Categories
GLOBAL

AS, Rusia miliki 7,000 kepala peledak nuklear?

GLOBAL, 13 OGOS: Amerika Syarikat (AS) dan Rusia mendahului senarai teratas daripada sembilan negara dipercayai memiliki senjata nuklear dengan masing-nasing dianggar mempunyai 7,000 kepala peledak.

Walaupun terdapat banyak laporan bertentangan tentang angka itu, data Persekutuan Saintis Amerika (FAS) pada Julai lalu mendapati Washington mempunyai 6,800 kepala peledak nuklear berada di tangga kedua selepas Rusia memiliki kira-kira 7,000 senjata sama.

Ia bagaimanapun berbeza dengan Korea Utara yang hanya mempunyai kurang daripada 20 kepala peledak.

Baru-baru ini, tentera AS mengisytiharkan Washington mempunyai 806 ICBM, peluru berpandu dilancarkan dari kapal selam (SLBM) dan pengebom berat serta 1,722 kepala peledak.

Bulan lalu, laporan Agensi Risikan Pertahanan AS mendakwa sehingga 60 senjata nuklear kini dikawal oleh Jong-un.

Laporan lain mendedahkan Pyongyang telah menyeragamkan kepala peledak nuklearnya kepada saiz kecil untuk disesuaikan dengan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang mana jarak jangkauannya boleh mencapai sejauh New York atau Washington.

Perang retorik tercetus sepanjang minggu lalu turut menyaksikan Pyongyang mengancam untuk melancarkan serangan ke atas Guam yang merupakan wilayah Amerika Syarikat di Pasifik sebagai respons terhadap provokasi Presiden AS, Donald Trump.

-Sinar Online