantar mengikut prosedur ditetapkan.

Sementara itu, pemangku YDP Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Mohd Zulkarnain Che Ali berkata, pihaknya akan berbincang dengan Unit Perancangan Ekonomi Selangor (UPEN) untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad pula berkata, pihaknya dalam proses melantik perunding GST bertauliah bagi membantu menyelesaikan tuntutan lebih RM13 juta.