Categories
AGENDA NASIONAL

IWK gantung perkhidmatan kontraktor cemar alam sekitar

KUALA LUMPUR 11 JUN: Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan telah menggantung secara serta merta kontraktornya yang didapati melakukan jenayah pencemaran alam sekitar baru-baru ini.

Syarikat Zennessy Park Sdn Bhd, kontraktor yang dilantik IWK untuk membuang enapcemar kumbahan didapati melanggar perjanjiannya dengan IWK apabila sub-kontraktor kepada syarikat berkenaan, telah secara tidak bertanggungjawab membuang enapcemar kumbahan ke kawasan yang bukan ditetapkan IWK dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, syarikat terbabit dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa dan diarahkan untuk membersihkan kawasan yang dicemar dalam masa 24 jam. Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan kontrak bersama IWK ditamatkan.

“IWK tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang ingin menjalankan perniagaan bersama syarikat ini sekiranya mereka tidak mematuhi kepada peraturan dan perjanjian yang
ditetapkan, khususnya dalam menjaga dan memelihara alam sekitar.

“Syarikat terbabit didapati mengambil jalan mudah tanpa ada rasa tanggungjawab. Saya diarahkan mereka untuk menjalankan kerja pembersihan di kawasan berkenaan dengan serta merta. Kerja-kerja pembersihan telah siap sepenuhnya semalam, “ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 6 Jun lepas, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui JAS, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan IWK mengambil tindakan segera ke atas aduan orang
ramai berhubung aktiviti pelupusan enapcemar yang diterima di sebuah kawasan terbiar di Bukit Damar, Cyberjaya.

Menurut Narendran, dalam memastikan semua kontraktor IWK tidak melanggar peraturan yang ditetapkan dalam kerja pelupusan enapcemar, pihak syarikat mengarahkan semua kontraktornya untuk memasang Sistem Pengawasan Kenderaan (Vehicle Monitoring System) di kesemua kenderaan mereka.

“Satu syarat wajib yang baru kami laksanakan kepada semua kontraktor yang ingin menjalankan perniagaan dengan IWK adalah memasang alat pengesan di kenderaan mereka.

“Melalui sistem ini, pihak syarikat dapat memantau pergerakan kenderaan kontraktor dan berupaya mengesan mana-mana kenderaan yang tidak memenuhi perjalanan yang lengkap ke
kawasan pelupusan yang ditetapkan,” tambah Narendran.

Menurut Narendran, IWK sentiasa memastikan kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan di semua 7,000 buah loji di bawah seliaan IWK sentiasa mengikut spesifikasi dan prosedur menurut keperluan dan peraturan pihak berkuasa.

“Pihak pengurusan syarikat tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak, baik pihak kontraktor atau kakitangan sendiri sekiranya ada yang melanggar
peraturan alam sekitar, dalam memastikan sumber air serta alam sekitar terus terpelihara daripada pencemaran,” katanya.

Pada masa yang sama, tambah Narendran, IWK juga akan mengeluarkan peringatan kepada semua kontraktornya untuk mematuhi undang-undang dan ketetapan kontrak perjanjian.

Categories
SELANGOR

Jentera berat dipercayai punca pergerakan tanah 

 

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 4 JUL: Jentera berat dipercayai antara punca pergerakan tanah yang sekaligus memberi kesan terhadap paip kumbahan milik Indah Water Konsortium (IWK) di Taman Desa Mewah, Bandar Sunway, di sini.

Ahli Majlis Zon 15, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Norzanalila Mohd Fadzil berkata, bagaimanapun sikap prihatin sekumpulan aktivis alam sekitar daripada Gagasan Prihatin Semenyih (GPS) berjaya mengesan kebocoran paip yang terletak bersebelahan jalan utama di kawasan perumahan terbabit.

“Terima Kasih atas kerjasama GPS yang berjaya mengesan kebocoran paip saluran kumbahan dan syukur saluran paip dipulihkan dan begitu juga IWK, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kerana berjaya menyelesaikan masalah ini dengan pantas.

CP2A9174-1280x853“Ada kemungkinan jentera berat menggangu pergerakan tanah lalu memberi kesan terhadap paip kumbahan tetapi kebocoran ini tidak menjejaskan kolam takungan dan tiada pencemaran masuk ke sungai yang menjadi sumber bekalan air kerana paras air di kolam agak rendah,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, tindakan pantas pihak terbabit menghubungi agensi terlibat sangat dialu-alukan dan wajar menjadi contoh kepada masyarakat.

Norzanalila turut menggesa supaya penduduk bertenang dan membuat semakan terlebih dahulu apabila menerima berita kebocoran paip kumbahan ini.

“Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Media Selangor dan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang sudi melapangkan masa meninjau masalah rakyat,” katanya lagi.

PKNS selesai masalah penduduk pangsapuri PJS 6

sampah pjsSHAH ALAM, 21 OKT : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sudah mengarahkan kontraktor yang bertanggungjawab mengambil tindakan membersihkan longgokan sampah di kawasan pangsapuri Petaling Jaya Selatan (PJS) 6.

Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim, berkata longgokan sampah pukal yang berlaku di kawasan berkenaan disebabkan pembuangan sampah oleh pihak luar kerana pangsapuri itu berdekatan dengan tapak pasar malam dan gerai makan.

Tinjauan TV Selangor mendapati rumah sampah kecil yang dikhaskan untuk pembuangan sisa pepejal di kawasan itu gagal diuruskan dengan baik dan terdapat pembuangan sisa domestik seperti barangan rumah dan rangka kenderaan.

Masalah berkenaan mengundang rasa tidak selesa penduduk dan membawa kepada pembiakan tikus yang boleh mengancam kesihatan penduduk setempat.

“Kita terima aduan itu dan sudah ambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah yang dihadapi penduduk kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini.

kumbahan sunwaySementara itu, Ishak berkata, kerja membaik pulih saluran air kumbahan melimpah di Blok 2,3,4 dan 5 Pangsapuri PKNS Jalan PJS 8/14, Bandar Sunway juga akan dilaksanakan segera.

Beliau berkata, PKNS dan Indah Water Konsortium (IWK) akan bekerjasama bagi memastikan isu itu diselesaikan secepat mungkin walaupun sebelum ini IWK mendakwa paip kumbahan patah di dalam sempadan pangsapuri PKNS ketika penyerahan tugas penyelenggaraan kepada syarikat pembentungan itu.

“PKNS sudah melantik perunding teknikal untuk mengenal pasti punca sebenar limpahan air kumbahan ini berlaku. Kaedah kamera robotik digunakan bagi memeriksa kedudukan paip kumbahan sama ada patah atau sebaliknya,? katanya.

Katanya lagi, laporan penuh siasatan itu akan digunakan bagi membaiki pam yang menyebabkan air kumbahan melimpah supaya penduduk sekitar pangsapuri berkenaan tidak perlu lagi berdepan dengan masalah terbabit. -NFN-