Categories
SELANGOR

Jentera berat dipercayai punca pergerakan tanah 

 

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 4 JUL: Jentera berat dipercayai antara punca pergerakan tanah yang sekaligus memberi kesan terhadap paip kumbahan milik Indah Water Konsortium (IWK) di Taman Desa Mewah, Bandar Sunway, di sini.

Ahli Majlis Zon 15, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Norzanalila Mohd Fadzil berkata, bagaimanapun sikap prihatin sekumpulan aktivis alam sekitar daripada Gagasan Prihatin Semenyih (GPS) berjaya mengesan kebocoran paip yang terletak bersebelahan jalan utama di kawasan perumahan terbabit.

“Terima Kasih atas kerjasama GPS yang berjaya mengesan kebocoran paip saluran kumbahan dan syukur saluran paip dipulihkan dan begitu juga IWK, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kerana berjaya menyelesaikan masalah ini dengan pantas.

CP2A9174-1280x853“Ada kemungkinan jentera berat menggangu pergerakan tanah lalu memberi kesan terhadap paip kumbahan tetapi kebocoran ini tidak menjejaskan kolam takungan dan tiada pencemaran masuk ke sungai yang menjadi sumber bekalan air kerana paras air di kolam agak rendah,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, tindakan pantas pihak terbabit menghubungi agensi terlibat sangat dialu-alukan dan wajar menjadi contoh kepada masyarakat.

Norzanalila turut menggesa supaya penduduk bertenang dan membuat semakan terlebih dahulu apabila menerima berita kebocoran paip kumbahan ini.

“Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Media Selangor dan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang sudi melapangkan masa meninjau masalah rakyat,” katanya lagi.