Categories
SELANGOR

Dah lama orang tak ambil tahu

OLEH LIZAWATI MADFA

SEPANG, 4 OGOS: Kerajaan Negeri terus menyantuni Veteran Kelainan Upaya (VKU) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Program Turun Padang Daerah Sepang, hari ini.

Di sebalik jadual padat, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sempat meluangkan masa singgah ke terakak VKU ATM, Ahmad Abbas, 84 di Batu 9, Sungai Rasau, Pulau Meranti, di sini.

Anak sulung Ahmad, Osman Ahmad, 59, menyifatkan kunjungan Mohamed Azmin sebagai sesuatu yang istimewa buat pejuang tanah air seperti bapanya.

“Lebih sepuluh tahun, tiada orang yang ambil kisah lagi, ambil tahu perihal ayah kami.

IMG_8060“Kami mampu bela ayah kami, kami bukan mahu meminta sedekah tetapi cukuplah pengorbanan ayah dihargai,” katanya sebak.

Ahmad berkata, ayahnya menabur khidmat dan keringat lebih 22 tahun di dalam ATM dan bersara ketika memegang pangkat sarjan.

“Ayah merupakan seorang yang berdedikasi dan berani, malah dia pernah digelar Harimau Berantai.

“Pada awal latihannya sebagai askar, beliau pernah menembak mati dua lelaki yang dipercayai komunis, malah beliau juga pernah hampir terkorban ketika bertugas di Sarawak,” cerita Ahmad kepada Selangor Kini.

Menerusi Belanjawan Selangor 2017, Kerajaan Negeri memperuntuk RM1 juta bagi program kemasyarakatan dan kebajikan veteran ATM.

Mohamed Azmin berkata, sejumlah RM500,000 daripadanya disampaikan secara terus menerusi program ziarah yang diadakan pada setiap minggu menerusi Program Turun Padang yang diadakan secara bergilir di setiap daerah.

Sementara itu, baki RM500,000 pula diperuntukkan terus ke dalam Tabung Pahlawan ATM.