Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sepang terima lapan Bas Smart Selangor, dua laluan baru

OLEH LIZAWATI MADFA

SEPANG, 4 OGOS: Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) menerima lapan bas dan dua laluan baru bagi perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor di daerah itu.

Majlis Pelancaran Laluan Bas Smart Selangor disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, di sini, hari ini.

Dengan pelancaran ini, MPSp kini memiliki tiga laluan dan 10 bas yang beroperasi di daerah itu bermula jam 6 pagi hingga 10 malam.

Pada awal tahun ini, perkhidmatan Bas Smart Selangor di MPSp mencatatkan 23,255 penumpang dan meningkat kepada 29,906 penumpang pada Julai lalu.

bas-selangorku-1Pada 18 Julai lalu, Exco Pelaburan, Perindustrian Industri Kecil Sederhana (IKS) serta Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim mengumumkan sebanyak 98 bas Smart Selangor beroperasi di 30 laluan di seluruh negeri bermula Ogos.

Katanya, ia melibatkan pertambahan 46 bas dan 16 laluan baru dengan peruntukan RM20 juta.

Selain MPSp, empat PBT lain turut menerima dua laluan baru iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

PBT lain yang menerima satu laluan adalah Majlis Perbandaran Kajang (MPK), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDHS).

MBSA turut menerima lapan bas baru, MPAJ (tujuh), MPS (enam), MPSJ, MPK dan MPKj masing-masing empat, MDKS (dua) dan MDKL, MDHS dan MDSB masing-masing menerima satu bas baru.